#5533: Tafsiran Ayat 12 Surah al-Najm

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Surah al-Najm ayat 12?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

أَفَتُمَارُونَهُ عَلَىٰ مَا يَرَىٰ

Maksudnya: “Jika demikian, patutkah kamu hendak membantahnya mengenai apa yang telah dilihatnya itu?

(Surah al-Najm: 12)

Al-Tabari berkata: Makna ayat ini adalah, wahai orang-orang Musyrik, apakah kamu semua menentang Muhammad, bahawa dia telah melihat tanda-tanda kebesaran Allah, yang memang diperlihatkan oleh Allah kepadanya? Ini kerana, kaum Musyrik telah mengingkari bahawa Rasulullah SAW telah melihat apa yang telah diperlihatkan oleh Allah kepadanya pada malam isra’ mi’raj. Mereka juga membantah kenyataan tersebut. (Lihat Jami’ al-Bayan, 24/106)

Kata Ibn ‘Asyur, kedua-dua ayat ini (ayat 11 dan 12) merupakan jawapan kepada Musyrikin Makkah yang enggan mempercayai perkhabaran Baginda SAW yang telah melihat Malaikat Jibril AS. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 27/98).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”