#5520: Langit dan Para Nabi yang Dilihat Sehingga Langit Ketujuh

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh ceritakan tentang langit dan para Nabi yang dilihat oleh Baginda ketika Isra’ Mi’raj sehingga langit ketujuh?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menurut al-Suyuti, riwayat yang paling tepat berkenaan kedudukan para nabi ialah:

  • Nabi Adam AS berada di langit pertama.
  • Nabi Yahya AS dan Isa AS di langit kedua.
  • Nabi Yusuf AS berada di langit ketiga.
  • Nabi Idris AS berada di langit keempat.
  • Nabi Harun AS berada di langit kelima.
  • Nabi Musa AS berada di langit keenam.
  • Nabi Ibrahim AS berada di langit ketujuh. (Lihat al-Ayatu al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 61).

Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُتِيتُ بِالْبُرَاقِ – وَهُوَ دَابَّةٌ أَبْيَضُ طَوِيلٌ فَوْقَ الْحِمَارِ وَدُونَ الْبَغْلِ يَضَعُ حَافِرَهُ عِنْدَ مُنْتَهَى طَرْفِهِ – قَالَ فَرَكِبْتُهُ حَتَّى أَتَيْتُ بَيْتَ الْمَقْدِسِ – قَالَ – فَرَبَطْتُهُ بِالْحَلْقَةِ الَّتِي يَرْبِطُ بِهِ الأَنْبِيَاءُ – قَالَ – ثُمَّ دَخَلْتُ الْمَسْجِدَ فَصَلَّيْتُ فِيهِ رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ خَرَجْتُ فَجَاءَنِي جِبْرِيلُ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – بِإِنَاءٍ مِنْ خَمْرٍ وَإِنَاءٍ مِنْ لَبَنٍ فَاخْتَرْتُ اللَّبَنَ فَقَالَ جِبْرِيلُ صلى الله عليه وسلم اخْتَرْتَ الْفِطْرَةَ ‏.‏ ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ ‏.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِآدَمَ فَرَحَّبَ بِي وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ ‏.‏ ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ الثَّانِيَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ‏.‏ فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ ‏.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِابْنَىِ الْخَالَةِ عِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ وَيَحْيَى بْنِ زَكَرِيَّاءَ صَلَوَاتُ اللَّهِ عَلَيْهِمَا فَرَحَّبَا وَدَعَوَا لِي بِخَيْرٍ ‏.‏ ثُمَّ عَرَجَ بِي إِلَى السَّمَاءِ الثَّالِثَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ ‏.‏ فَقِيلَ مَنْ أَنْتَ قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ ‏.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِيُوسُفَ صلى الله عليه وسلم إِذَا هُوَ قَدْ أُعْطِيَ شَطْرَ الْحُسْنِ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ ‏.‏ ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ الرَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ – عَلَيْهِ السَّلاَمُ – قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ ‏.‏ قَالَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ ‏.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِإِدْرِيسَ فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ قَالَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ ‏{‏ وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا‏}‏ ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ الْخَامِسَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ ‏.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِهَارُونَ صلى الله عليه وسلم فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ ‏.‏ ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّادِسَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ ‏.‏ قِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ ‏.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِمُوسَى صلى الله عليه وسلم فَرَحَّبَ وَدَعَا لِي بِخَيْرٍ ‏.‏ ثُمَّ عَرَجَ بِنَا إِلَى السَّمَاءِ السَّابِعَةِ فَاسْتَفْتَحَ جِبْرِيلُ فَقِيلَ مَنْ هَذَا قَالَ جِبْرِيلُ ‏.‏ قِيلَ وَمَنْ مَعَكَ قَالَ مُحَمَّدٌ صلى الله عليه وسلم ‏.‏ قِيلَ وَقَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ قَالَ قَدْ بُعِثَ إِلَيْهِ.‏ فَفُتِحَ لَنَا فَإِذَا أَنَا بِإِبْرَاهِيمَ صلى الله عليه وسلم مُسْنِدًا ظَهْرَهُ إِلَى الْبَيْتِ الْمَعْمُورِ وَإِذَا هُوَ يَدْخُلُهُ كُلَّ يَوْمٍ سَبْعُونَ أَلْفَ مَلَكٍ لاَ يَعُودُونَ إِلَيْهِ ثُمَّ ذَهَبَ بِي إِلَى السِّدْرَةِ الْمُنْتَهَى وَإِذَا وَرَقُهَا كَآذَانِ الْفِيَلَةِ وَإِذَا ثَمَرُهَا كَالْقِلاَلِ – قَالَ – فَلَمَّا غَشِيَهَا مِنْ أَمْرِ اللَّهِ مَا غَشِيَ تَغَيَّرَتْ فَمَا أَحَدٌ مِنْ خَلْقِ اللَّهِ يَسْتَطِيعُ أَنْ يَنْعَتَهَا مِنْ حُسْنِهَا ‏.‏

