#5500: Maksud Subhana (سُبْحَانَ) dalam Surah al-Isra’ Ayat 1

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud subhana (سُبْحَانَ) dalam Surah al-Isra’ ayat 1?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 (Surah al-Isra’: 1)

Sayyid Qutb menyebutkan, surah ini dimulakan dengan ucapan tasbih yang merupakan satu harakat jiwa yang paling sesuai dengan suasana Isra’ yang amat halus, juga merupakan satu hubungan yang paling sesuai di antara hamba dengan Allah di ufuk yang gemilang itu. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/500).

Al-Tabari menyebutkan, maksud firman Allah SWT, ‘سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا’ (Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam) adalah, untuk menyucikan Tuhan yang memperjalankan hamba-Nya pada malam hari, dan pembersihan bagi-Nya daripada ucapan orang-orang musyrik bahawa Dia memiliki sekutu daripada makhluk-Nya, isteri dan anak, serta untuk menyatakan ketinggian dan pengagungan bagi-Nya daripada pelbagai kebodohan dan perkataan keliru yang mereka sandarkan kepada-Nya. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 16/494).

Ibn Kathir berkata, “Allah SWT menunjukkan keagungan dan kebesaran Zat-Nya kerana kemampuan-Nya yang tidak mampu dilakukan oleh sesiapa pun selain Dia. Oleh kerana itu, tidak ada yang layak disembah selain Dia dan tidak ada tuhan selain Dia. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/276).

Al-Qurtubi menyebutkan, lafaz ‘سُبْحَانَ’ adalah isim yang diposisikan pada masdar dan ia tidak tetap (غَيْرُ مُتَمَكِّنٌ) kerana tidak berlaku baginya aspek-aspek i’rab, dan juga tidak dapat dimasuki huruf alif dan lam. Begitu juga tidak ada kata kerjanya. Begitu juga tidak berlaku hukum saraf kerana di bahagian akhirnya ada dua tambahan. Dikatakan ‘سَبَّحْتُ تَسْبِيحًا وَسُبْحَانًا’ sepertimana ‘كَفَّرْتُ الْيَمِينَ تَكْفِيرًا وَكُفْرَانًا’. Ertinya, mensucikan dan membebaskan Allah ‘Azza wa Jalla daripada segala kekurangan. Lafaz ini juga merupakan zikir yang agung kepada Allah SWT dan tidak layak untuk selain-Nya.

Terdapat riwayat daripada Talhah bin ‘Ubaidullah al-Fayyadh, bahawasanya beliau bertanya berkata kepada Nabi SAW: “Apakah erti Subhanallah?” Baginda menjawab:

 تَنْزِيهُ اللَّهِ مِنْ كُلِّ سُوءٍ

Maksudnya: “Mensucikan Allah daripada segala keburukan.”

‘Amil di dalamnya menurut pendapat Sibawaih adalah kata kerja yang pada maknanya, bukan pada lafaznya. Ini kerana tidak berlaku kata kerja daripada lafaznya. Hal ini seperti ungkapan ‘قَعَدَ الْقُرْفُصَاءَ’ dan ‘اشْتَمَلَ الصَّمَّاءَ’ (duduk dengan mendekapkan lutut ke perut). Justeru, maknanya yang dikehendaki (taqdirnya) adalah: ‘أُنَزِّهُ اللَّهَ تَنْزِيهًا’ (Aku mensucikan Allah dengan sebenar-benar penyucian — daripada segala kekurangan). Pendapat lain menyebut, bahawa itu adalah nama untuk ‘التَّسْبِيح’ (penyucian), seperti halnya nama ‘عُثْمَانَ’ untuk orang lelaki. Nasabnya itu (yakni berbaris atas pada akhir kalimatnya) adalah disebabkan oleh fi‘il yang tersembunyi, yang tidak ditampakkan. Taqdirnya, ‘أُسَبِّحُ اللَّهَ سُبْحَانَ’, kemudian ia (lafaz سُبْحَانَ)  menempati kedudukan fi‘il (kata kerja) dan menjalankan peranannya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 10/204; lihat juga Fath al-Qadir, 3/245).

Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan lagi, lafaz ‘سُبْحَانَ’ dibaca nasab (baris atas pada akhir kalimatnya) kerana fi‘il (kata kerja) yang tidak dizahirkan. Asalnya adalah ‘أُسَبِّحُ اللَّهَ سُبْحَانَ’ (Aku bertasbih kepada Allah, Maha Suci). Kemudian lafaz ‘سُبْحَانَ’ menempati kedudukan kata kerja yang tidak dizahirkan tersebut.

Seterusnya beliau menyatakan lagi, ‘سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ’ adalah sebuah kalimat pembukaan yang sangat bagus (براعة استهلال). Ini kerana, isra’ merupakan peristiwa yang luar biasa, maka surah ini dimulakan dengan sesuatu yang menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah dan menyucikan-Nya daripada sifat-sifat kekurangan.

Selanjutnya, beliau turut menyebutkan bahawa lafaz ‘سُبْحَانَ’ adalah isim ‘alam (kata nama) seperti ‘عُثْمَانَ’ yang mengandungi erti al-Tasbih (masdar), iaitu penyucian segala sifat lemah dan kurang yang tidak layak bagi keagungan dan kesempurnaan Allah.

Tafsirannya adalah: Aku sucikan Allah daripada semua keburukan. Dia yang telah memperjalankan hamba-Nya, Muhammad SAW pada sebahagian malam dari Masjidil Haram di Makkah al-Mukarramah menuju Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis, lalu kembali ke negerinya pada malam itu juga. Begitu juga aku sucikan Allah daripada semua sifat tidak mampu dan kekurangan, serta daripada apa yang dikatakan oleh orang-orang musyrik tentang adanya sekutu atau anak bagi-Nya. Aku juga menegaskan bahawa Allah memiliki kekuasaan yang sempurna dan luar biasa. Kerana Dia Maha Kuasa untuk merealisasikan sesuatu yang lebih aneh daripada apa yang dikhayalkan dan difikirkan manusia. Sehingga tidak aneh jika Dia memperjalankan hamba-Nya pada jarak yang sangat jauh dalam waktu singkat pada sebahagian malam sahaja. Peristiwa isra’ tersebut untuk memuliakan Nabi-Nya, mengangkat darjat Baginda dan meninggikan kehormatan Baginda, sebagai mukjizat abadi sepanjang masa bagi Baginda. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/24-26).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)