#553: Memahami Kontradiksi Hadith Berkaitan Belalang

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bagaimanakah memahami hadith yang melarang daripada membunuh belalang kerana ia termasuk dalam tentera Allah yang terbesar, dengan hadith yang mengharuskan untuk memakannya? Mohon pencerahan.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, belalang adalah haiwan yang halal dimakan kerana terdapat nas sahih yang menyebutkan mengenai kehalalannya. Di antaranya, riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, beliau berkata:

أُحِلَّت لَنا مَيتَتانِ ودَمانِ؛ الجَرادُ والحيتانُ، والكَبدُ والطِّحالُ

Maksudnya:Dihalalkan ke atas kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. (Dua jenis bangkai) iaitu belalang dan ikan. (Dua jenis darah) iaitu hati dan limpa.”

Riwayat al-Baihaqi (1211) dan beliau menyebutkan dalam al-Sunan al-Kabir, sanad hadith ini adalah sahih.

Begitu juga riwayat daripada Abu Ya‘fur R.A, beliau bertanya kepada Abdullah bin Aufa berkenaan belalang. Beliau menjawab:

غَزوتُ معَ رسولِ اللَّهِ ﷺ ستَّ، أو سبعَ غزواتٍ، فَكُنّا نأكلُهُ معَهُ

Maksudnya:Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah SAW sebanyak enam atau tujuh kali. Kami memakan belalang bersama Baginda.”

Riwayat Muslim (1952); Abu Daud (3812); al-Nasa’i (4357)

Perbahasan lanjut mengenai perkara ini, bolehlah merujuk kepada artikel kami yang bertajuk: #524 Memakan Belalang.[1]

Manakala berkenaan hadith yang melarang daripada membunuh belalang pula terdapat sebuah hadith daripada riwayat Abu Zuhair al-Numairi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَقْتُلُوا الْجَرَادَ فَإِنَّهُ مِنْ جُنْدِ اللهِ الْأَعْظَمِ

Maksudnya:Janganlah kamu membunuh belalang kerana sesungguhnya belalang itu adalah sebahagian daripada tentera Allah yang terbesar.

Hadith di atas diriwayatkan oleh al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (9654), juga diriwayatkan oleh al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir, 22/297 dan al-Mu‘jam al-Ausat, 9/111, juga diriwayatkan oleh Abu Nu‘aim al-Asbahani dalam Ma‘rifah al-Sahabah, 5/2898, juga diriwayatkan oleh Abu al-Syeikh al-Asbahani dalam al-‘Azmah, 5/1788,  juga diriwayatkan oleh Ibn Mandah dalam Ma‘rifah al-Sahabah, 1/870, dan diriwayatkan oleh Ibn Abi ‘Asim dalam al-Ahad wa al-Mathani, 3/118.

Kemudian, kami sertakan juga di sini beberapa pendapat ulama berkaitan hadith ini. Di antaranya ialah:

  • Abu al-Hasan al-Haithami menyebutkan bahawa di dalamnya terdapat seorang perawi bernama Muhammad bin Ismail bin ‘Ayyash, dan dia adalah seorang yang lemah. ( Lihat Majma‘ al-Zawaid wa Manba‘ al-Fawaid, 4/39.)
  • Al-Tabarani pula menyebutkan bahawa tidak diriwayatkan hadith ini daripada Abu Zuhair melainkan dengan sanad-sanad ini, dan Ismail bin ‘Ayyash bersendirian meriwayatkannya. (Lihat al-Mu‘jam al-Ausat, 9/111)
  • Syeikh al-Albani pula ketika mengulas kenyataan al-Tabarani itu mengatakan bahawa Ismail bin ‘Ayyash adalah thiqah di dalam periwayatannya daripada orang-orang Syam dan ini adalah salah satu daripadanya. Begitu juga, perawi-perawi yang lebih tinggi daripadanya juga adalah thiqah. Lebih-lebih lagi, terdapatnya riwayat daripada Abdullah bin ‘Amr al-Hadrami yang menjadi mutabi‘ tam kepada riwayat ini. Oleh itu, hadith dengan mutaba‘ah seperti ini adalah kuat. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Sahihah, 5/554)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jika diteliti sebenarnya tiada sebarang pertembungan antara hadith Abu Zuhair al-Numairi ini dengan hadith-hadith yang mengharuskan untuk memakan belalang.  Akan tetapi, hendaklah kedua-dua hadith ini difahami dalam dua keadaan yang berbeza.

