#5496: Hikmah Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hikmah disebalik mandi wajib? Terima kasih Dato.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara umumnya, mandi wajib ialah mandi yang tidak sah ibadat tanpanya apabila terdapat sebab-sebab yang mewajibkan mandi. Sebab-sebabnya ialah janabah, haidh, bersalin dan mati. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/73).

Allah SWT memerintahkan hamba-Nya melaksanakan mandi wajib bagi sesiapa yang berhadas besar sebelum melakukan beberapa ibadah seperti mendirikan solat, tawaf, memegang mushaf al-Quran, beriktikaf di masjid dan seumpamanya. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.

(Surah al-Nisa’: 43)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

Begitu juga, firman Allah SWT:

 وَإِن كُنتُمْ جُنُبًا فَاطَّهَّرُوا ۚ

Maksudnya: “Dan jika kamu junub (berhadas besar) maka bersucilah dengan mandi wajib.”

(Surah al-Maidah: 6)

Syeikh al-Sa’di menyatakan bahawa terdapat banyak persoalan hukum (yang dapat dikeluarkan) daripada ayat ini. Antaranya ialah perintah mendirikan solat, perintah untuk berniat bagi mengerjakan solat, juga disyaratkan untuk bersuci (daripada hadas) bagi sah solat, juga bersuci tidak diwajibkan ketika masuknya waktu solat tetapi wajib ketika hendak mendirikan solat dan lain-lain. (Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 222)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan setiap perkara yang diwajibkan oleh Allah SWT pasti ada hikmah dan alasan di sebaliknya, Akan tetapi, kadangkala terdapat hikmah yang tidak dapat fikir dengan akal kerana ia merupakan rahsia Allah SWT. Hakikat ibadat adalah mematuhi suruhan Allah SWT dan bersyukur terhadap nikmat-Nya. Sama ada manusia mengetahui setiap hikmah atau pun tidak, hamba tetap hamba dan Tuhan tetap Tuhan. Tuhan berhak untuk menyuruh dan menegah, manakala hamba pula wajib mendengar dan patuh. Sekiranya manusia tidak mentaati Allah SWT kecuali apa yang diterima oleh akalnya sahaja, nescaya ketika itu dia hanya taat kepada akalnya dan bukan kepada Tuhannya.

Hikmah Mandi Wajib

Namun begitu, jika dari sudut sains, ia boleh dilihat secara zahir yakni, antara hikmahnya adalah:

  • Berjunub membuat seseorang itu segan dan malas. Mandi dapat memperbaharui kecergasan. Oleh kerana itu, berkenaan mandi junub ini, Abu Zar R.A berkata: “la seolah-olah aku telah mencampakkan satu beban.”
  • Para doktor juga telah menerangkan bahawa mandi selepas bersetubuh dapat mengembalikan kekuatan badan dan menggantikan apa yang telah dibuang. Ia adalah sesuatu yang mendatangkan kebaikan untuk badan dan roh. Mengabaikan suruhan mandi akan memberi kesan buruk kepada kita. Memadailah dengan melihat kesannya kepada badan dan akal.
  • Sekiranya Allah SWT mensyariatkan juga mandi kerana keluar air kencing, nescaya itu akan menimbulkan kesulitan dan kerumitan kepada umat dan ia seolah-olah menyekat hikmah, rahmat dan ihsan Allah SWT terhadap hamba-Nya. Adapun kesukaran untuk mandi selepas bersetubuh tidak menjadi masalah besar kerana persetubuhan tidaklah seperti kerapnya kencing.
  • Kesukaran sebegini seolah-olah boleh menjadi kawalan terhadap manusia supaya tidak melampau dalam perhubungan seks. Lagi pun bahayanya memang tidak dapat dinafikan lagi.
  • Orang Islam tidak hidup semata-mata untuk melayan syahwat dan nafsunya, tetapi kerana risalah Allah SWT. Dalam setiap apa yang dilakukan, pasti ada hak Allah SWT. Dalam persetubuhan, pasangan suami isteri telah menunaikan hak dirinya dan hak pasangannya (dengan menunaikan nafkah batin). Yang tinggal ialah hak Allah SWT dan ia akan tertunai dengan mandi junub.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”