Maksudnya: Aku telah dibawakan seekor ‘Buraq’, iaitu sejenis haiwan berwarna putih dan lebih besar daripada keldai tetapi lebih kecil daripada baghal. Ia dapat melompat sejauh mata memandang. Aku menungganginya sehinggalah sampai ke Baitul Maqdis. Kemudian aku tambatkan haiwan itu di tambatan yang biasa digunakan para Nabi. Kemudian aku masuk ke dalam masjid dan mendirikan solat di dalamnya sebanyak dua rakaat. Setelah itu, aku pun keluar. Lalu Jibril datang kepadaku dengan membawa satu bekas yang berisi arak dan satu bekas lagi berisi susu. Aku telah memilih susu. Lalu Jibril AS berkata: ‘Engkau telah memilih fitrah.’ Kemudian Jibril AS membawa kami naik ke langit. Setelah itu, Jibril AS meminta agar dibukakan pintu, maka ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: “Ya, dia telah diutuskan.’ Setelah itu barulah pintu dibukakan untuk kami. Tanpa disangka, aku berjumpa dengan Nabi Adam AS. Dia menyambutku dan mengucapkan ‘selamat datang’ kepadaku serta mendoakanku semoga beroleh kebaikan. Seterusnya aku dibawa naik ke langit kedua. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepada Jibril: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: “Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Lalu aku bertemu dengan dua orang; anak dan pakciknya, iaitu Isa bin Maryam dan Yahya bin Zakariyya A.S, mereka berdua menyambutku dan mendoakanku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik langit ketiga. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi kepadanya: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Yusuf AS ternyata dia telah dikurniakan sebahagian daripada keindahan. Dia terus menyambut aku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit keempat. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Aku Jibril.’ Ditanyakan lagi kepadanya: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Idris AS dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Firman Allah ‘Azza wa Jallah: ‘وَرَفَعْنَاهُ مَكَانًا عَلِيًّا’ (Maksudnya: Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya) [Surah Maryam: 57]. Kemudian, aku dibawa lagi naik ke langit kelima. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi kepadanya: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Harun AS dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Kemudian, aku dibawa lagi naik ke langit keenam. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi kepadanya: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Musa AS dia terus menyambutku dan mendoakan aku dengan kebaikan. Aku dibawa lagi naik ke langit ketujuh. Jibril AS meminta supaya dibukakan pintu. Ditanyakan kepadanya: ‘Siapakah kamu?’ Jibril menjawab: ‘Jibril.’ Ditanyakan lagi kepadanya: ‘Siapakah bersama kamu?’ Jibril menjawab: ‘Muhammad.’  Ditanyakan lagi: ‘Adakah dia telah diutuskan?’ Jibril menjawab: ‘Ya, dia telah diutuskan.’ Pintu pun dibukakan kepada kami. Ketika aku bertemu dengan Nabi Ibrahim AS, dia sedang berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur, di mana 70,000 malaikat setiap hari masuk ke dalamnya dan mereka tidak pernah kembali lagi dari situ. Kemudian Jibril membawaku ke Sidratul Muntaha, yang mana daun-daunnya besar seperti telinga gajah manakala buahnya pula sebesar tempayan. Setiap kali ia tertutup dengan kehendak Allah ia berubah sehingga tidak satu pun makhluk Allah yang sanggup mengungkapkan keindahannya.

Riwayat Muslim (162)

Begitu juga dalam satu hadith yang panjang, riwayat Anas bin Malik R.A yang lain, dinyatakan beliau berkata:

كُلُّ سَمَاءٍ فِيهَا أَنْبِيَاءُ قَدْ سَمَّاهُمْ، فَأَوْعَيْتُ مِنْهُمْ إِدْرِيسَ فِي الثَّانِيَةِ، وَهَارُونَ فِي الرَّابِعَةِ، وَآخَرَ فِي الخَامِسَةِ لَمْ أَحْفَظِ اسْمَهُ، وَإِبْرَاهِيمَ فِي السَّادِسَةِ، وَمُوسَى فِي السَّابِعَةِ بِتَفْضِيلِ كَلاَمِ اللهِ

Maksudnya:Pada setiap langit terdapat para Nabi, yang Baginda SAW sebutkan nama-namanya. Aku (yakni Anas) masih ingat mereka; Nabi Idris berada di langit kedua, Nabi Harun berada di langit keempat, ada yang lainnya di langit kelima yang namanya aku tidak ingat, Nabi Ibrahim berada di langit keenam dan Nabi Musa berada di langit ketujuh kerana mendapat kelebihan berupa diajak bicara secara langsung oleh Allah.