Hal ini kerana para ulama memahami hadith larangan membunuh belalang ini, sekiranya ia dibunuh secara suka hati dan sia-sia. Dalam erti kata lain, ia dibunuh tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak. Oleh itu, jelaslah bahawa ia sesuatu yang dilarang. Bahkan Rasulullah SAW sendiri pernah memberi amaran mengenainya sebagaimana sabdanya:

ما من إنسانٍ قتلَ عُصفورًا فما فوقَها بغيرِ حقِّها إلّا سألَهُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ عَنها قيلَ: يا رسولَ اللَّهِ! وما حقُّها؟ قالَ: يذبحُها فيأكُلُها ولا يقطعُ رأسَها يرمي بِها

Maksudnya: “Tidaklah seseorang membunuh burung pipit dan yang lebih besar daripadanya (burung tersebut) tanpa hak melainkan Allah SWT akan bertanya mengenainya. Ditanya: ‘Wahai Rasulullah! Apakah haknya?’ Baginda menjawab: ‘Haknya adalah untuk menyembelihnya, kemudian memakannya, dan tidak memotong kepalanya (yakni membunuhnya), kemudian membuangnya.”

Riwayat al-Nasa’i  (4349)

Oleh itu, haram untuk membunuh belalang secara sesuka hati atau tanpa sebarang sebab yang diizinkan, tetapi diharuskan untuk membunuhnya sekiranya bertujuan untuk mengambil manfaat daripadanya seperti untuk memakannya dan lain-lain. Malah hal ini juga turut terpakai kepada semua haiwan lain selain daripada belalang.

Selain itu, al-Baihaqi menyatakan bahawa jika riwayat ini (yakni mengenai larangan membunuh belalang) adalah sahih, dapat difahami kemungkinan maknanya ialah sekiranya ia tidak bertembung dengan kerosakan tanam-tanaman — disebabkan oleh belalang. Jika bertembung antara keduanya, maka harus untuk mencegah kerosakan tersebut daripada berlaku dengan memerangi belalang itu atau membunuhnya. Namun, boleh jadi kemungkinan maknanya juga adalah tidak mungkin sama sekali untuk menyerangnya (yakni menghapuskan belalang itu), sama ada dengan memeranginya atau membunuhnya. ( Lihat Syu‘ab al-Iman, 12/409.)

Meskipun begitu, majoriti ulama mengharuskan untuk membunuh belalang, jika ia membawa kerosakan kepada harta benda orang ramai seperti merosakan tanam-tanaman dan lain-lain. Mengenai perkara ini, al-Qurtubi ada membawakan dalam kitab tafsirnya hujah mereka yang mengharuskan untuk membunuh belalang sekiranya mendatangkan kerosakan iaitu majoriti ulama berhujah dengan menyatakan bahawa meninggalkannya — yakni tidak membunuhnya — akan membawa kepada kerosakan harta benda. Sedangkan Nabi SAW memberi kelonggaran (yakni rukhsah) untuk membunuh orang Islam sekiranya dia mahu mengambil (yakni merampas atau mencuri) harta. Justeru, belalang sekiranya membawa kepada kerosakan harta benda adalah lebih-lebih lagi berhak atau utama untuk membolehkannya dibunuh. Adakah kamu tidak melihat, para ulama telah bersepakat mengenai keharusan membunuh ular dan kala jengking? Hal ini kerana kedua-duanya memudaratkan manusia. Maka, demikianlah juga hukumnya bagi belalang. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 7/268)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tiada pertembungan antara kedua-dua hadith tersebut. Sebaliknya kedua-dua hadith itu mestilah dilihat dan difahami dalam dua keadaan yang berbeza.

Kita diharuskan untuk membunuh belalang sekiranya bertujuan untuk mengambil manfaat daripadanya seperti untuk memakannya dan seumpamanya. Manakala hadith yang melarang daripada membunuhnya pula adalah jika belalang itu dibunuh secara sia-sia tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak. Bahkan larangan itu, tidak terhad hanya kepada belalang, tetapi juga turut terpakai kepada haiwan-haiwan yang lain. Begitu juga diharuskan untuk membunuh belalang jika ia membawa mudarat dan kerosakan harta benda seperti tanam-tanaman dan lain-lain sebagaiman pendapat majoriti ulama

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Lihat https://maktabahalbakri.com/524-memakan-belalang/. Diakses pada 21 Februari 2022.