#5471: Terlambat Solat Jumaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah yang perlu saya lakukan apabila saya terlambat untuk solat Jumaat sehingga apabila saya sampai itu imam telah selesai satu rakaat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menghadiri solat Jumaat merupakan salah satu tuntutan syarak kepada setiap lelaki beragama Islam yang mukallaf. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّـهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu), yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu’ah: 9)

Ayat di atas adalah merupakan antara dalil pensyariatan dan kewajipan solat Jumaat. Selain itu, solat Jumaat juga adalah antara beberapa kelebihan yang dikurniakan khusus kepada umat Nabi Muhammad SAW supaya mereka mendapat kemuliaan hari Jumaat tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/198)

Diriwayatkan daripada Tariq bin Syaibah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Solat Jumaat adalah tanggungjawab yang wajib atas setiap lelaki Muslim untuk didirikan secara berjemaah, kecuali hamba yang dimiliki oleh tuannya, perempuan, kanak-kanak dan orang yang sakit.”

Riwayat Abu Daud (1067)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan berhubung masalah makmum yang masbuq pada solat Jumaat, sebahagian besar hukumnya sama seperti masbuq dalam solat-solat lain. Cuma, jika seseorang masuk sembahyang tanpa sempat sebarang rakaat pun, contohnya dia bertakbiratul ihram ketika imam sujud pada rakaat terakhir, maka di dalam mazhab Syafie dia dikira sempat solat berjemaah, tetapi tidak sempat solat Jumaat. Maka hendaklah diteruskan solat dengan empat rakaat sebagai solat Zuhur.

Inilah pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie berdasarkan hadis yang mengira Jumaat jika mendapati imam sekurang-kurangnya satu rakaat. Dalam sebuah hadis bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَدْرَكَ مِنْ صَلَاةِ الجُمُعَةِ رَكْعَةً فَقَدْ أَدْرَكَ

Maksudnya: “Siapa yang sempat satu rakaat daripada solat Jumaat, maka dia sudah dikira sempat.”

Riwayat al-Nasaie (no: 1425), al-Hakim (no: 1077) dan Ibnu Khuzaimah (no: 1850)

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

  رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.