#5538: Tafsiran Ayat 13 Surah al-Najm

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Surah al-Najm ayat 13?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi.

(Surah al-Najm: 13)

Al-Tabari berkata: Makna ayat ini adalah, Nabi SAW juga melihat Malaikat Jibril untuk kali kedua. Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai apa yang telah dilihat oleh Nabi SAW pada kali kedua ini, sama seperti ketika mereka mentafsirkan firman Allah SWT, “مَا كَذَبَ الْفُؤَادُ مَا رَأَىٰ” [Hati (Nabi Muhammad) tidak mendustakan apa yang dilihatnya.]

Pendapat Pertama: Nabi SAW Melihat Malaikat Jibril AS

Para ulama yang berpendapat bahawa maksud ayat ini adalah Nabi SAW melihat Malaikat Jibril untuk kali yang kedua, menyebut beberapa riwayat untuk memperkuat pentafsiran mereka. Antaranya:

  • Daripada Masruq, bahawa Aisyah R.Anha berkata: “Wahai Abu Aisyah (panggilan untuk Masruq), sesiapa yang mengira bahawa Muhammad SAW telah melihat Tuhannya, maka dia telah melakukan dusta yang sangat besar terhadap Allah SWT.” Mendengar hal itu, aku (Masruq) yang sedang berbaring terus duduk, lalu berkata kepadanya, “Wahai Ummul Mukminin, tenanglah sedikit. Janganlah kamu terburu-buru mengatakan sesuatu. Bukankah Allah SWT telah berfirman, “وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ” [Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihatnya sekali lagi.] Allah SWT juga berfirman, ‘وَلَقَدْ رَآهُ بِالْأُفُقِ الْمُبِينِ’ (Dan demi sesungguhnya! Nabi Muhammad telah melihatnya di ufuk yang terang.) [Surah al-Takwir: 23] Aisyah lalu berkata, “Maksud kedua ayat itu adalah Malaikat Jibril. Baginda melihatnya dalam bentuk yang asal, sebagaimana ia diciptakan. Kemudian, Baginda melihatnya kembali ketika turun dari langit ke muka bumi, hingga menjadikan hitam seluruh kawasan yang berada di antara langit dan bumi.” Aisyah meneruskan katanya, “Aku adalah orang yang pertama kali bertanya kepada Nabi SAW mengenai ayat ini, dan Baginda menjawab, ‘هُوَ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَامُ’ (Ia adalah Jibril AS).[1]
  • Daripada Ibn Mas’ud, mengenai firman Allah SWT, “وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ” [Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihatnya sekali lagi,] dia berkata, ‘رَأَى جِبْرِيلَ فِي وَبَرِ رِجْلَيْهِ كَالدُّرِّ ، مِثْلَ الْقَطْرِ عَلَى الْبَقْلِ’ (“Nabi SAW melihat Malaikat Jibril. Bulu-bulu yang ada di kedua kakinya seperti permata yang bersinar, seperti titisan air yang ada pada sayur-sayuran.”)[2]
  • Daripada Mujahid, mengenai firman Allah SWT, “وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ”, dia berkata: “Nabi SAW melihat Malaikat Jibril dalam bentuknya yang asal sebanyak dua kali.”
  • Daripada al-Rabi’, mengenai firman Allah SWT, “وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ”, dia berkata: (Maksudnya adalah Nabi SAW melihat) Malaikat Jibril.”

Pendapat Kedua: Nabi SAW Melihat Tuhannya

Beberapa ulama’ yang berpendapat bahawa maksud ayat ini adalah (bahawa Nabi SAW( melihat Tuhannya, memperkuat pentafsiran mereka dengan menyebutkan beberapa riwayat, antaranya:

