#5512: Nabi Melihat Malaikat Jibril AS dalam Rupa Bentuknya yang Sebenar

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Berapa kalikah Nabi SAW melihat Malaikat Jibril dalam rupa bentuknya yang sebenar?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan dalil yang jelas, Rasulullah SAW melihat malaikat Jibril dengan rupanya yang sebenar adalah sebanyak dua kali. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Suyuti dalam al-Khasais al-Kubra (1/197), iaitu:

Kali Pertama: Di bumi ketika mana diturunkan wahyu

Daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, beliau berkata: Aku mendengar Nabi SAW menceritakan tentang tempoh terputusnya wahyu. Baginda mengatakan dalam ceritanya:

فَبَيْنَا أَنَا أَمْشِي إِذْ سَمِعْتُ صَوْتًا مِنَ السَّمَاءِ فَرَفَعْتُ رَأْسِي، فَإِذَا المَلَكُ الَّذِي جَاءَنِي بِحِرَاءٍ جَالِسٌ عَلَى كُرْسِيٍّ بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَجَئِثْتُ مِنْهُ رُعْبًا، فَرَجَعْتُ فَقُلْتُ: زَمِّلُونِي زَمِّلُونِي، فَدَثَّرُونِي، فَأَنْزَلَ اللَّهُ تَعَالَى: {يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ} إِلَى }وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ{ قَبْلَ أَنْ تُفْرَضَ الصَّلاَةُ وَهِيَ الأَوْثَانُ.

Maksudnya:Ketika aku berjalan tiba-tiba aku mendengar suara dari langit. Aku mengangkat kepalaku dan ternyata malaikat yang datang kepadaku (ketika) di Hira’ sedang duduk di atas kerusi di antara langit dan bumi. Aku ketakutan kerananya. Maka aku pulang dan berkata: ‘Selimutkanlah aku, selimutkanlah aku.’ Mereka pun menyelimutkanku. Lalu Allah menurunkan (ayat): “يَا أَيُّهَا المُدَّثِّرُ” (Wahai orang yang berselimut) – hingga firman-Nya – “وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ” (dan perbuatan dosa maka tinggalkanlah [Surah al-Muddatthir: 1-5] sebelum difardhukan solat. Dosa yang dimaksudkan adalah berhala (yakni jauhilah berhala).

Riwayat al-Bukhari (4925)

Apa yang Rasulullah SAW lihat ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

وَلَقَدْ رَآهُ بِالأفُقِ الْمُبِينِ

Maksudnya: “Dan (Nabi Muhammad yakin bahawa yang disampaikan kepadanya ialah wahyu dari Tuhan, kerana) demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah mengenal dan melihat Jibril di kaki langit yang nyata.”

(Surah al-Takwir: 23)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini berkata: “Iaitu, Muhammad telah melihat Jibril yang menyampaikan risalah kepadanya daripada Allah dengan rupa yang Allah jadikannya, yang mempunyai 600 sayap. Lafaz “بِالأفُقِ الْمُبِينِ” iaitu al-Bayyin (jelas nyata), ia merupakan kali pertama Rasulullah SAW melihat Jibril di al-Batha’ (suatu nama tempat di Makkah), sebagaimana yang disebut dalam firman Allah SWT:

عَلَّمَهُ شَدِيدُ الْقُوَىٰ (5) ذُو مِرَّةٍ فَاسْتَوَىٰ (6) وَهُوَ بِالْأُفُقِ الْأَعْلَىٰ (7) ثُمَّ دَنَا فَتَدَلَّىٰ (8) فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَىٰ (9) فَأَوْحَىٰ إِلَىٰ عَبْدِهِ مَا أَوْحَىٰ

Maksudnya: “Wahyu itu (disampaikan dan) diajarkan kepadanya oleh (malaikat jibril) yang amat kuat gagah, Lagi yang mempunyai kebijaksanaan; kemudian ia memperlihatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad) dengan rupanya asal, -Sedang ia berada di arah yang tinggi (di langit);Kemudian ia mendekatkan dirinya (kepada Nabi Muhammad), lalu ia berjuntai sedikit demi sedikit, sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busaran panah, atau lebih dekat lagi; Lalu Allah wahyukan kepada hambaNya (Muhammad, dengan perantaraan malaikat Jibril) apa yang telah diwahyukanNya.”

