Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang kisah dalam Isra’ Mi’raj, iaitu tatkala Nabi SAW dibawa masuk ke dalam syurga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Dalam hadith daripada Abu Zar R.A, turut disebut bahawa Rasulullah SAW dibawa masuk ke dalam syurga. Sabda Baginda SAW:
ثُمَّ أُدْخِلْتُ الجَنَّةَ، فَإِذَا فِيهَا حَبَايِلُ اللُّؤْلُؤِ وَإِذَا تُرَابُهَا المِسْكُ.
Maksudnya: “Selepas itu aku dibawa masuk ke dalam syurga. Di dalamnya aku dapati kalung-kalung mutiara dan tanahnya pula ialah kasturi.”
Riwayat al-Bukhari (349)
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan lafaz “حَبَايِلُ” dalam hadith di atas menyatakan bahawa ramai dalam kalangan para imam (ulama) berpendapat, telah berlaku tashif[1] padanya, dan lafaz yang betulnya adalah “جَنَابِذُ” sebagaimana yang terdapat dalam riwayat penulis (Imam al-Bukhari) yang lain berkenaan hadith-hadith para nabi daripada riwayat Ibn al-Mubarak dan selainnya daripada riwayat Yunus. Begitulah juga dengan para imam yang lain. Kemudian al-Hafiz Ibn Hajar juga menyebutkan, beliau mendapati dalam nuskhah yang muktamad daripada riwayat Abu Zar pada tempat ini adalah dengan lafaz “جَنَابِذُ” yang betulnya, dan merasakan bahawa ia adalah pembetulan daripada sebahagian perawi.
Seterusnya sebahagian ulama berpendapat al-Janabiz itu menyerupai kubah. Kata tunggalnya ialah Junbuzah (جُنْبُذَةٌ), dan ia ialah bahagian bangunan yang tinggi. Hal ini dikuatkan lagi dengan apa yang diriwayatkan oleh penulis (Imam al-Bukhari) dalam kitab al-Tafsir daripada jalur Syaiban, daripada Qatadah, daripada Anas, katanya:
لَمَّا عُرِجَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِلَى السَّمَاءِ، قَالَ: أَتَيْتُ عَلَى نَهَرٍ، حَافَتَاهُ قِبَابُ اللُّؤْلُؤِ مُجَوَّفًا
Maksudnya: “Ketika Nabi SAW dinaikkan ke langit (peristiwa mikraj), Baginda bersabda: ‘Aku mendekati sebuah sungai yang kedua tepinya terdapat mutiara yang berlubang (yakni yang sudah dipahat).’”
Riwayat al-Bukhari (4964)
Pengarang al-Matali‘ juga ada menyebutkan mengenai lafaz “الْحَبَائِلِ” bahawa dikatakan ia ialah kalung dan rantai, atau ia daripada “حِبَالِ الرَّمْلِ” iaitu tali pasir yang terdapat di dalamnya mutiara. Sebahagian orang yang bersungguh-sungguh menekuni kitab al-Bukhari menyatakan, perkataan “الْحَبَائِلُ” adalah kata jamak kepada perkataan “حِبَالَةٍ” dan perkataan “حِبَالَةٍ” pula adalah kata jamak kepada perkataan “حَبْلٍ” mengikut kaedah selain daripada qias. Maksudnya adalah di dalamnya terdapat rantai dan kalung daripada mutiara. (Lihat Fath al-Bari, 1/463-464).
Dalam riwayat lain, datang dengan lafaz:
ثُمَّ أُدْخِلْتُ الجَنَّةَ، فإذا فيها جَنابِذُ اللُّؤْلُؤَ، وإذا تُرابُها المِسْكُ
Maksudnya: “Selepas itu, aku dibawa masuk ke dalam syurga. Di dalamnya terdapat kubah-kubah mutiara dan tanahnya pula ialah kasturi.”