  • Daripada Ikrimah, Ibn ‘Abbas menyebut mengenai firman Allah SWT, “وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ” [Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihatnya sekali lagi,] katanya: “Sesungguhnya Nabi SAW telah melihat Tuhannya melalui hatinya.” Lalu tiba-tiba ada seseorang yang berkata kepada Ikrimah, “Bukankah Allah berfirman, ‘لَّا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ’ (“Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata).”) [Surah al-An’am: 103] Ikrimah lalu bertanya, “Bukankah kamu dapat melihat langit?” Dia menjawab, “Ya, aku dapat melihatnya.” Ikrimah bertanya lagi, “Dapatkah kamu melihatnya secara keseluruhan?”
  • Daripada Abu Salamah, daripada Ibn ‘Abbas, mengenai firman Allah, ‘وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرَىٰ ﴿١٣﴾ عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ’ [Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihatnya sekali lagi. Di sisi Sidratul Muntaha,”] dia berkata: “Allah mendekatkan diri kepada Nabi SAW, ‘فَكَانَ قَابَ قَوْسَيْنِ أَوْ أَدْنَىٰ ‎،‏ فَأَوْحَىٰ إِلَىٰ عَبْدِهِ مَا أَوْحَىٰ’ (Sehingga menjadilah jarak (di antaranya dengan Nabi Muhammad) sekadar dua hujung busur panah, atau lebih dekat lagi; Lalu Allah wahyukan kepada hamba-Nya apa yang telah diwahyukan-Nya.) Ibn ‘Abbas mentafsirkan bahawa makna ayat-ayat ini adalah, Nabi SAW telah melihat Allah.[3] (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 22/28-32)

Ibn Kathir berkata: Menurut Abu Hurairah R.A, ayat ini bermaksud Nabi Muhammad SAW telah melihat Jibril AS. [Sahih Muslim (175)]. Sementara Mujahid, Qatadah dan al-Rabi‘ bin Anas dan lainnya menyatakan bahawa ia bermaksud, Rasulullah SAW melihat Jibril AS dalam rupa bentuknya yang asal sebanyak dua kali. Kali kedua adalah pada malam Isra’ dan Mi’raj. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim 7/418-419).

Ibn ‘Asyur pula menyebut: Ayat ini merupakan penegasan ke atas fakta bahawa sememangnya Rasulullah SAW telah berjumpa Jibril AS. Seolah-olah Allah SWT sedang berfirman: “Sekiranya kamu (Musyrikin Makkah) mengingkari fakta bahawa Baginda SAW telah berjumpa dengan Jibril AS di bumi, maka sesungguhnya Baginda SAW telah berjumpa Jibril AS dalam keadaan yang lebih hebat (rupa asalnya), iaitu di langit. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 27/100).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

 

 

Nota kaki:

[1] Riwayat al-Tirmizi (3068) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (11408). Dalam riwayat lain, Masruq menyebut, bahawa Aisyah berkata kepadanya: “Wahai Abu Aisyah (panggilan kepada Masruq), barangsiapa yang mengira bahawa Muhammad SAW telah melihat Tuhannya, maka dia telah melakukan dusta yang sangat besar terhadap Allah SWT, kerana Allah SWT berfirman, ‘لَّا تُدْرِكُهُ الْأَبْصَارُ وَهُوَ يُدْرِكُ الْأَبْصَارَ’ (“Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata, sedang Dia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan (mata).”) [Surah al-An’am: 103] Allah SWT juga berfirman, ‘وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَن يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْيًا أَوْ مِن وَرَاءِ حِجَابٍ’ [Dan tidaklah mungkin bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengannya kecuali dengan jalan wahyu (dengan diberi ilham atau mimpi), atau dari sebalik tabir (dengan mendengar suara sahaja).] [Surah al-Syura: 51] Aisyah juga berkata, “Aku adalah orang yang pertama dari umat ini yang bertanya kepada Rasulullah SAW mengenai hal ini, dan Baginda menjawab, ‘ لَمْ أَرَ جِبْرِيلَ عَلَى صُورَتِهِ إِلاَّ هَاتَيْنِ الْمَرَّتَيْنِ رَأَيْتُهُ مُنْهَبِطًا مِنَ السَّمَاءِ سَادًّا عِظَمُ خَلْقِهِ مَا بَيْنَ السَّمَاءِ وَالأَرْضِ.’ [“Aku hanya pernah melihat Malaikat Jibril sebanyak dua kali itu sahaja. (Aku melihatnya) ketika turun dari langit ke muka bumi hingga menjadikan hitam seluruh kawasan yang berada di antara langit dan bumi.”] [Riwayat Muslim (no. 177) dan Ahmad dalam al-Musnad (6/241)]

[2] Riwayat Abu al-Syaikh dalam al-Azamah (2/772) dan al-Suyuti dalam al-Durr al-Manthur (7/649) menisbahkannya kepada Abu al-Syaikh dan Ibn Mardawaih, daripada Ibn Mas’ud.

[3] Riwayat al-Tirmizi (3280) dan beliau menyebut bahawa hadith ini hasan. Lihat juga al-Lalaka’i dalam I’tiqad Ahl al-Sunnah (3/516).