#5519: Hikmah Isra’ dan Mi’raj

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hikmah berlakunya peristiwa agung Isra’ dan Mi’raj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Fiqh al-Sirah mengemukakan beberapa hikmah, antaranya:

Pertama: Allah mengurniakan peluang kepada Nabi-Nya untuk melihat kekuasaan-Nya sehingga menambahkan thiqah dan bergantung kepada-Nya kerana menghadapi golongan kafir dan pemerintahan mereka. Sebagai contoh sebelum Nabi Musa bertembung dengan Firaun diperlihatkan kepadanya beberapa keajaiban seperti tongkatnya.

Kedua: Al-Quran datang dengan memberi kepuasan hati kepada yang mempunyai akal sejak hari pertama dibangkitkan rasul. Justeru, kedatangan mukjizat Isra’ sebagai kemuliaan seseorang dan menjinakkannya.

Penyempurnaan Binaan: Dalam kisah Isra’ dan Mi‘raj terdapatnya hubungan kerabat antara para nabi dan ini makna daripada usul Islam. Firman Allah SWT:

آمَنَ الرَّسُولُ بِمَا أُنزِلَ إِلَيْهِ مِن رَّبِّهِ وَالْمُؤْمِنُونَ ۚ كُلٌّ آمَنَ بِاللَّـهِ وَمَلَائِكَتِهِ وَكُتُبِهِ وَرُسُلِهِ لَا نُفَرِّقُ بَيْنَ أَحَدٍ مِّن رُّسُلِهِ ۚ وَقَالُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا ۖ غُفْرَانَكَ رَبَّنَا وَإِلَيْكَ الْمَصِيرُ

Maksudnya: “Rasulullah telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadanya dari Tuhannya, dan juga orang-orang yang beriman; semuanya beriman kepada Allah, dan Malaikat-malaikatNya, dan Kitab-kitabNya, dan Rasul-rasul-Nya. (Mereka berkata): ‘Kami tidak membezakan antara seorang dengan yang lain Rasul-rasulnya.’ Mereka berkata lagi: ‘Kami dengar dan kami taat (kami pohonkan) keampunan-Mu wahai Tuhan kami, dan kepada-Mu jualah tempat kembali.’”

 (Surah al-Baqarah: 285)

Penghormatan yang berlaku antara nabi dan saudaranya terdahulu menguatkan hubungan ini. Pada setiap langit Allah tempatkan salah seorang rasul-Nya dan Nabi SAW dijadikan tetamu serta disambut dengan kalimah selamat datang dengan saudara yang soleh dan nabi yang soleh. Ini berlainan yang berlaku kepada orang lain, kemudian Muhammad SAW telah menzahirkan kerasulannya sebagai penyempurna binaan yang telah dilaksanakan oleh para nabi sebelumnya. (Lihat Fiqh al-Sirah, hlm. 138-143)