Riwayat Muslim (163)
Imam al-Nawawi menyebutkan, lafaz al-Janabiz (الْجَنَابِذُ) bermaksud kubah. Kata tunggalnya ialah “جَنْبَذَةٌ” dan ia terdapat dalam “Kitab Para Nabi” daripada Sahih al-Bukhari. Manakala terdapat dalam awal “Kitab Solat” juga daripada Sahih al-Bukhari dengan lafaz “حَبَائِلُ”. Al-Khattabi dan selainnya berpendapat, ia adalah tashif. Wallahu a‘lam. Selain itu, hadith ini juga mengandungi dalil bagi mazhab Ahli Sunnah bahawasanya syurga dan neraka itu, kedua-duanya adalah makhluk. Begitu juga hadith tersebut menunjukkan bahawa syurga berada di langit. Wallahu a‘lam. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/222-223).
Justeru, hadith ini menunjukkan bahawa Rasulullah SAW melihat dan memasuki syurga ketika peristiwa Isra’ dan Mi‘raj.
Selain itu, nas di atas juga menunjukkan bahawa syurga berada di langit, bahkan lebih tinggi lagi daripada langit ketujuh kerana tidak sabit bahawa Rasulullah SAW keluar dari langit ketujuh untuk memasuki syurga. Sebaliknya riwayat menyebutkan bahawa Baginda SAW sebelum memasuki syurga berada di Sidratul Muntaha, dan Sidratul Muntaha pula berada di langit ketujuh sebagaimana yang kita telah ketahui. Rasulullah SAW bersabda:
ثُمَّ انْطَلَقَ بِي، حَتَّى انْتَهَى بِي إِلَى سِدْرَةِ المُنْتَهَى، وَغَشِيَهَا أَلْوَانٌ لاَ أَدْرِي مَا هِيَ؟ ثُمَّ أُدْخِلْتُ الجَنَّةَ، فَإِذَا فِيهَا حَبَايِلُ اللُّؤْلُؤِ وَإِذَا تُرَابُهَا المِسْكُ
Maksudnya: “Kemudian Jibril membawaku hingga sampai ke Sidratul Muntaha. Sidratul Muntaha ketika itu diselubungi warna-warna yang tidak aku ketahui apakah hakikatnya. Selepas itu aku dibawa masuk ke dalam syurga. Di dalamnya aku dapati kalung-kalung mutiara dan tanahnya pula ialah kasturi.”
Riwayat al-Bukhari (349) dan Muslim (163)
Maka jelaslah bahawa syurga yang dimasuki oleh Baginda SAW itu adalah berdekatan dengan Sidratul Muntaha.
Selain daripada itu, terdapat juga riwayat lain daripada ‘Imran R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:
اطَّلَعْتُ فِي الجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا الفُقَرَاءَ، وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ
Maksudnya: “Aku melihat ke dalam syurga, lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang miskin. Dan aku melihat ke dalam neraka, lalu aku melihat kebanyakan penghuninya adalah para wanita.”
Riwayat al-Bukhari (6546)
Para ulama berbeza pendapat berkenaan di manakah Baginda SAW melihat perkara tersebut. Menurut al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani, zahir hadith menunjukkan bahawa Baginda SAW melihat perkara tersebut pada malam Isra’ atau dalam mimpi. Manakala al-Dawudi pula berpendapat, Baginda SAW melihat perkara tersebut pada malam Isra’ atau ketika berlakunya gerhana. (Lihat Fath al-Bari, 11/419).
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”
Nota kaki:
[1] Tashif ialah perubahan yang berlaku pada huruf-huruf (sama ada di dalam sanad atau matan) seperti tertukarnya huruf dengan huruf yang lain atau titik. Ini merupakan definisi yang diberikan Dr. Mustafa al-Bugha dalam kitabnya. (Lihat Buhuth fi ‘Ulum al-Hadith wa Nususuhu, hlm. 180).