#5397: Hari Keempat Peperangan al-Qadisiyyah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana keadaan suasana keadaan hari keempat dan kisah terbunuhnya Rustum, Panglima tentera Parsi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertempuran yang berlaku sebenarnya sudah mula reda tatkala malam mula gelap. Panglima Sa’ad kemudian bimbang, jika sekiranya musuh datang dari tempat penyeberangan sungai yang cetek di bawah markasnya. Lantas dia mengirim Tulaihah dan ‘Amr dalam satu pasukan dengan pesanan: “Jika mereka sudah mendahului kamu semua ke sana, maka turunlah mereka di seberang mereka. Jika ternyata kosong, beritahulah dan tinggallah di sana sehingga datang perintahku nanti.”

Para panglima Muslim sepakat untuk melanjutkan peperangan kerana pasukan Parsi sudah mula lemah. Al-Qa’qa’ tampil sebagai pembangkit semangat pasukan.

Pada hari keempat ini juga, al-Qa’qa’ dan beberapa pasukan tenteranya merancang untuk membunuh Rustum.

Panglima Rustum Dibunuh

Tatkala tentera Parsi berada dalam keadaan yang kucar-kacir, pasukan pengawal markasnya dapat ditembusi oleh tentera Islam sehingga menghampiri singgahsana Panglima Rustum.

Rustum cuba melarikan diri dalam keadaan kabus tebal dan debu berterbangan yang berpunca daripada derapan pasukan tentera berkuda pimpinan Panglima al-Qa’qa’ RA, pasukan yang paling hampir dengan markas besar tentera Parsi. Pada saat ini, dia dilihat oleh seorang anggota tentera Islam bernama Hilal bin ‘Ullafah, lalu Hilal pun menerkam dan membunuhnya.

Hilal melompat ke atas singgahsana Panglima Rustum dan melaungkan: “Demi Tuhan yang memiliki Kaabah! Aku telah berjaya membunuh Rustum. Mari datang ke arahku dan saksikan.”  (Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 3/564; al-Kamil fi al-Tarikh, 2/313; al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 4/176; Mir’at al-Zaman, 5/178; Tarikh Ibn Khaldun, 2/535)

Kematian Rustum dengan segera meruntuhkan semangat tentera pasukan Parsi.

Al-Tabari menyebut dalam kitab Tarikhnya: Apabila al-Qa’qa’ dan pasukannya mara sehingga tiba di kawasan Rustum, mereka mendapati Rustum telah meninggalkan tempatnya dan pergi dengan seekor keldai – tatkala angin memporak-perandakan barang-barangnya yang ringan –  yang telah dipenuhi dengan harta miliknya. Ketika itu, dia melarikan diri dengan menyelinap dan berlindung di antara keldai-keldai yang membawa harta miliknya. Hilal bin Ulaffah lalu menyerang salah satu keldai yang di bawahnya ada Rustum. Dia memutuskan tali-temali yang mengikat barang bawaan Rustum. Maka salah satu barang bawaan yang ada di atas keldai jatuh dan menimpa Rustum hingga menjadikan tulang belakangnya patah. Hilal melihat Rustum dan tidak mengetahui bahawa orang tersebut ada di salah satu keldai yang diserangnya. Hilal memukul salah satu barang bawaan keldai tersebut, dan tersebarlah aroma minyak misk.

Ketika itu, Rustum telah merangkak pergi dengan menyelinap dan terjun ke Sungai Atiq. Apabila melihatnya, Hilal mengenali bahawa dia adalah Rustum. Maka Hilal segera terjun ke sungai dan mengejarnya. Rustum pun berenang dan Hilal dalam keadaan berdiri berjaya meraih kaki Rustum dan menyeretnya. Dengan pedangnya, Hilal melibas ke arah kening Rustum menyebabkannya tewas. Kemudian mayatnya diseret dan dilemparkan di bawah keldai. Setelah itu, dia menuju ke pelana Rustum dan bertempik: “Demi Tuhan pemilik Ka’bah, aku telah membunuh Rustum! Ke marilah!”

Apabila tersebarnya berita kematian Rustum di sisi tentera Parsi, maka jatuhlah semangat dan kekuatan mereka. Jalianus telah mengetahui bahaya yang mendatang dalam peperangan ini lantas mengarahkan tentera Parsi berundur dan merentasi al-Radm. Adapun yang terikat dengan rantai-rantai pada kaki mereka telah ditimpa rasa takut dan bimbang menyebabkan mereka terjun dalam sungai Atiq, lantas dipanah oleh tentera Islam. Mereka semua tenggelam lemas dan tiada seorang pun yang hidup. Ketika itulah Sa’ad bin Abi Waqqas memerintahkan dua tentera Islam mengejar mereka iaitu Qa’qa dan Syurahbil bin al-Samt dan kedua-duanya dapat melaksanakan tugas dengan sebaiknya.

Siapa Panglima Rustum?

Kami kemukakan sedikit maklumat tentang panglima Parsi yang terkenal ini. Rustum Farrokhzad adalah panglima tentera Parsi semasa pemerintahan Yazdegerd III, raja terakhir Empayar Sasanid (632M – 651M). Beliau berasal dari Armenia dan setia berkhidmat kepada raja Parsi. Rustum adalah seorang bijaksana, berakal dan licik, melihat melalui konflik-konflik sebelumnya. Apabila para pengikutnya bertanya mengapa orang Arab tidak mengendahkan pakaian mereka, beliau menjawab: “Orang Arab tidak menghiraukan penampilan luaran, tetapi mereka mengambil berat tentang keturunan dan harga diri.” (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 9/623; Tarikh al-Umam wa al-Muluk, 2/402, Hayat al-Sahabah, 1/259)

Rustum terlibat dalam beberapa pertempuran dengan orang Islam sehingga akhirnya beliau terbunuh di tangan mereka dalam perang al-Qadisiyyah ini.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ

Maksudnya:  “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”

 Riwayat al-Bukhari (6393)

اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ

Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”

 Riwayat al-Bukhari (2965)