#5507: Maksud ‘Abdihi (عَبْدِهِ) dalam Surah al-Isra’ Ayat 1

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan maksud ‘abdihi (عَبْدِهِ) dalam Surah al-Isra’ Ayat 1?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ لَيْلًا مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الْأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا ۚ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Maksudnya: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

 (Surah al-Isra’: 1)

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Menurut ijma’ (kesepakatan) mufassir, yang dimaksudkan hamba pada lafaz ‘بِعَبْدِهِ’ adalah Nabi Muhammad SAW. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/24).

Sebutan dengan ‘abdihi (عَبْدِهِ) sebagai tanda kemuliaan atau tasyrif. Ia juga memberi peringatan supaya tidak diambil peristiwa isra’ untuk mengangkat maqam rasul daripada maqam ‘ubudiyyah kepada maqam uluhiyyah.

Al-Syaukani berkata: Allah SWT menyebut ‘بِعَبْدِهِ’ (hamba-Nya) dan tidak mengatakan ‘بِنَبِيِّهِ’ (Nabi-Nya) atau ‘رَسُولِهِ’ (Rasul-Nya) atau ‘بِمُحَمَّدٍ’ (Muhammad) kerana sebagai bentuk pemuliaan terhadap Baginda SAW.

Para ulama berkata, “Seandainya ada isim yang lebih mulia daripada ini, Allah SWT tentu menyebutkan itu pada posisi dan kedudukan nan agung ini.

لَا تَدْعُنِي إِلَّا بِيَاعَبْدِهَا             فَإِنَّهُ أَشْرَفُ أَسْمَائِي

Janganlah kau memanggil kecuali dengan panggilan, “Wahai hambanya,”

                        Kerana sesungguhnya itu adalah namaku yang paling mulia.

ادِّعَاءً بِأَسْمَاءٍ نَبْزًا فِي قَبَائِلِهَا                كَأَنَّ أَسْمَاءً أَضْحَتْ بَعْضَ أَسْمَائِي

Seruan dengan nama-nama sebagai julukan pada kabilah-kabilahnya

            Seolah-olah ada banyak nama yang menjadi sebahagian nama-namaku.”

(Lihat Fath al-Qadir oleh al-Syaukani, 3/246).

Sayyid Qutb berkata: Ayat ini menyebut sifat ‘Ubudiyyah, ‘أَسْرَىٰ بِعَبْدِهِ’ (“membawa hamba-Nya berjalan”) untuk memantap dan menekankan sifat ‘Ubudiyyah itu di maqam Isra’ dan Mi’raj kepada darjat-darjat yang amat tinggi, yang tidak pernah dicapai oleh mana-mana manusia. Tujuannya supaya sifat ‘Ubudiyyah itu tidak dilupakan dan supaya maqam ‘Ubudiyah itu tidak terkeliru dengan maqam Uluhiyyah sebagaimana kekeliruan di antara dua maqam itu telah berlaku dalam aqidah-aqidah Kristian selepas Isa AS dengan sebab-sebab yang menyelubungi suasana kelahiran dan kewafatan beliau. Begitu juga dengan sebab-sebab beberapa mukjizat yang dikurniakan kepada beliau, lalu digunakan oleh setengah-setengah penganut Kristian sebagai sebab untuk mencampuradukkan di antara maqam ‘Ubudiyyah dengan maqam Uluhiyyah. Dengan demikian, aqidah Islam dapat mengekalkan sifatnya yang bersahaja, mudah, jelas dan dapat membersihkan zat Allah daripada segala kekeliruan syirik atau penyerupaan dengan makhluk sama ada dari dekat atau dari jauh.  (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/502).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”