(Surah al-Najm: 5-10)

Hal ini sebagaimana yang ditafsirkan sebelum ini dan diperakuinya, dan dalil ini memaksudkan kepada Jibril A.S. Secara zahir — wallahu a‘lam — bahawa Surah al-Takwir ini diturunkan sebelum malam Isra’, kerana tidak disebutkan padanya kecuali dengan hal Rasulullah SAW melihatnya, iaitu pada kali pertama.

Manakala, pada kali kedua Rasulullah SAW melihat jibril ialah sebagaimana firman Allah SWT:

 وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ ﴿١٣﴾ عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ ﴿١٤﴾ عِندَهَا جَنَّةُ الْمَأْوَىٰ ﴿١٥﴾ إِذْ يَغْشَى السِّدْرَةَ مَا يَغْشَىٰ

Maksudnya:Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, Di sisi Sidratul Muntaha; Yang di sisinya terletak Syurga Jannatul Ma’wa. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) semasa Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, yang tidak terhingga.”

(Surah al-Najm: 13-16)

Hal ini disebutkan dalam surah al-Najm, dan ia diturunkan setelah turunnya surah al-Isra’. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/339).

Kali Kedua: Di langit pada malam Isra’ dan Mi‘raj di Sidratul Muntaha.

Ayat al-Quran dalam surah al-Najm telah menunjukkan berkenaan ru’yah yang kedua, dan isyarat kepada ru’yah yang pertama, sebagaimana firman-Nya:

 وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ ﴿١٣﴾ عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ

Maksudnya:Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi Sidratul-Muntaha.”

(Surah al-Najm: 13-14)

Ibn Mas‘ud R.A ketika menafsirkan ayat ini menyebutkan:

  أَنَّهُ رَأَى جِبْرِيلَ، لَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ

Maksudnya:Baginda SAW melihat Jibril, beliau memiliki 600 sayap.

Riwayat al-Bukhari (3232) dan Muslim (174)

Dalam riwayat Ahmad disebutkan, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ جِبْرِيلَ عَلَى سِدْرَةِ المُنْتَهَى وَلَهُ سِتُّمِائَةِ جَنَاحٍ

Maksudnya: “Aku melihat Jibril di Sidratul Muntaha, dan beliau memiliki 600 sayap.”

Riwayat Ahmad (3862)

Imam al-Nawawi menyatakan, begitulah sebagaimana yang dikatakan oleh kebanyakan ulama. Al-Wahidi menyebutkan bahawa kebanyakan ulama berpendapat, yang dimaksudkan adalah Baginda SAW melihat Jibril dalam rupa bentuknya yang sebenar yang dijadikan oleh Allah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/7).

Selain daripada itu, Ibn Kathir juga ada menyebutkan, Ru’yah yang pertama adalah ketika mana Jibril dan Rasulullah SAW berada di bumi. Jibril A.S turun dan mendekati Nabi SAW, maka dekatlah Jibril dengan Nabi SAW dalam bentuk gambaran yang sebenar yang Allah jadikannya, yang mempunyai 600 sayap. Kemudian Baginda melihat Jibril selepas daripada itu sekali lagi ketika di Sidratul Muntaha, iaitu pada malam Isra’. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/445).

Berdasarkan nas di atas, ia menunjukkan bahawa Nabi SAW melihat Jibril sebanyak dua kali, dan tidak lebih daripada itu sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

وَلَكِنَّهُ رَأَى جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَام فِي صُورَتِهِ مَرَّتَيْنِ

Maksudnya:Akan tetapi Baginda melihat Jibril AS dalam bentuk asalnya sebanyak dua kali.”

Riwayat al-Bukhari (4855)

Manakala dalam riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا هُوَ جِبْرِيلُ ، لَمْ أَرَهُ عَلَى صُورَتِهِ الَّتِي خُلِقَ عَلَيْهَا غَيْرَ هَاتَيْنِ الْمَرَّتَيْنِ ، رَأَيْتُهُ مُنْهَبِطًا مِنْ السَّمَاءِ سَادًّا عِظَمُ خَلْقِهِ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ إِلَى الْأَرْضِ

Maksudnya:Sesungguhnya ia adalah Jibril, aku tidak pernah melihat Jibril dalam bentuk asalnya kecuali dua kali sahaja, iaitu semasa dia turun dari langit dalam keadaan yang terlalu besar sehingga memenuhi antara langit dan bumi.

