#5535: Pintu Syurga Dibuka dan Pintu Neraka Ditutup

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh syarahkan kepada kami hadis yang terkait dengan pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ، وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ، وَصُفِّدَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila datangnya Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.”

Riwayat al-Bukhari (1898) dan Muslim (1079)

Dalam lafaz yang lain, disebutkan:

إِذَا كَانَ رَمَضَانُ فُتِّحَتْ أَبْوَابُ الرَّحْمَةِ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ جَهَنَّمَ وَسُلْسِلَتِ الشَّيَاطِينُ

Maksudnya: “Apabila masuk bulan Ramadhan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.”

Imam Badr al-Din al-‘Aini menjelaskan: “Yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga, kerana ketaatan yang banyak pada bulan Ramadhan. Begitu juga Allah SWT membuka pintu ibadah, oleh kerana itulah jalan menuju ke syurga begitu mudah di dalam bulan Ramadhan kerana amal perbuatan kita mudah diterima.” (Lihat Umdah al-Qari Syarah Sahih al-Bukhari, 10/266)

Syeikh al-Izz bin Abd al-Salam menjelaskan bahawa makna hadith ini adalah dibuka pintu syurga adalah disebabkan banyaknya amalan ketaatan dilakukan pada malam ini. Adapun ditutup pintu neraka pula adalah disebabkan kurangnya orang-orang yang melakukan maksiat pada bulan tersebut dan dibelenggu syaitan pula adalah bebasnya manusia daripada gangguan syaitan.

Secara jelasnya, beliau menyebut: Adapun yang dimaksudkan dengan terbukanya pintu syurga pada bulan Ramadhan adalah satu perumpamaan daripada banyaknya ketaatan, yang dapat menjadi penyebab terbukanya pintu-pintu syurga. Yang dimaksudkan dengan ditutupnya pintu neraka adalah perumpamaan daripada sedikitnya maksiat (pada bulan Ramadhan), yang menjadi penyebab tertutupnya pintu neraka. Sedangkan maksud daripada terbelenggunya syaitan adalah perumpamaan kepada terlepasnya orang-orang yang sedang melakukan puasa daripada bisikan-bisikan syaitan, kerana orang yang berpuasa tidak akan terlalu berkeinginan untuk melakukan maksiat. Lihat Fawa’id al-Saum, hlm. 38

Menurut al-Qadhi ‘Iyadh, hadith di atas boleh ditafsir secara zahir dan secara hakikat, di mana pintu-pintu syurga memang dibuka, pintu-pintu neraka memang ditutup dan syaitan-syaitan dirantai sebagai tanda kemuliaan dengan masuknya bulan Ramadan. Di samping syaitan dirantai untuk menegah mereka daripada mengganggu dan memperdaya orang yang beriman. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

Menurut beliau, terbukanya pintu syurga, tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan adalah tanda masuknya bulan Ramadhan, mulianya bulan tersebut dan syaitan juga terhalang daripada mengganggu orang beriman. Ini juga isyarat bahawa pahala dan keampunan daripada Allah SWT begitu banyak pada bulan Ramadhan. Hasutan dan godaan syaitan terhadap manusia juga berkurangan kerana mereka bagaikan para tahanan ketika itu. Lihat Fath al-Bari, 4/114 dan Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

Kata al-Qadhi ‘Iyadh lagi: Boleh juga membawa maksud bahawa terbukanya pintu syurga kerana Allah SWT memudahkan pelbagai ketaatan terhadap hamba-Nya pada bulan Ramadhan seperti puasa dan solat malam. Hal ini berbeza dengan bulan-bulan yang lain. Pada bulan Ramadhan, orang akan lebih sibuk melakukan kebaikan daripada melakukan maksiat. Inilah sebab mereka dapat memasuki syurga dan pintunya. Sedangkan tertutupnya pintu neraka dan terbelenggunya syaitan, inilah yang menjadikan seseorang lebih mudah menjauhi maksiat ketika itu. Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/167

Ibn Hajar al-Haitami dalam menyebut bahawa diambil daripada hadis ini bahawa pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup mengikut hakikatnya. Ini untuk menggambarkan kepada malaikat dan lainnya berkenaan bulan Ramadan dan pahalanya. Ikatan dan belenggu syaitan pula termasuk hakikat demikian pada kebanyakan masa atau secara majaz kinayah daripada menahan perbuatan jahat dan tipu daya kepada manusia. Hal ini ada kebenarannya. Lihat Ittihaf Ahl al-Islam bi Khususiyat al-Siyam, hlm. 38

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: Ya Allah sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dan suka memberi keampunan, maka ampunilah aku.”