Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Datuk. Bolehkah kita membaca kitab yang bernama Nahj Al-Balaghah oleh Al-Sharif Al-Radhi, Al-Kafi oleh Al-Kulayni dan Bihar Al-Anwar oleh Al-Majlisi bagi tujuan mengkaji?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.
Sebelum kami menyatakan pandangan kami, eloklah kami memperkenalkan terlebih dahulu secara ringkas tentang buku-buku ini dan pengarang-pengarangnya.
Kitab Nahj Al-Balaghah oleh Al-Sharif Al-Radhi
Kitab yang pertama adalah Nahj Al-Balaghah. Ia merupakan sebuah kitab yang disandarkan intipatinya kepada Saidina Ali R.A. Imam Al-Zahabi mengatakan bahawa orang yang mengumpulkan intipati tersebut ialah Al-Murtadha Ali bin Husain bin Musa Al-Qurasyi, kemudian disandarkan kepada Saidina Ali R.A tanpa sebarang sanad. Dikatakan juga bahawa yang mengumpulkan lalu mengarang kitab tersebut adalah Al-Sharif Al-Radhi (ini merupakan pandangan yang masyhur).[1]
Nama penuhnya ialah Al-Radhi Al-Sharif Muhammad bin Al-Husain bin Musa Al-Husaini. Beliau merupakan seorang yang memegang fahaman Syi‘ah. Beliau meninggal pada tahun 406 Hijrah ketika berusia 47 tahun.[2] Kitab ini merupakan usaha pengumpulannya yang paling masyhur.
Adapun status kitab Nahj Al-Balaghah ini dipertikaikan oleh sebahagian ulama’ Ahli Sunnah wal Jama‘ah sebagai ucapan, khutbah dan surat yang disandarkan kepada Saidina Ali R.A. Hal Ini kerana, ia bercampur aduk antara yang benar dan palsu. Ini sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam al-Zahabi dalam Siyar A‘lam Al-Nubala’, kemudian beliau menambah bahawa di dalam kitab tersebut terdapat banyak kata-kata palsu yang sangat jauh untuk mengatakan bahawa Saidina Ali R.A yang mengungkapkannya.[3]
Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah berkata: “Kebanyakan khutbah yang disampaikan oleh pengarang Nahj Al-Balaghah adalah pendustaan terhadap Ali R.A.”[4]
Kitab Al-Kafi
Kitab kedua adalah Al-Kafi fi Al-Usul wa Al-Furu‘, atau nama ringkasnya disebutkan sebagai Al-Kafi. Kitab ini merupakan antara sumber rujukan terpenting dalam ilmu hadith utama bagi fahaman Syi‘ah, antara sumber lainnya adalah kitab Tahzib Al-Ahkam dan Al-Istibsar oleh Al-Tusi, dan kitab Man La Yahduruhu Al-Faqih oleh Al-Saduq. Kitab ini terdiri daripada 3 pembahagian: Al-Usul, Al-Furu‘, Al-Raudhah.
Kitab ini dikarang oleh Abu Ja‘far Muhammad bin Ya‘qub Al-Kulayni, seorang tokoh fahaman Syi‘ah dan ulama mazhab Imamiyyah. Dia meninggal di Baghdad, pada tahun 328 Hijrah.[5]
Kitab ini terdapat banyak perbezaan yang ketara dengan fahaman Ahli Sunnah wal Jama‘ah. Antara contoh yang kami boleh bawakan adalah seperti berikut:
- Di dalamnya terdapat bab yang bertajuk: “Bab Bahawa Imam-imam A.S Mengetahui Bila Mereka Akan Meninggal dan Mereka Tidak Akan Mati Kecuali Dengan Pilihan Mereka Sendiri.”[6]
- Padanya juga terdapat bab yang bertajuk: “Bab Bahawa Imam-imam A.S Mengetahui Tentang Masa Lampau dan Masa Depan, dan Bahawasanya Tidak Ada Yang Tersembunyi Dari Mereka.”
Dan diriwayatkan daripada Abu ‘Abdillah, katanya: “Sesungguhnya aku mengetahui apa yang ada di langit dan di bumi, aku mengetahui apa yang ada di syurga dan neraka, aku mengetahui apa yang telah terjadi dan yang akan terjadi.”[7]
Kitab Bihar Al-Anwar
Kitab yang ketiga adalah Bihar Al-Anwar, atau nama panjangnya disebut Bihar Al-Anwar Al-Jami‘ah li Durar Akhbar Al-A’immah Al-Athar. Ia merupakan salah satu kitab hadith yang masyhur dalam fahaman Syi‘ah Imamiyyah.
Orang yang bertanggungjawab mengumpulkan hadith-hadith lalu membukukannya menjadi Bihar Al-Anwar adalah Abu ‘Abdillah Muhammad Baqir bin Muhammad Taqi bin Maqsud ‘Ali Al-Majlisi. Beliau meninggal dunia di Isfahan, Iran pada tahun 1111 Hijrah.[8] Beliau banyak berguru dengan ulama’ besar Syi‘ah antaranya adalah bapanya sendiri Muhammad Taqi Al-Majlisi.
