#5540: Pengunaan Pantri Pejabat oleh Pekerja Majmuk (Muslim dan Non Muslim)

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya baru mula bekerja di sebuah tempat di mana pekerja-pekerja majmuk bangsa. Saya telah menggunakan pantry, meja dan sinki pada minggu pertama di sini. Baru-baru ini rakan sekerja yang sudah bekerja lama beritahu bahawa non muslim di sini pernah panaskan lauk bekal berdaging babi di dapur pantry, makan di meja, dan basuh di sinki beberapa tahun lepas. Saya mula berasa susah hati tiap masa tiap hari sehingga hari ini. Adakah saya perlu sertu diri dan barang-barangan saya. Bagaimana dengan seluruh pejabat ini yang najis sudah merebak kerana penggunaan bersama di pantry, sinki dan meja makan dengan semua pekerja di sini, tambahan yang berbangsa Melayu Islam. Mungkin ada pekerja Melayu yang tidak tahu berkenaan perkara ini. perlukah saya beritahu mereka semua? Adakah kami semua telah bernajis dan menjejaskan ibadah saya dan mereka. Adakah saya akan sebarkan najis dari diri dan barangan saya ke rumah kepada keluarga saya juga dan menajiskan seluruh rumah kemudian menjejaskan ibadah sekeluarga. Apakah hukum pekerja Melayu yang masih menggunakan pantry, sinki dan makan di meja makan yang tidak pernah disertu itu dan kemudian memegang peralatan kerja (pc/mouse/file/kertas/mesin fotostat dan lain-lain). Saya tidak mampu berhenti kerana sangat perlukan kerja sebelum ini sudah menganggur lama mencari kerja dan banyak hutang perlu dilangsaikan. bantu saya ustaz. Apa perlu saya lakukan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan hadith daripada Nu’man bin Basyir R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْحَلَالَ بَيِّنٌ، والْحَرَامَ بَيِّنٌ، وبَيْنَهُمَا مُشْتَبِهَاتٌ لَا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Diantara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap syubhat bererti dia telah menyelamatkan agamanya dan kehormatannya.”

Riwayat al-Tirmizi (1205)

Al-Mubarakfuri menyebut: Sabda Baginda, ‘والْحَرَامَ بَيِّنٌ’, yakni ia jelas dan tidak ada keraguan tentang keharamannya kerana ada nas yang menyatakan keharamannya, seperti bangkai, darah dan seumpamanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/331)

Kami tegaskan khinzir itu hukum haram dan termasuk dalam  najis mughallazah. Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharaman babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77).

Justeru kami katakan dalam isu seperti ini aula/ pentingnya untuk kita berhati-hati dalam menggunakan bekas dari non muslim yang membabitkan penggunaan bersama. Maka, dalam isu ini, antara langkah yang patut dilakukan adalah:

  • Tinggalkan yang menjadi keraguan kepada yang tidak ada padanya keraguan. Hal ini seperti mana dalam riwayat Hasan bin Ali R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دَعْ مَا يَرِيبُكَ إِلَى مَا لاَ يَرِيبُكَ فَإِنَّ الصِّدْقَ طُمَأْنِينَةٌ وَإِنَّ الْكَذِبَ رِيبَةٌ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan. Maka sesungguhnya kebenaran itu adalah satu ketenangan dan sesungguhnya dusta itu adalah satu keraguan.”

Riwayat al-Tirmizi (2708)

Ibn Daqiq al-‘Id berkata maksud yang meragukan kamu ialah: “Tinggalkan sesuatu yang menjadikan kamu ragu-ragu dan gantikanlah kepada perkara yang tidak meragukan.” (Lihat Syarh al-Arba‘in al-Nawawiyyah, hlm. 61).

  • Oleh kerana isu ini sudah lama, maka kaedah di atas terpakai.
  • Untuk menenangkan hati semua pihak khusus semua pekerja Islam, maka dicadangkan agar dibawa debu tanah untuk disertu atau samak dan bersihkan perkakas dan sinki tersebut mengikut mazhab Syafie (1 air tanah dan 6 air biasa). Hal ini berdasarkan hadith:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

  • Boleh kita asingkan bekas terutama yang berkaitan peralatan memasak supaya tidak bercampur, kerana dikhuatiri memasak daging-daging yang haram untuk dimakan misalnya daging khinzir.
  • Kami katakan sebaik-baiknya kita hindarkan sebarang bentuk syubhah berdasarkan nas di atas.

Daripada al-Nu’man bin Basyir, Rasulullah SAW bersabda:

فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ، وَعِرْضِهِ

Maksudnya: “Sesiapa yang menghindarkan diri dari perkara syubhat, maka dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Al-Hafiz Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan: “Apabila sesuatu itu tidak jelas keadaannya, maka ia adalah syubhat dan sikap wara’ adalah dengan meninggalkannya. Sufyan al-Tsauri menyatakan: “Itu tidaklah membuatku kagum, tetapi yang lebih membuat aku kagum adalah meninggalkan sesuatu yang syubhat.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/200)

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa. (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/75)