Riwayat Muslim (177)

Terdapat juga riwayat menunjukkan bahawa malaikat boleh bertasyakkul (menyerupakan dirinya), di mana Jibril AS pernah menyerupakan dirinya seorang lelaki yang tampan dengan pakaian yang sangat putih, rambut yang amat hitam, dalam keadaan ia disisir, tanpa ada kesan perjalanan yang jauh, tetapi bak kata Saidina Umar R.A, seorang pun dalam kalangan kami tidak mengenalinya. Beliau datang bertanyakan kepada Nabi SAW berkenaan Islam, Iman, Ihsan, bila berlaku kiamat, kemudian apakah tanda dan alamat kiamat. Akhirnya, Rasulullah SAW menjawab semuanya dan bertanya kepada Saidina Umar R.A:

 يَا عُمَرُ أَتَدْرِي مَنْ السَّائِلُ؟ ‫قُلْتُ: اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمُ. قَالَ: فَإِنَّهُ جِبْرِيلُ أَتَاكُمْ يُعَلِّمُكُمْ دِينَكُمْ

Maksudnya: Wahai Umar, tahukah engkau siapa yang bertanya itu?” Aku berkata: “Allah dan Rasul-Nya lebih mengetahui.” Baginda bersabda: “Dialah Jibril yang datang kepada kamu untuk mengajarkan agama kamu.”

Riwayat Muslim (8)

Begitu juga kadang-kadang dikatakan Jibril menyerupakan dirinya seperti sahabat Nabi bernama Dihyah al-Kalbi[1] sebagaimana yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid, katanya:

أَنَّ جِبْرِيلَ أَتَى النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعِنْدَهُ أُمُّ سَلَمَةَ، فَجَعَلَ يَتَحَدَّثُ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأُمِّ سَلَمَةَ: مَنْ هَذَا؟ أَوْ كَمَا قَالَ، قَالَتْ: هَذَا دِحْيَةُ، فَلَمَّا قَامَ، قَالَتْ: وَاللَّهِ مَا حَسِبْتُهُ إِلَّا إِيَّاهُ، حَتَّى سَمِعْتُ خُطْبَةَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخْبِرُ خَبَرَ جِبْرِيلَ

Maksudnya: Aku dikhabarkan bahawa Jibril datang kepada Nabi SAW dan Umm Salamah berada bersamanya pada ketika itu. Lalu Nabi bertanya kepada Umm Salamah: “Siapakah ini?” atau seperti yang Baginda katakan. Umm Salamah menjawab: “Ini ialah Dihyah.” Ketika Baginda berdiri, Umm Salamah berkata: “Demi Allah, aku tidak sangka dia itu melainkan Dihyah, sehingga aku mendengar khutbah Nabi SAW mengkhabarkan berita Jibril.

Riwayat al-Bukhari (3634, 4980)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

 

Nota hujung:

[1] Awwanah bin Al-Hakam berkata, “Manusia yang paling tampan rupanya, ialah seseorang yang Malaikat Jibril datang dalam bentuk rupanya. Yakni Dihyah.”

Dihyah bin Khalifah al-Kalbi adalah salah seorang di antara para sahabat Nabi SAW yang telah lama masuk Islam. Beliau masuk Islam sebelum perang Badar. Akan tetapi, dalam peperangan itu, beliau belum sempat mengikutinya. Setelah itu, beliau tidak pernah terlepas dalam jihad di medan peperangan.

Beliau juga salah seorang sahabat Rasulullah yang masyhur. Beliau dikurniakan oleh Allah berupa keutamaan yang tidak dimiliki sahabat yang lain. Antara keutamaan yang beliau miliki, iaitu Malaikat Jibril seringkali datang menemui Rasulullah SAW dalam wujud menyerupai dirinya. Imam al-Nasaa’i meriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Yahya bin Ya’mur daripada Ibn Umar: “Malaikat Jibril datang bertemu Nabi SAW dalam rupa Dihyah al-Kalbi.