Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Diketahui bahawa Allah di atas langit dan bumi, dan segala sesuatu berada di bawahnya. Adakah ini membawa maksud bahawa Arasy berada di atas langit ketujuh?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam menjawab persoalan ini, tidak diragukan lagi bahawa Arasy Allah berada di atas langit ketujuh, bahkan ia adalah yang tertinggi di atas seluruh makhluk.
Terdapat dalil yang jelas dalam masalah ini. Antaranya adalah seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ فِي الجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الجَنَّةِ، وَأَعْلَى الجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ، وَمِنْهُ تَفَجَّرُ أَنْهَارُ الجَنَّةِ.
Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus tingkat yang Allah SWT sediakan untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya, jarak di antara setiap tingkat itu adalah seperti (jarak) antara langit dan bumi. Jika kamu semua meminta kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya syurga Firdaus, kerana ia merupakan syurga paling luas dan paling tinggi (tingkatannya), di atasnya terdapat ‘Arasy al-Rahman dan darinya (syurga Firdaus) jugalah sungai-sungai syurga yang terpancar.”
Riwayat al-Bukhari (2790; 7423)
Telah ditetapkan oleh seluruh kaum Muslimin bahawa syurga berada di atas langit ketujuh. Jika Arasy berada di atas syurga, maka ia bermakna bahawa Arasy di atas langit ketujuh.
Perkara yang menguatkan hal tersebut adalah apa yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas, katanya: Aku dikhabarkan oleh seseorang daripada sahabat Nabi SAW daripada kalangan Ansar, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَلَكِنْ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى اسْمُهُ إِذَا قَضَى أَمْرًا سَبَّحَ حَمَلَةُ الْعَرْشِ ثُمَّ سَبَّحَ أَهْلُ السَّمَاءِ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ حَتَّى يَبْلُغَ التَّسْبِيحُ أَهْلَ هَذِهِ السَّمَاءِ الدُّنْيَا ثُمَّ قَالَ الَّذِينَ يَلُونَ حَمَلَةَ الْعَرْشِ لِحَمَلَةِ الْعَرْشِ: مَاذَا قَالَ رَبُّكُمْ ؟ فَيُخْبِرُونَهُمْ مَاذَا قَالَ. قَالَ: فَيَسْتَخْبِرُ بَعْضُ أَهْلِ السَّمَاوَاتِ بَعْضًا حَتَّى يَبْلُغَ الْخَبَرُ هَذِهِ السَّمَاءَ الدُّنْيَا ” فهذا ظاهر جداً في أن العرش وحملته فوق جميع السماوات.
Maksudnya: “…Akan tetapi Tuhan kita, yang nama-Nya mengandungi sumber kebaikan dan keagungan, jika telah menetapkan suatu perkara, maka (malaikat) para pembawa Arasy bertasbih, kemudian bertasbih pula para penghuni langit, begitulah seterusnya secara berantai sehingga sampai kepada penghuni langit dunia. Kemudian mereka yang berada setelah para (malaikat) pembawa Arasy berkata kepada para (malaikat) pembawa Arasy, ‘Apa yang dikatakan Tuhan kamu?’ Lalu mereka mengkhabarkan apa yang Dia katakan. Kemudian penghuni langit satu sama lain saling menanyakan khabar tersebut sehingga berita tersebut sampai ke langit dunia.”
Riwayat Muslim (2229), al-Tirmizi (3224), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11272)
Riwayat ini sangat jelas bahawa Arasy dan para malaikat yang membawanya berada di atas seluruh langit.
Antaranya juga adalah seperti yang diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud R.A, katanya:
بَيْنَ السَّمَاءِ الدُّنْيَا وَالَّتِي تَلِيهَا خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ كُلِّ سَمَاءٍ (مسيرة) خَمْسُمِائَةِ عَامٍ.
Maksudnya: “Antara langit dunia dan langit berikutnya berjarak 500 tahun, dan antara satu langit dengan langit berikutnya berjarak 500 tahun.”
Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (105) dan Kitab al-Tauhid (594) dan al-Baihaqi dalam al-Asma’ wa al-Sifat (852). Lihat juga Fath al-Bari (13/413), Irsyad al-Sari (10/394) dan ‘Umdah al-Qari (25/116).
Dalam riwayat lain, disebut:
وَغِلَظُ كُلِّ سَمَاءٍ مَسِيرَةُ خَمْسِمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ السَّابِعَةِ وَبَيْنَ الْكُرْسِيِّ خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَبَيْنَ الْكُرْسِيِّ وَبَيْنَ الْمَاءِ خَمْسُمِائَةِ عَامٍ، وَالْعَرْشُ فَوْقَ الْمَاءِ، وَاللَّهُ فَوْقَ الْعَرْشِ، وَلَا يَخْفَى عَلَيْهِ شَيْءٌ مِنْ أَعْمَالِكُمْ.