Sheikh Ibn Baz Rahimahullah berkata mengenai kitab ini: “Telah menyampaikan kepadaku orang yang aku percaya dan banyak menelaah kitab-kitab syiah, bahawa kitab ini, iaitu Bihar Al-Anwar penuh dengan hadith-hadith dusta dan palsu.”[9]
Antara contoh pendustaan dan celaan sahabat yang terdapat di dalam kitab ini seperti berikut:
- Katanya: “Kebanyakan para sahabat adalah munafik, tetapi cahaya nifaq mereka tersembunyi di zaman mereka. Tetapi apabila wafat Nabi SAW tersingkaplah cahaya nifaq mereka itu melalui wasiat nabi dan mereka itu kembali secara mengundur ke belakang. Dan kerana ini Saidina Ali berkata: Semua manusia murtad selepas wafat Nabi SAW kecuali empat orang sahaja iaitu Sulaiman, Abu Zar, Miqdad dan ‘Ammar, dan perkara ini tidak ada masalah lagi.”[10]
Selepas kita mengetahui berkenaan ketiga-tiga kitab secara umum, bagi mereka yang ingin mendalami dan mengkaji kitab tersebut, kami nasihatkan beberapa perkara:
- Mesti memahami akidah Ahli Sunnah wal Jama‘ah dengan sebaik mungkin. Ini kerana kaedah menyebut: “Dengan mengetahui kebenaran, maka akan terzahirlah sebaliknya.”
- Sebarang maklumat yang bercanggah perlulah ditapis dengan sebaik mungkin dengan merujuk kepada para alim ulama supaya jangan berlaku kesalahfahaman.
- Bacalah sekali buku-buku yang dikaryakan oleh ulama’ Ahli Sunnah wal Jama‘ah dalam menilai suatu hadith atau mengikut neraca ulama’ yang sebenarnya.
- Saya mengesyorkan juga agar dibuat diskusi bersama mereka yang memahami mazhab Ahli Sunnah wal Jama‘ah dengan sebaiknya agar apa yang dibaca dan ditekuni tidak menyalahi yang sebenar.
- Mereka yang mengkaji perlulah menginsafi dengan sebaiknya kerana dibimbangi terdapatnya kekeliruan dalam fakta yang dikemukakan. Justeru sandaran dari para ulama’ yang thiqah (dipercayai) amat perlu.
- Alangkah baiknya, saudara juga membaca hadith-hadith sahih daripada Sahih Bukhari dan Muslim terlebih dahulu.
Kesimpulan
Masyarakat umum dapat melihat daripada perbincangan yang kami bawakan di atas bahawa golongan Syi‘ah banyak berbeza dengan Ahli Sunnah wal Jamaah berkenaan dengan para sahabat, mendakwa mengetahui perkara ghaib, isu mushaf al-Quran, isu Ahlul Bayt, kedudukan mazhab-mazhab Syiah seperti Imamiyyah, Ja‘fariyyah, Zaidiyyah, Rafidiyyah, dan lain-lain juga amat nyata berbeza. Hal ini jelas berdasarkan apa yang disebutkan oleh Al-Sharif Al-Radhi, Al-Kulayni dan Al-Majlisi.
Oleh yang demikian, kami katakan agar berhati-hati apabila membuat bacaan terhadap kitab-kitab Syi‘ah. Membaca kitab-kitab yang disebutkan di atas tidaklah salah dan dibolehkan. Akan tetapi, perlulah dengan tujuan yang betul seperti kajian yang teliti bagi menilai kesahihan isi kandungannya, dan juga perbezaan dengan kefahaman Ahli Sunnah wal Jamaah.
Jika orang yang membaca tersebut kurang memahiri tentang permasalahan akidah, dia perlulah mendapatkan bimbingan mereka yang lebih berkeahlian supaya dapat dijauhkan dari salah faham.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.
Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”
Wallahua‘lam.
[1] Lihat Siyar A‘lam Al-Nubala’, 17/589.
[2] Lihat Siyar A‘lam Al-Nubala’, 17/286.
[3] Lihat Siyar A‘lam Al-Nubala’, 17/589.
[4] Lihat Minhaj Al-Sunnah Al-Nabawiyyah, 8/55.
[5] Lihat Siyar A‘lam Al-Nubala’, 15/280.
[6] Lihat Al-Kafi (Al-Usul), 1/258.
[7] Lihat Al-Kafi (Al-Usul), 1/260.
[8] Lihat Al-Wajizah fi Al-Rijal, 1/1.
[9] Lihat Majmu‘ Fatawa, 26/225.
[10] Lihat Bihar Al-Anwar, 27/66.
Bertarikh: 9 Mei 2022 bersamaan 20 Syawal 1444H