#5483: Tindik Pusat bagi Perempuan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya dahulu seorang yang jahil dan saya telah menindik di pusat. Soalan saya, apakah hukum menindik pusat bagi perempuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Tindik

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, tindik bermaksud suatu perbuatan melubangkan sesuatu bahagian tubuh seperti telinga, hidung, pusat bagi membolehkannya memakai anting-anting dan seumpamanya.

Berkenaan isu tindik juga, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#2561: Wanita Menindik Hidung[1]

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan Islam tidak melarang umatnya untuk berhias, namun ada batasan yang perlu diikut seperti menutup aurat, pakaian tidak ketat, tidak berlebihan dan sebagainya. Maka, dalam isu ini, kami katakan sebaik-baiknya anda hendaklah mencabutnya kerana ianya termasuk dalam istilah meniru perbuatan orang yang bukan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya: “Siapa yang menyerupai satu kaum maka ia termasuk di kalangan mereka.”

Riwayat Abu Daud (no: 4033). Kata Ibnu Hajar, “Sanadnya hasan” (Fathul Bari 10/271)

Antara sebab utama yang boleh menyebabkan berlaku penyelewengan ialah kerana berkawan dan bergaul dengan orang yang tidak baik. Lebih-lebih lagi jika anak itu kurang cerdik, lemah akidahnya dan mudah mengikut. Dalam keadaan begitu dia cepat terkesan dengan kawan-kawan yang tidak baik. Perangai yang keji dan akhlak yang buruk akan menjangkiti dirinya sehingga penyelewengan pula akan berakar umbi pada dirinya.

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa perbuatan menindik pusat adalah amat tidak sesuai bahkan ia bukan daripada adab dan budaya Islam yang sahih dan sebenarnya. Justeru hendaklah meninggalkan perbuatan tersebut dan tidak mengikut budaya orang lain.

Suka dinyatakan sebahagian ajaran Islam serta peringatannya tentang kawan-kawan yang jahat yang boleh membawa kepada kerosakan. Firman Allah SWT:

وَيَوْمَ يَعَضُّ الظَّالِمُ عَلَىٰ يَدَيْهِ يَقُولُ يَا لَيْتَنِي اتَّخَذْتُ مَعَ الرَّسُولِ سَبِيلًا ‎﴿٢٧﴾‏ يَا وَيْلَتَىٰ لَيْتَنِي لَمْ أَتَّخِذْ فُلَانًا خَلِيلًا ‎﴿٢٨﴾‏ لَّقَدْ أَضَلَّنِي عَنِ الذِّكْرِ بَعْدَ إِذْ جَاءَنِي ۗ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِلْإِنسَانِ خَذُولًا

Maksudnya: Dan (ingatkanlah) perihal hari orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangannya (marahkan dirinya sendiri) sambil berkata: “Alangkah baiknya kalau aku (di dunia dahulu) mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasul? “Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib! “Sesungguhnya dia telah menyesatkan daku dari jalan peringatan (Al-Quran) setelah ia disampaikan kepadaku. Dan adalah Syaitan itu sentiasa mengecewakan manusia (yang menjadikan dia sahabat karibnya)”.

(Surah al-Furqan: 27-29)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Nota hujung:

[1] https://maktabahalbakri.com/2561-wanita-menindik-hidung/