Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah selepas cerai, ‘iddah tidak dikira melainkan setelah isteri keluar rumah?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan takrif ‘iddah. Menurut bahasa, `iddah bermaksud kiraan, hitungan atau bilangan. Ini kerana ia merangkumi bilangan suci daripada haidh dan juga bilangan bulan.
Dari segi istilah, ‘iddah ialah nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang perempuan menunggunya, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta‘abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85)
‘Iddah ialah suatu tempoh masa yang dilalui oleh seseorang perempuan selepas perceraian atau kematian suami di mana dia tidak boleh menikah semula. Tujuannya untuk memastikan kekosongan rahimnya dari mengandung dan tempohnya bergantung kepada berapa kali dia mengalami haid. Biasanya, tempoh iddah bagi wanita sesudah cerainya dengan bekas suaminya yang dahulu adalah tiga kali suci kitaran haid dan wanita yang telah kematian suaminya, tempoh ‘iddah adalah selama 4 bulan dan 10 hari (dikira mengikut tahun Hijrah) .
Dalam tempoh ‘iddah ini, bekas isteri diharamkan berkahwin dengan orang lain. Tujuan dikenakan ‘iddah ialah bagi memastikan rahim wanita tersebut suci daripada sebarang janin bagi mengelakkan ketidakpastian nasab sebenar anak jika perkahwinan baru dengan lelaki lain berlaku. Dalam tempoh ‘iddah, suami boleh rujuk kembali dengan syarat isteri adalah dalam iddah raj‘ie.
‘Iddah bagi wanita yang bercerai hidup dan masih mempunyai haid adalah tiga kali suci berdasarkan firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid).”
(Surah al-Baqarah: 228)
Sementara, tempoh wanita ‘iddah bagi wanita yang menopause (putus haid) yang bercerai hidup dan ketiadaan haid ialah 3 bulan berdasarkan firman Allah SWT:
وَاللَّائِي يَئِسْنَ مِنَ الْمَحِيضِ مِن نِّسَائِكُمْ إِنِ ارْتَبْتُمْ فَعِدَّتُهُنَّ ثَلَاثَةُ أَشْهُرٍ وَاللَّائِي لَمْ يَحِضْنَ
Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang tidak haid lagi (menopause) di antara perempuan-perempuanmu jika kamu ragu-ragu (tentang masa ‘iddahnya) maka ‘iddah mereka adalah tiga bulan; dan begitu (pula) perempuan-perempuan yang tidak ada haid’
(Surah al-Talaq: 4)
Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan dan tegaskan, tidak benar bahawasanya kiraan ‘iddah itu mula dikira setelah isteri keluar rumah. Sebaliknya, kiraan ‘iddah itu bermula dari saat kematian suami pada ‘iddah kematian, dan dari saat berlakunya talaq (dilafazkan) pada ‘iddah talaq, meskipun wanita itu terlewat dalam mengetahuinya. Hal ini kerana ‘iddah itu berlaku disebabkan oleh terjadinya talaq dan kematian suami, bukannya berdasarkan kepada pengetahuan mengenainya.
Di dalam al-Hawi al-Kabir (11/221) dinyatakan, Imam al-Syafi‘i menyebutkan, apabila seorang wanita mengetahui dengan yakin kematian suaminya atau talak dengan bukti atau sebarang pengetahuan, hendaklah dia melakukan ‘iddah dari hari berlakunya peristiwa tersebut, sama ada kematian atau perceraian. Jika dia tidak ber‘iddah sehingga tamat ‘iddah, tidak ada dosa ke atasnya kerana ‘iddah itu adalah jangka waktu yang telah berlalu. Sesungguhnya telah diriwayatkan lebih daripada seorang sahabat Nabi SAW bahawa Baginda SAW bersabda:
تَعْتَدُّ مِنْ يَوْمِ تَكُونُ الْوَفَاةُ أَوِ الطَّلَاقُ
Maksudnya: “Seorang perempuan itu hendaklah ber‘iddah dari hari kematian atau perceraian.”
