#5530: Maksud Qiyam Ramadhan dan Kelebihannya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa maksud Qiyam Ramadhan? Saya selalu mendengar orang menyebutnya.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjawab persoalan di atas, Qiyam yang dimaksudkan di sini adalah dengan menghidupkan malam hari di bulan Ramadhan dengan beribadah kepada Allah SWT lebih-lebih lagi di sepuluh malam yang terakhir di mana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Dalam bulan Ramadhan, kita disunatkan untuk menunaikan solat sunat yang dikenali dengan Solat Tarawih secara berjemaah ataupun bersendirian. Terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang ganjaran bagi mereka yang menunaikan qiyam. Hal ini adalah sepertimana sabda Rasulullah SAW:

مَنْ قَامَ مَعَ الإِمَامِ حَتَّى يَنْصَرِفَ كَتَبَ اللَّهُ لَهُ قِيَامَ لَيْلَةٍ

Maksudnya: “Sesiapa yang solat qiyam bersama imam sehingga selesai, maka Allah telah memberikannya ganjaran qiyam sepanjang malam.”

 Riwayat al-Tirmizi (806), al-Nasa’i (1605) dan Ibn Majah (1327)

Syeikh al-Mubarakfuri apabila mensyarahkan hadis ini beliau berkata : Ditanyakan kepada Imam Ahmad: Adakah kau suka seorang lelaki solat bersama orang ramai (secara berjamaah) pada bulan Ramadhan atau kau suka dia solat secara bersendirian ? Maka Imam Ahmad menjawab : Aku suka jika dia solat berjemaah bersama orang ramai, dan aku juga suka sekiranga dia solat bersama dengan imam dan turut witir bersamanya. Nabi S.A.W bersabda: Sesungguhnya seorang lelaki itu apabila dia qiyam bersama dengan imam sehingga imam selesai, nescaya dituliskan untuknya ganjaran qiyam sepanjang malamnya. Kata Imam Ahmad lagi: Dia qiyam secara berjemaah dan solat witir bersama mereka sehingga lah imam selesai. Kata Abu Daud : Aku melihat Imam Ahmad Rahimahullah, beliau berwitir pada bulan Ramadan bersama imamnya kecuali pada malam yang aku tidak menghadirinya. (Lihat Tuhfah Al-Ahwazi, 3/448).

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‎مَنْ قَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang melakukan qiyam Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran serta keampunan, akan diampunkan buatnya dosa-dosa yang terdahulu.”

Riwayat al-Bukhari (37) dan Muslim (759)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna “إيمانًا” ialah mempercayainya sebagai benar, lagi dijanjikan pahala dan fadilatnya, manakala makna “إحتِسابًا” ialah menginginkan redha Allah Taala semata-mata, bukan bertujuan  pandangan manusia, dan bukan juga apa-apa tujuan lain yang menyelisihi makna keikhlasan. Makna yang dikehendaki daripada  “Qiyam Ramadhan” ialah perlaksanaan solat Tarawih. Para ulama bersepakat tentang hukumnya adalah disunatkan.” Lihat Syarh Sahih Muslim, 6/39

Namun berkata al-Hafiz al-‘Iraqi: “Bukan dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah mendirikan keseluruhan malamnya bahkan yang dimaksudkan ialah mendirikan sebahagian kecil daripada malam seperti yang difahami secara mutlak dengan pelaksanaan solat Tahajjud, solat Terawih di belakang imam — seperti kebiasaan yang dilakukan —serta pelaksanaan solat Isyak dan solat Subuh secara berjemaah.” Lihat Tarh al-Tathrib (4/161

Justeru Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata dalam Bab Kelebihan Barangsiapa yang Mendirikan Ramadhan: “Yakni mendirikan malam-malamnya dengan solat, dan yang dimaksudkan dengan qiamullail ialah apa-apa ibadah yang  termasuk dengan lafaz mutlak “qiyam” seperti mana yang telah kami sebut sebelum ini dalam bab Tahajjud adalah sama. al-Nawawi menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih; oleh itu pahala qiyamullail terhasil dengan dengan solat Tarawih, bukan maksud qiyam Ramadhan tidak berlaku melainkan dengan solat Tarawih. Al-Kirmani mengeluarkan pandangan yang aneh dengan berkata: “Mereka sepakat bahawa yang dimaksudkan dengan qiyam Ramadhan ialah solat Tarawih.” (Lihat Fath al-Bari, 4/251)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”