#5490: Doa Berlindung dari Empat Perkara

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh yang saya amalkan untuk dijauhi dari ilmu yang tidak bermanfaat, doa tidak diterima dan seumpamanya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sabda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبِ لَا يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Aku berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Riwayat Muslim (7081), Abu Daud (1458), al-Tirmizi (3482), al-Nasa’ie (5536), Ibn Majah (3837) Ahmad (19402) dan Ibn Hibban (1015)

Maksud ungkapan “أعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ” ialah lindungilah aku dari ilmu yang aku tidak beramal dengannya, dan ilmu yang aku tidak mengambil manfaat dengannya, dan aku tidak mengajarkan manusia dengannya, serta ilmu yang tidak menambah baik pada akhlak, amalan dan kata-kata. Ini kerana ilmu yang bermanfaat itu ialah yang menambahkan rasa takut kepada Allah SWT, dan menambahkan kesedaran seorang hamba terhadap aib-aib dan kekurangan dirinya sendiri serta kekurangan-kekurangan di dalam amalannya. (Lihat Tuhfah al-Zakirin, hlm. 419; Faidh al-Qadir, 2/153 dan al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 3/132)

Imam al-Nawawi berkata: وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ dari nafsu yang tidak pernah kenyang), maksudnya berlindung daripada sikap tamak, rakus, tidak mempunyai harga diri dan terbelenggunya jiwa dengan angan-angan yang jauh. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 11/1047)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: Hati yang tidak khusyuk ialah hati yang tidak tetap dan tidak tenang dalam zikir kepada Allah. Manakala maksud “نَفْسٍ لَا تشبع” adalah nafsu yang tidak kenyang dengan apa yang telah diberikan Allah SWT, serta tidak merasa qana’ah (cukup) dan puas dengan rezeki yang telah dikurniakan-Nya, dan juga tidak berhenti mengumpulkan harta disebabkan sikap tamak dan haloba yang keterlaluan. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 4/1706)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”