#5486: Tamak Menatijahkan Kehinaan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah tamak akan membawa seseorang itu kepada kebinasaan dan kehinaan? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam isu ini, kami menukilkan kata-kata Syeikh Zarruq: “Siapa yang memutuskan ahwal dan amalannya hendaklah juga memutuskan hayatnya daripada cita-citanya dengan semata-mata bertawajjuh bagi segala hakikat dan meninggalkan tamak kepada makhluk.”

مَا بَسَقَتْ أَغْصَانُ ذُلٍّ إِلَّا عَلَى بِذْرِ طَمَعٍ

Maksudnya: “Tidak akan berkembang biak berbagai cabang kehinaan itu kecuali di atas biji benih tamak dan kerakusan.”

Mafhum Hikmah

Hikmah ini dengan gaya bahasa pinjaman yang meningkatkan lagi keupayaan kata-kata sastera dan wacana bahasa yang memberi makna yang cukup mendalam. Iaitu hasil daripada sifat tamak, maka lahirlah kehinaan.

Iktibar Hikmah

  1. Tamak merupakan sebesar-besar aib dan membawa kepada kemusnahan jiwa dalam beribadat, bahkan ia merupakan punca kepada segala keruntuhan. Antara gejala buruk akibat tamak adalah:
  • Menafikan hakikat iman yang menyuruh kita menjaga kemuliaan.
  • Menyebabkan terhalang cita-cita.
  • Melahirkan banyak musuh.
  1. Abu Bakar al-Warraq berkata: “Kalau ditanya kepada tamak: “Siapa ayahmu?” Jawabnya: “Syak dalam urusan takdir.” Ditanya lagi: “Apa pekerjaanmu?” Jawabnya: “Mencari kehinaan.” Ditanya lagi: “Apa matlamat atau kehendakmu?” Jawabnya: “Terdinding.” (Lihat Ghaith al-Mawahib, hlm. 81)
  2. Tamak boleh merosakkan agama dan menjadikannya muflis daripada cahaya-cahaya keyakinan. Benarlah kata al-Hasan al-Basri:

فَسَادُ الدِّينِ الطَّمَعُ، وَصَلَاحُ الدِّينِ الوَرعُ

Maksudnya: Rosaknya agama dengan tamak dan baiknya agama dengan adanya sifat warak. (Lihat Minhaj al-‘Abidin, hlm. 119; Mirqat al-Mafatih, 9/174)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”