Maksudnya: “Ketebalan (jarak) setiap langit sejauh perjalanan 500 tahun, dan antara langit ketujuh dengan Kursiy berjarak 500 tahun, antara Kursiy dengan air berjarak 500 tahun. Arasy berada di atas air, dan Allah berada di atas Arasy. Tidak tersembunyi bagi-Nya amalan-amalan kamu semua.”
Riwayat Ibn Khuzaimah dalam Sahihnya (105) dan Kitab al-Tauhid (594) dan al-Baihaqi dalam al-Asma wa al-Sifat (852). Riwayat ini disahihkan oleh al-Zahabi dalam kitab al-‘Uluw (hlm. 64) dan Ibn al-Qayyim dalam Ijtima’ al-Juyusy al-Islamiyyah (hlm. 100). Lihat juga Fath al-Bari (13/413), Irsyad al-Sari (10/394) dan ‘Umdah al-Qari (25/116).
Begitu juga seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, katanya:
جَعَلَ اللَّهُ فَوْقَ السَّمَاءِ السَّابِعَةِ الْمَاءَ، وَجَعَلَ فَوْقَ الْمَاءِ الْعَرْشَ.
Maksudnya: “Allah telah menciptakan air di atas langit yang ketujuh dan menjadikan di atas air adalah Arasy.” (Lihat Mukhtasar al-‘Uluw oleh al-Zahabi, hlm. 35).
Para ulama telah menyatakan bahawa Arasy merupakan di atas seluruh makhluk dan yang paling tinggi di atas mereka.
Ibn al-Qayyim berkata:
وَالْعَرْشُ هُوَ سَقْفُ الْمَخْلُوقَاتِ وَأَعْظَمُهَا.
Maksudnya: “Arasy adalah bumbung yang terletak di atas seluruh makhluk dan yang paling agung.” (Lihat Zad al-Ma‘ad, 4/203; al-Tibb al-Nabawi, hlm. 151).
Demikian juga yang dinyatakan oleh Syeikh al-Islam dalam Majmu‘ al-Fatawa (6/851), (25/1888), Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (1/9) dan al-‘Izz bin Abd al-Salam dalam Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah (1/311) serta selain mereka.
Imam al-Zahabi berkata: Adapun tempat Arasy dari langit dan bumi, maka Arasy lebih tinggi darinya dan di atasnya. Dan Arasy itu bagaikan kubah di atasnya, sebagaimana disebutkan di dalam hadith: ‘إِنَّ عَرْشَهُ عَلَى سَمَوَاتِهِ وَأَرَاضِيهِ هَكَذَا’ (“Sesungguhnya Arasy-Nya di atas semua langit-Nya dan semua bumi-Nya begini,) seraya Baginda mengisyaratkan dengan jari-jari-Nya seperti kubah. Demikian juga yang disebutkan di dalam hadith al-Abbas bin Abd al-Muttalib, yang disebut dengan hadith tentang malaikat pembawa Arasy. Kedua hadith ini menunjukkan bahawa Arasy di atas semua langit dan bumi, dan lebih tinggi dari keduanya, dan Arasy itu bagaikan atap di atas keduanya, bahkan atap bagi syurga sebagaimana disebutkan di dalam hadith:
إِنَّ فِي الجَنَّةِ مِائَةَ دَرَجَةٍ، أَعَدَّهَا اللَّهُ لِلْمُجَاهِدِينَ فِي سَبِيلِهِ، كُلُّ دَرَجَتَيْنِ مَا بَيْنَهُمَا كَمَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ، فَإِذَا سَأَلْتُمُ اللَّهَ فَسَلُوهُ الفِرْدَوْسَ، فَإِنَّهُ أَوْسَطُ الجَنَّةِ، وَأَعْلَى الجَنَّةِ، وَفَوْقَهُ عَرْشُ الرَّحْمَنِ.
Maksudnya: “Sesungguhnya di dalam syurga terdapat seratus tingkat yang Allah SWT sediakan untuk orang-orang yang berjihad di jalan-Nya, jarak di antara setiap tingkat itu adalah seperti (jarak) antara langit dan bumi. Jika kamu semua meminta kepada Allah, maka mintalah kepada-Nya syurga Firdaus, kerana ia merupakan syurga paling baik dan paling tinggi (tingkatannya), di atasnya terdapat ‘Arasy al-Rahman.”
Riwayat al-Bukhari (2790; 7423)
Jadi, tempat Arasy di atas semua langit dan bumi, dan di atas syurga, dan Arasy adalah makhluk tertinggi dan paling tinggi, sedangkan semua makhluk di bawahnya dalam hal ketinggian dan kemuliaan. (Lihat al-Arsy oleh al-Zahabi, 1/314. Lihat juga al-Arsy wa ma Ruwiya Fihi oleh Muhammad bin Uthman bin Abi Syaibah, hlm. 82. Lihat juga al-Islam Su’al wa Jawab, fatwa no. 47048)
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)