Ini adalah pendapat ‘Ata’, Ibn al-Musayyib dan al-Zuhri.
Kemudian, al-Mawardi menjelaskan lagi kenyataan Imam al-Syafi‘i di atas dengan menyebutkan, ini seperti yang dikatakan oleh Imam al-Syafi‘i. Jika suami menghilangkan diri daripada isterinya kemudian dia menjatuhkan talaq, atau suami meninggal dunia semasa ketiadaannya, maka tempoh ‘iddah isteri sekiranya dia mengetahui mengenai perceraian atau kematian itu, adalah bermula dari tempoh talaq atau kematian itu, dan bukannya dari waktu dia baru mengetahui mengenai peristiwa tersebut, sama ada pengetahuan itu diperolehi melalui bukti yang jelas ataupun perkhabaran. Pendapat ini juga merupakan pendapat kebanyakan sahabat, tabi‘in, dan fuqaha’.
Manakala dinukilkan daripada Ali bin Abu Talib R.A bahawa ‘iddah pertama isterinya adalah daripada saat dia mengetahui tentang perceraian atau kematian suaminya, dan dia tidak boleh mengambil kira masa lalu, sama ada dia mengetahuinya dengan bukti atau berita. Ini merupakan pendapat daripada Daud.
Umar bin ‘Abd al-‘Aziz menyebutkan, jika dia mengetahui hal itu dengan bukti yang jelas, dia akan mengambil tindakan berdasarkan apa yang telah terjadi. Dan jika dia mengetahuinya melalui berita atau perkhabaran, dia akan bertindak sesuai dengan waktunya dengan merujuk kepada firman Allah SWT:
وَالْمُطَلَّقَاتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنْفُسِهِنَّ ثَلاثَةَ قُرُوءٍ
Maksudnya: “Dan perempuan yang diceraikan hendaklah menahan diri (menunggu) selama tiga kali quru’”
(Surah al-Baqarah: 228)
Menahan diri adalah suatu tindakan yang dimaksudkan di sini, dan apa yang telah terjadi sebelumnya diabaikan. Diriwayatkan bahawa Furai‘ah binti Malik, suaminya terbunuh dalam perjalanan jauh. Ketika dia mengetahui kematian suaminya, dia datang kepada Nabi SAW dan memberitahunya. Baginda SAW bersabda kepadanya:
امْكُثِي فِي بَيْتِكَ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا
Maksudnya: “Tetaplah di rumahmu selama empat bulan dan sepuluh hari.”
Baginda SAW memerintahkannya untuk memulai masa ‘iddah pada waktunya dan tidak memperhatikan masa ‘iddah yang telah berlalu. Hal ini kerana dia diperintahkan dalam masa ‘iddah dengan kesedihan, menjauhi wangian, dan tidak keluar dari tempat tinggalnya. Sebelum dia mengetahui mengenai ‘iddah tersebut, dia tidak memaksudkan lagi hukum ‘iddah, maka oleh sebab itu dia belum dianggap berada dalam tempoh ‘iddah.
Dar al-Ifta al-Misriyyah dalam fatwanya mengenai isu ini menyatakan: Menurut hukum syarak, pengiraan ‘iddah bagi perempuan yang bercerai dan kesan-kesan yang timbul daripadanya — termasuklah kemungkinan rujuk semula kepada suami — adalah bermula dari tarikh berlakunya talaq. Iaitu: selepas diucapkan lafaz talaq oleh sesiapa yang menjatuhkan talaq tersebut. Adapun bagi pemberitahuan mengenai berlakunya talak di masa lampau, talak dianggap berlaku pada masa yang diberitahu, bukan semasa pemberitahuan tersebut.[1]
Semoga penerangan ringkas ini dapat memberikan sedikit pencerahan kepada kita semua.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota hujung:
[1] Lihat https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/14733/ Diakases pada 22 Februari 2024.