Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Baru-baru ini telah tular video/content seseorang pempengaruh yang berasak-asak dan menolak-nolak orang ramai ketika di kawasan tawaf berdekatan hajar aswad, demi memastikan staf-staf wanitanya dapat mencium hajar aswad. Apa pendapat ustaz berkenaan hal ini? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hajar Aswad merupakan batu yang diletakkan oleh Nabi Ibrahim AS di salah satu daripada penjuru Ka’bah (sudut Timur Kaabah dan sebelah kiri multazam) dan Allah SWT menurunkannya dari Syurga. Nabi SAW bersabda:
نَزَلَ الحَجَرُ الأَسْوَدُ مِنَ الجَنَّةِ، وَهُوَ أَشَدُّ بَيَاضًا مِنَ اللَّبَنِ فَسَوَّدَتْهُ خَطَايَا بَنِي آدَمَ
Maksudnya: “Hajar Aswad diturunkan dari Syurga. Warna lebih putih daripada putihnya susu tetapi ia telah dihitamkan oleh sebab dosa-dosa anak Adam.”
Riwayat al-Tirmizi (877) dan beliau nyatakan hadith ini dinilai sebagai hasan sahih
Seterusnya, benar bahawasanya hukum mencium Hajar Aswad adalah disunatkan. Akan tetapi harus diingat, perbuatan mencium Hajar Aswad bukanlah bererti menyembah batu tersebut, namun sebagai salah satu sunnah Nabi. Hal ini adalah sebagaimana dalam hadith menyebut:
إِنِّي أَعْلَمُ أَنَّكَ حَجَرٌ مَا تَنْفَعُ وَلاَ تَضُرُّ، ولَوْلا أنِّي رأَيْتُ رسولَ اللَّه صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم، يُقَبِّلُكَ مَا قَبَّلْتُكَ
Maksudnya: “Sesungguhnya aku (Saidina Umar al-Khattab) mengetahui, engkau hanyalah batu yang tidak memberi manfaat dan mudarat. Jika tidak kerana aku melihat Rasulullah SAW menciummu, nescaya aku tidak akan menciummu.”
Riwayat al-Bukhari (167)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa tidak dapat dinafikan akan perintah sunat untuk mencium Hajar Aswad. Namun, pada masa yang sama harus diingat terdapat larangan atau tegahan daripada menyakiti orang lain. Ini jelas sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya bahawa seseorang itu ketika memasuki Makkah hendaklah memelihara daripada menyakiti manusia dalam kesesakan orang ramai, di samping bertimbang rasa terhadap orang yang menyakitinya (dalam kesesakan itu). Dia hendaklah merasakan dalam hatinya betapa agungnya tempat yang dia sedang berada itu yang juga merupakan tempat yang dituju. Dia juga hendaklah menerima keuzuran (memaafkan) orang yang menyakitinya (dalam kesesakan itu) kerana tidaklah dicabut rahmat kecuali daripada hati yang celaka (keras).
Begitu juga dalam kitab yang sama, di ruangan yang lain, Imam al-Nawawi dengan jelas menyatakan, disunatkan untuk menghadap ke Hajar Aswad dengan wajahnya dan menghampirinya dengan syarat tidak menyakiti sesiapapun. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah fi Manasik al-Hajj wa al-‘Umrah oleh Dr. Zulkifli bin Mohamad, hlm. 144 dan 154).
Inilah nasihat Rasulullah SAW kepada Umar R.A sebagaimana sabdanya:
يا عُمَرُ، إنَّك رجُلٌ قويٌّ، لا تُزاحِمْ على الحَجَرِ فتُؤذِيَ الضعيفَ، إنْ وجَدتَ خَلْوَةً فاسْتَلِمْه، وإلّا فاستقبِلْه فهَلِّلْ وكبِّرْ
Maksudnya: “Wahai Umar, sesungguhnya kamu lelaki yang kuat, jangan kamu bersesak-sesak untuk menghampiri batu (Hajar Aswad) ini kerana ini menyakiti orang yang lemah. Jika kamu mendapati ruang dan peluang maka istilamlah. Namun, jika tidak (tidak mendapati ruang dan peluang), maka menghadaplah ke arahnya sambil bertahlil dan bertakbir.”
Riwayat Ahmad (190); al-Tabari dalam Musnad Ibn ‘Abbas (108) dan al-Baihaqi (9528) dengan sedikit perbezaan lafaz. Syu‘aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad (190) menilainya sebagai hasan. Manakala al-Syaukani dalam Nail al-Autar (5/114) menyebutkan, dalam sanadnya terdapat perawi yang tidak sebutkan namanya.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa berkenaan persoalan mencium Hajar Aswad, jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, maka hukum mencium Hajar Aswad ketika itu berubah daripada sunat menjadi haram. Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan.
Tambahan lagi, mencium Hajar Aswad tidak termasuk dalam syarat sah tawaf haji atau umrah, sebaliknya hukumnya adalah sunat sahaja, tanpa menafikan kedua-duanya adalah ibadah — iaitu tawaf dan mencium Hajar Aswad. Bahkan di sisi ulama Syafi‘iyyah, hukum asal bagi wanita adalah tidak disunatkan bagi mereka mencium hajar aswad kecuali keadaan di mataf agak lengang.
Kami juga mengambil kesempatan di sini mengingatkan dan menasihatkan bahawa agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya. Kami juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau hajar aswad di media sosial. Jika ia hanya sekadar “trend” untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah “trend” yang merugikan itu.
Sewajarnya di hadapan Baitullah, kita fikirkan dosa kita, keampunan daripada Allah, termasuk doa-doa kepada-Nya. Dengan itu sahaja pun kita sudah cukup sibuk tanpa sempat memikirkan peluang untuk mencipta content!
Renungilah firman Allah SWT:
قُلْ إِنَّ صَلاتِي وَنُسُكِي وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِي لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ
Katakanlah: “Katakanlah: ‘Sesungguhnya sembahyangku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam.’”
(Surah al-An‘am: 162)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”