#5536: Faedah Hadis ‘يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ’

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tentang hadith ‘يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ’ dan apa faedah-faedah daripada hadis tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami kemukakan terlebih dahulu hadith yang dimaksudkan. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ـ قَالَ أَحْسِبُهُ فَطِيمٌ ـ وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ ‏ “‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ‏” نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ، فَرُبَّمَا حَضَرَ الصَّلاَةَ وَهُوَ فِي بَيْتِنَا، فَيَأْمُرُ بِالْبِسَاطِ الَّذِي تَحْتَهُ فَيُكْنَسُ وَيُنْضَحُ، ثُمَّ يَقُومُ وَنَقُومُ خَلْفَهُ فَيُصَلِّي بِنَا‏.‏

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW merupakan orang yang terbaik akhlaknya. Aku mempunyai seorang adik yang dipanggil Abu ‘Umair, yang aku rasa baru sahaja berhenti menyusu dengan ibunya. Setiap kali adikku itu dibawa kepada Baginda akan bertanya kepadanya, “Wahai Abu ‘Umair, apa yang burung pipit kamu sedang lakukan? (burung pipit belaan yang selalu dia bermain dengannya) Kadang-kala waktu solat tiba sedang Baginda masih di rumah kami, maka Baginda mengarahkan kami untuk menghamparkan tikar dibawahnya, dibersihkan dan direnjis air. Kemudian Baginda berdiri dan kami mengikut Baginda, dan solat di belakang Baginda.

Riwayat al-Bukhari (6203)

Terdapat juga riwayat lain yang menyebut:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَدْخُلُ عَلَيْنَا وَلِي أَخٌ صَغِيرٌ يُكْنَى أَبَا عُمَيْرٍ وَكَانَ لَهُ نُغَرٌ يَلْعَبُ بِهِ فَمَاتَ فَدَخَلَ عَلَيْهِ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَاتَ يَوْمٍ فَرَآهُ حَزِينًا فَقَالَ ‏”‏ مَا شَأْنُهُ ‏”‏ ‏.‏ قَالُوا مَاتَ نُغَرُهُ فَقَالَ ‏”‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ

Maksudnya: Nabi Muhammad SAW pernah datang melawat kami. Aku mempunyai seorang adik yang diberi kuniyah (gelaran) Abu ‘Umair yang mempunyai seekor burung pipit yang dia selalu bermain dengannya, namun ia telah mati. Maka suatu hari Baginda SAW datang berjumpa dengannya dan melihatnya bersedih, lalu Baginda SAW bertanya akan hal Abu ‘Umair, lalu dijawab: Burung pipitnya telah mati. Maka Baginda SAW bertanya kepadanya “Wahai Abu ‘Umair, apa yang telah terjadi kepada burung pipit itu?

Riwayat Abu Daud (4969)

Faedah daripada Hadith

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata: Ibn al-Qas pada awal kitabnya berkata bahawa ramai orang menghina ahli hadis dengan menyatakan ada sesuatu hadis yang mereka riwayatkan, tiada faedah. Antaranya ialah hadith Abu Umair ini. Lalu Ibn al-Qas berkata: “Ramai yang tidak tahu bahawa pada hadis ini terdapat terlalu banyak wajah fiqh dan kesenian adab serta faedah yang boleh mencecah sehingga 60 wajah. Antaraya:

  • Sunat tenang ketika berjalan
  • Menziarahi rakan taulan adalah sunnah
  • Harus lelaki menziarahi perempuan ajnabiyyah jika dia bukan usia muda dan selamat daripada fitnah
  • Imam boleh mengkhususkan sebahagian rakyatnya untuk dia ziarahi, seterusnya bercampur dengan sebahagian rakyat dan tidak dengan yang lain.
  • Harus seorang pemerintah untuk berjalan seorang diri
  • Banyak ziarah tidak akan mengurangkan kasih sayang. Adapun ucapan ‘ زُرْ غِبًّا تزدَدْ حُبًّا’ hanya dikhususkan bagi sesiapa yang ziarah kerana tamak
  • Larangan daripada banyak bergaul dengan manusia, khususnya bagi mereka yang bimbang berlaku fitnah atau mudarat
  • Pensyariatan untuk berjabat salam
  • Mentakhsiskan lelaki dan bukan perempuan dalam bersalaman, dan bahawa sifat Nabi SAW yang lembut tangannya
  • Sunat orang yang menziarahi untuk solat di rumah orang dia ziarahi, lebih-lebih lagi jika orang yang diziarahi itu adalah yang soleh
  • Harus solat di atas tikar, serta meninggalkan sifat keras dan penghinaan. Ini kerana Nabi SAW mengetahui rumah tersebut kecil, tetapi Nabi SAW solat serta duduk di rumah tersebut
  • Asal pada sesuatu tempat adalah bersih
  • Pemilihan untuk didirikan solat berlaku pada tempat yang paling tenang dan baik
  • Harus orang alim membawa ilmunya untuk memberi manfaat dan istifadah kepada yang lain
  • Kelebihan keluarga Abu Talhah dan rumahnya
  • Harus untuk bergurau dan mengulangi gurauan. Ini merupakan keharusan yang sunnah dan bukan rukhsah
  • Bergurau dengan kanak-kanak yang belum mumaiyiz adalah harus
  • Mengulangi ziarah kepada orang yang dia bergurau bersamanya
  • Meninggalkan sifat takabbur dan rasa besar diri
  • Perbezaan orang besar ketika di jalanan hendaklah dimuliakan atau di rumah dia bergurau
  • Sifat orang munafik berbeza antara zahir dan batinnya
  • Hukum berdasarkan tanda-tanda pada wajah, sama ada suka atau dukacita
  • Harus berdalilkan berdasarkan mata pada seseorang seperti menangis dan lain-lain
  • Memberi kasih sayang walaupun seseorang itu masih kecil mahupun yang besar
  • Boleh bertanya tentang seseorang
  • Khabar yang datang berkenaan dengan tegahan kepada kanak-kanak menangis jika sekiranya dia menangis dengan sengaja atau menyakiti yang tiada hak sebenarnya
  • Harus menerima perkhabaran seseorang
  • Harus memanggil seseorang dengan gelaran yang belum dilahirkan lagi, sedangkan dia masih kecil
  • Harus kanak-kanak bermain dengan burung
  • Ibu bapa harus untuk meninggalkan anak yang masih kecil bersama apa yang diharuskannya
  • Harus menginfakkan harta pada perkara yang lalai pada kanak-kanak selama mana hukumnya harus
  • Harus menangkap burung dan diletakkan dalam sangkar
  • Harus memasukkan barang buruan daripada Tanah Halal kepada Tanah Haram dan meletakkannya di dalam sangkar
  • Harus mentasghirkan nama (sighah kecil) sekalipun untuk haiwan seperti kalimah Umair dan Nughair
  • Harus berhadapan dan berucap kepada yang kecil dengan panggilan
  • Harus bergaul dengan manusia mengikut akal kemampuan mereka
  • Harus tidur tengahari sekejap di rumah yang bukan isterinya selama mana selamat daripada fitnah
  • Pensyariatan qailulah (tidur sekejap di siang hari)
  • Harus pemimpin berqailulah di rumah rakyatnya
  • Harus seorang lelaki masuk ke rumah perempuan sedangkan suaminya tiada jika sekiranya selamat daripada fitnah
  • Memuliakan tetamu yang datang dan memberi kenikmatan sedikit tidak menafikan sunnah
  • Bermain dengan orang yang dia ziarahi bukanlah wajib
  • Orang tua apabila menziarahi kaum hendaklah menunjukkan prihatin dan kasih sayang sesama mereka. Ini kerana Nabi SAW pernah berjabat tangan dengan Anas, bergurau dengan Abu Umar dan solat di rumah mereka bersama-sama sehingga mereka semua mendapat keberkatannnya.
  • Dan lain-lain.

Inilah yang dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar (17/407).

Kisah ini masyhur dinisbahkan kepada Imam Syafii ketika menziarahi muridnya Imam Ahmad dan bermalam di rumah tersebut. Dikatakan Imam Syafii pada malam tersebut tidak solat tetapi hanya memikirkan sesuatu. Bila ditanya, Imam Syafii dapat mengistinbatkan pelbagai hukum fiqh sehingga dikatakan hampir 60 daripada hadith ini. Kami nyatakan bahawa kisah tersebut nisbah kepada Imam Syafii adalah tidak tepat.

Sebahagian menyatakan kisah ini adalah tidak benar kerana tiada seorang pun anak-anak Imam Ahmad yang mengenali Imam al-Syafi’i. Hal ini kerana Imam al-Syafi’i meninggal dunia di Mesir pada tahun 204 H. Dan Imam Ahmad lahir pada tahun 164 H. Imam Ahmad tidak berkahwin kecuali selepas 40 tahun usianya, iaitu setelah tahun 204 H, di mana tahun Imam al-Syafi’i meninggal dunia padanya. Oleh itu, anak lelakinya yang paling tua, iaitu Soleh juga tidak sempat mengenali Imam al-Syafi’i, apatahlagi anak perempuannya yang lebih kecil.

Al-Zahabi berkata:

قَالَ الخَلاَّلُ: أَخْبَرَنَا المَرُّوْذِيُّ، أَنَّ أَبَا عَبْدِ اللهِ قَالَ: مَا تَزَوَّجتُ إِلاَّ بَعْدَ الأَرْبَعِيْنَ

Al-Khallal berkata: “Al-Marruzi memberitahu kami bahawa Abu Abdillah berkata: Aku tidak berkahwin kecuali selepas empat puluh tahun.” (Lihat Siyar A’lam al-Nubala’, 2/187)

Justeru, jelas bahawa dari sudut sejarah, kisah ini adalah tidak benar berdasarkan kiraan tahun dan peristiwa di atas.

Manakala orang yang mengeluarkan istinbat banyak faedah daripada hadith ‘‏ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ’ itu adalah Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abi Ahmad al-Tabari yang dikenali sebagai Ibn al-Qas, iaitu seorang faqih dalam mazhab al-Syafi’i, dan bukanlah Imam al-Syafi’i sendiri. Ini seperti yang disebut oleh al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (17/407).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”