Riwayat al-Bukhari (7517)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan riwayat al-Bukhari di atas menyatakan, demikianlah juga dalam riwayat Syarik. Manakala dalam hadith al-Zuhri, daripada Anas, daripada Abu Zar, di mana Anas menyebutkan bahawasanya beliau masih ingat terdapatnya di langit-langit Nabi Adam, Idris, Musa, Isa dan Ibrahim. Akan tetapi tidak dinyatakan bagaimana kedudukan mereka kecuali beliau hanya menyebutkan Nabi Adam berada di langit dunia dan Nabi Ibrahim berada di langit keenam. Hadith ini selari dengan riwayat Syarik mengenai kedudukan Nabi Ibrahim, namun kedua-dua riwayat ini menyalahi riwayat Qatadah daripada Anas, daripada Malik bin Sa‘sa‘ah.

Menurut Ibn Hajar lagi, beliau telah mensyarahkannya sebelum ini (di tempat lain) bahawasanya majoriti para ulama bersetuju dengan riwayat Qatadah dan siyaq (konteks) hadith menunjukkan kepada kuatnya riwayat tersebut kerana beliau menyatakan (dhabit) nama setiap nabi dan langit tempat mereka berada. Ia juga dipersetujui oleh riwayat Thabit daripada Anas dan sekelompok ulama yang telah disebutkan oleh Ibn Hajar di sana (tempat syarahannya itu). Justeru, ia adalah pendapat yang muktamad, akan tetapi jika kita berpendapat bahawa kisah tersebut berbilang-bilang (riwayat yang menceritakannya), maka tidak ada pentarjihan dan tidak ada masalah.

Seterusnya, lafaz “وَمُوسَى فِي السَّابِعَةِ بِفَضْلِ كَلَامِهِ لِلَّهِ” (Musa berada di langit ketujuh dengan kelebihan berbicara secara langsung kepada Allah). Manakala dalam riwayat Abu Zar daripada al-Kusymihani pula datang dengan lafaz “بِتَفْضِيلِ كَلَامِ اللَّهِ”, dan ia adalah riwayat yang lebih banyak. Itulah yang dimaksudkan dengan tajuk bab (tarjamah) dan bersesuaian dengan firman Allah SWT:

 إِنِّي اصْطَفَيْتُكَ عَلَى النَّاسِ بِرِسَالَاتِي وَبِكَلَامِي

Maksudnya:Sesungguhnya Aku memilihmu melebihi umat manusia (yang ada pada zamanmu), dengan membawa perutusan-Ku (Kitab Taurat) dan dengan Kalam-Ku.”

(Surah al-A‘raf: 144)

Selain itu, ta‘liq ini menunjukkan bahawa Syarik dhabit kerana menyatakan Nabi Musa berada di langit ketujuh. Sebagaimana yang telah disebutkan sebelum ini, riwayat Abu Zar selari dengannya. Akan tetapi riwayat yang lebih masyhur bahawasanya Nabi Ibrahim yang berada di langit ketujuh. Hal ini ditegaskan lagi dalam hadith Malik bin Sa‘sa‘ah bahawa Nabi Ibrahim berada dalam keadaan menyandar di Baitul Makmur. Justeru, jika kita berpendapat kisah ini berbilang-bilang, maka tiada masalah, dan jika kita berpendapat kisahnya adalah satu, maka ia dapat difahami bahawa Nabi Musa dalam keadaan menaik ketika berada di langit keenam, manakala Nabi Ibrahim pula berada di langit ketujuh mengikut zahir hadith Malik bin Sa‘sa‘ah dan ketika Nabi Ibrahim turun, Nabi Musa pula berada di langit ketujuh kerana tidak disebutkan dalam kisah tersebut bahawa Nabi Ibrahim bercakap kepada Baginda SAW mengenai apa-apa perkara yang berkaitan solat yang difardhukan oleh Allah SWT kepada umatnya sebagaimana Nabi Musa bercakap kepadanya.

Langit yang ketujuh ialah bahagian bawah yang paling akhir yang boleh dicapainya, maka sewajarnya Nabi Musa berada di situ kerana beliaulah orang yang berbicara kepada Baginda SAW mengenai perkara tersebut sebagaimana yang sabit dalam semua riwayat. Boleh jadi juga Baginda SAW bertemu dengan Nabi Musa AS di langit keenam, kemudian menaiki bersamanya ke langit ketujuh kerana keutamaannya berbanding yang lain disebabkan oleh kelebihan berbicara secara langsung kepada Allah SWT. Faedah perkara itu jelas dapat dilihat melalui percakapannya dengan Nabi Muhammad SAW (al-Mustafa) berkenaan masalah yang berkaitan dengan urusan umatnya dalam solat. Malah Imam al-Nawawi juga ada memberi isyarat mengenai perkara tersebut, dan (akhirnya) ilmu atau pengetahuan sebenar mengenai perkara tersebut hanyalah di sisi Allah SWT. (Lihat Fath al-Bari, 13/482).

Berdasarkan pengamatan kami, riwayat yang menunjukkan Nabi Ibrahim berada pada langit ketujuh dan bersandar ke Baitul Makmur adalah lebih ramai yang meriwayatkannya, di samping ia diriwayatkan dengan isbat seolah-olah mempunyai lebih banyak ilmu dan maklumat berbanding dengan pendapat yang sebaliknya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”