#5474: Haid sebelum Saie

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana jika haid datang selepas tawaf dan sebelum saie?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sa`ie

Sa`ie pada bahasa ialah bekerja dan juga diberi maksud dengan cepat dapat perjalanan iaitu berlari. Sedangkan sa`ie antara Safa’ dan Marwah ialah Tawaf antara keduanya. (Lihat Mu’jam Lughah al-Fuqaha’) Sa`ie juga dengan maksud apa-apa pekerjaan yang dilakukan atau usaha dan digunakan juga dengan maksud berjalan banyak sebagaimana yang tercatat dalam firman-Nya:

وَجَآءَ مِنۡ أَقۡصَا ٱلۡمَدِينَةِ رَجُلٞ يَسۡعَىٰ قَالَ يَٰقَوۡمِ ٱتَّبِعُواْ ٱلۡمُرۡسَلِينَ

Maksudnya: “Dan (semasa Rasul-rasul itu diancam), datanglah seorang lelaki dari hujung bandar itu dengan berlari, lalu memberi nasihat dengan katanya: “Wahai kaumku! Turutlah rasul-rasul itu.”

(Surah Yasin: 20)

Mengikut Sa`di Abu Jaib, antara maksud sa`ie itu ialah kerja, usaha dan mengambil upah. (Lihat al-Qamus al-Fiqhi Lughtan wa Istilahan, hlm. 173).

Pada istilahnya iaitu berjalan antara Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali pergi dan balik selepas tawaf haji dan umrah. (Lihat al-Muhazzab, 2/769).

Amalan sa`ie adalah wajib mengikut pendapat ulama’ Hanafi. Sedangkan ia menjadi rukun mengikut jumhur ulama’ termasuk mazhab Syafi’e. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/180).

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan perempuan yang haid tidak dilarang melakukan ibadat-ibadat haji dan umrah melainkan tawaf dan sembahyang sunat untuk ihram. Apabila dia melakukan tawaf dalam keadaan suci kemudian keluar darah setelah selesai tawaf atau ketika sedang sa’ie, maka dia boleh melakukan sa’ie dan menyempurnakannya tanpa apa-apa halangan kerana tidak disyaratkan melakukan sa’ie dalam keadaan bersuci.

Sayyid Sabiq menyebut di dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah bahawa kebanyakan ahli ilmu berpendapat, tidak disyaratkan bersuci ketika sa’ie antara Safa dan Marwah kerana sabda Nabi SAW:

افْعَلِي مَا يَفْعَلُهُ الحَاجُّ غَيْرَ أَنْ لَا تَطُوفِي بِالْبَيْتِ حَتَّى تَطْهُرِيْ

Maksudnya: “Lakukanlah sebagaimana yang dilakukan oleh orang yang menunaikan haji, namun jangan melakukan tawaf di Baitullah melainkan setelah engkau suci.”

Riwayat al-Bukhari (no: 290) dan Muslim (1211)

Kami akhiri dengan doa kepada Allah, moga-moga Allah kurniakan kebaikan kepada kita semua dan dapat dikurniakan dengan haji dan umrah yang mabrur.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”