#5491: Doa Diilhamkan Kecerdasan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa agar diberi kecerdasan? Mohon pencerahan Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sebenarnya pelbagai doa yang boleh untuk kita amalkan. Maka, antara doa yang boleh saudara amalkan adalah:

Sabda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Riwayat al-Tirmizi (34) (3483), al-Tabarani dalam al-Du’a (1393), al-Bazzar (3580) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al- Sifat (894)

Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Imran bin Husain R.A, bahawa Nabi SAW pernah mengajar bapanya, dua kalimat yang dibaca di dalam doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنِي رُشْدِي، وَأَعِذْنِي مِنْ شَرِّ نَفْسِي

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepadaku petunjuk dan kecerdasan serta lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku.”

Syeikh al-Mubarakfuri menyebut, yakni berikanlah taufik padaku kepada al- rusyd iaitu petunjuk kepada kebaikan. Dan lindungilah aku daripada kejahatan nafsuku, yakni peliharalah aku daripada kejahatannya di mana ia adalah tempat tumbuhnya perkara-perkara yang keji. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/455)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَأرْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah kebaikan buat kami, jangan cegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”