#5492: Doa Memohon Petunjuk, Ketakwaan, Iffah dan Kekayaan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah doa yang boleh saya amalkan agar diberi petunjuk, ketakwaan dan kekayaan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sabda Nabi SAW:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Maksudnya: “Wahai Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada- Mu petunjuk, ketakwaan, sifat iffah dan kekayaan.”

Riwayat Muslim (2721), al-Tirmizi (3489), Ibn Majah (3105), Ahmad (3950) dan Ibn Hibban (900)

Penjelasan Doa:

Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud R.A, beliau berkata: Nabi SAW biasa membaca doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ الْهُدَى ، وَالتُّقَى ، وَالْعَفَافَ ، وَالْغِنَى

Riwayat Muslim (2721)

Imam al-Nawawi menjelaskan: ” ‘Afaf dan ‘iffah bermaksud menjauhkan dan menahan diri daripada perkara yang diharamkan. Manakala al-ghina) (الْغِنَى ialah hati yang selalu merasa cukup dan tidak berhajat kepada apa yang ada di sisi manusia. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 17/41)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan: “al-Huda (الْهُدَى) bermaksud hidayah yang sempurna. Al-Tuqa (التُّقَى)ertinya ketakwaan yang menyeluruh. Al-Afaf (العَفَافَ)bermaksud al-kafaf (kecukupan rezeki). Sebahagian ulama menyebut, ertinya adalah al-‘iffah (terpeliharanya diri dari maksiat). Sebahagian ulama’ menyebut, ertinya keterpeliharaan diri dari yang haram. Dinukilkan dari Abu al-Futuh al- Naisaburi, katanya: “Al-‘Afaf bermaksud kesolehan jiwa dan hati.” Manakala al ghina (الغِنَى)bererti kekayaan hati, iaitu merasa cukup dari apa yang ada pada manusia. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 5/1721)

Ibn ‘Allan al-Syafi’e menyebut: “Al-‘afaf bermaksud terhindar daripada segala maksiat dan keburukan. Al-ghina pula bererti tidak ada perasaan berhajat kepada makhluk. (Lihat Dalil al-Falihin, 7/275)

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”