#5537: Pahala Umrah di Bulan Ramadhan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah umrah bulan Ramadhan menyamai haji?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Ibnu Abbas RA, katanya, “Rasulullah SAW bersabda kepada seorang wanita daripada kalangan Anhar. “Apakah yang menghalangmu untuk melakukan haji bersama kami?” Dia berkata, “Kami hanya punya dua ekor unta, satunya dibawa oleh bapa dan anaknya, dan yang satu lagi kami gunakan untuk menyiram kebun.” Maka Nabi SAW berkata:

فَإِذَا جَاءَ رَمَضَانُ فَاعْتَمِرِي ، فَإِنَّ عُمْرَةً فِيهِ تَعْدِلُ حَجَّةً، وَفِي رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ : حَجَّةً مَعِي

Maksudnya: “Jika datang bulan Ramadhan, lakukanlah umrah, kerana pahala umrah itu sama dengan pahala mengerjakan haji.” Dalam riwayat muslim, “Sama dengan pahala menunaikan haji bersamaku.”

Riwayat Imam al-Bukhari (1782) dan Muslim (1256)

Imam al-Nawawi berkata: Sabda Baginda SAW: ‘فَإِنَّ عُمْرَةً’ (sesungguhnya umrah) yakni di bulan Ramadhan, ‘ تَعْدِلُ حَجَّةً’ (menyamai haji), dan dalam riwayat lain: ‘تقضي حجة’ (menggantikan haji), yakni menyamai dengan haji dari segi pahala, bukan menyamai dalam setiap perkara. Ini kerana, jika seseorang itu masih ada kewajiban haji dan beliau melakukan umrah pada bulan Ramadhan, maka umrah itu tidak menggugurkan kewajiban hajinya.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/383)

Justeru, persamaan yang dimaksudkan dalam hadith ini ialah antara pahala umrah di bulan Ramadhan dan pahala haji adalah daripada ukuran pahala, bukan daripada jenis dan kualiti, kerana haji tidak diragukan lagi, lebih mulia daripada umrah daripada sisi jenis amal.

Siapa yang umrah di bulan Ramadhan, maka dia akan meraih senilai pahala ibadah haji, hanya saja perbuatan ibadah haji memiliki keutamaan, keistimewaan dan kedudukan yang tidak terdapat dalam umrah, berupa doa di Arafah, melontar jumrah, menyembelih kurban dan lainnya. Keduanya, meskipun sama kadar pahalanya daripada kualitinya, maksudnya, jumlahnya, akan tetapi tidak sama daripada sisi kualitinya.

Kami akhiri dengan doa:

اللّٰهُمَّ اجْعَلْ حَجَّنَا حَجًّا مَبْرُوْرًا، وَعُمْرَتَنَا عُمْرَةً مَبْرُوْرًةً، وَسَعْيَنَا سَعْيًا مَشْكُوْرًا، وَذَنْبَنَا ذَنْبًا مَغْفُوْرًا، وَعَمَلَنَا عَمَلًا صَالِحًا مَقْبُوْلًا، وَتِجَارَتَنَا تِجَارَةً لَنْ تَبُوْرَ.

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah haji kami, haji yang mabrur, umrah kami, umrah yang mabrurah, sa’ie kami sa’ie yang diterima, dosa kami dosa yang diampuni dan amalan kami amalan soleh yang dikabulkan dan perniagaan kami perniagaan yang tidak akan mengalami rugi selamanya.”