#5543: Tafsiran Ayat 14 Surah al-Najm

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Surah al-Najm ayat 14?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

عِندَ سِدْرَةِ الْمُنتَهَىٰ

Maksudnya: “Di sisi Sidratul-Muntaha.

(Surah al-Najm: 14)

Al-Tabari berkata: Makna ayat ini menurut para ulama’ yang mengatakan bahawa ayat ini merupakan silah dari ‘رَآهُ’ pada ayat sebelumnya adalah, Nabi SAW melihat Malaikat Jibril dalam bentuk asalnya ketika berada di Sidratul Muntaha.

  • Menurut beberapa ulama tafsir, penamaan Sidratul Muntaha ini disebabkan di sanalah berakhirnya ilmu dari semua pemilik ilmu.
  • Sebahagian ulama lain berpendapat, bahawa sebab penamaan Sidratul Muntaha adalah kerana di tempat itulah berakhirnya perjalanan. Semua yang berada di atas, tidak akan dapat turun lagi melaluinya. Dan semua yang berada di bawah tidak akan dapat naik lagi melaluinya (yakni berhenti hingga Sidratul Muntaha, tidak ada yang naik atau turun melaluinya).
  • Sebahagian ulama lain berpendapat bahawa penamaan Sidratul Muntaha disebabkan di tempat itulah titik akhir yang dapat dilampaui oleh sesiapa sahaja, kecuali yang berada di atas Sunnah Nabi SAW dan ajarannya.

Kemudian, kata al-Tabari: “Menurut kami, semua pendapat tersebut dapat dibenarkan, kerana al-muntaha (الْمُنْتَهَى) ertinya al-intiha’ (الاِنْتِهَاءُ) (akhir), seakan yang dikatakan pada ayat ini adalah: ‘عِنْدَ سِدْرَةِ الاِنْتِهَاءِ’, yakni pada pohon bidara itulah akhir segalanya. Boleh sahaja Sidratul Muntaha diertikan seperti yang diriwayatkan daripada Ka’b, iaitu sebagai terminal (pangkalan/perhentian) akhir untuk semua ilmu, tidak ada yang dapat menembusi ilmu di sebaliknya. Atau boleh sahaja Sidratul Muntaha ini diertikan seperti yang diriwayatkan daripada Abdullah, iaitu sebagai terminal akhir bagi orang-orang yang berusaha naik atau turun, tidak ada yang dapat melaluinya, tidak ke atas dan tidak juga ke bawah. Boleh sahaja Sidratul Muntaha ini diertikan seperti yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah, iaitu sebagai terminal akhir bagi sesiapa sahaja kecuali umat Muhammad SAW yang berjalan  di atas Sunah dan ajaran Baginda. Boleh sahaja diertikan dengan semua makna-makna tersebut dan digabungkan menjadi satu, kerana tidak ada khabar (pemberitahuan) mengenai kepastian makna, sehingga tidak dibolehkan memaknakannya dengan erti tertentu.” (Lihat Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ay al-Quran, 22/33-35)

Ibn Kathir menukilkan daripada Abdullah bin Mas‘ud, katanya: “Ketika Rasulullah diisra’kan, berakhirlah perjalanannya di Sidratul Muntaha. Ia berada di langit ketujuh. Di Sidratul Muntaha berakhirlah segala sesuatu yang dinaikkan dari bumi, juga segala sesuatu itu ditahan. Di Sidratul Muntaha juga segala sesuatu yang di atasnya turun, kemudian ditahan. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/424).

Sayyid Qutb berkata: Kata-kata Sidrat bererti pokok bidara dan Sidratul Muntaha bererti bidara penghabisan, dan ini mungkin bermaksud bahwa ia merupakan batas penghabisan perjalanan, di mana terletaknya Jannatul Ma’wa, atau maksudnya ia merupakan pangkalan penghabisan perjalanan Mi‘raj Rasulullah SAW, atau tempat berakhirnya Jibril AS menemani Rasulullah SAW.

Di sinilah dia berhenti, sedangkan Baginda terus naik sedarjat lagi lebih dekat kepada Arasy Tuhannya. Semuanya ini merupakan salah satu daripada perkara-perkara ghaib yang hanya diketahui oleh Allah sahaja yang telah memperlihatkan kepada hamba pilihan-Nya. Hanya sekadar inilah sahaja yang dijelaskan kepada kita. Semuanya adalah perkara yang di luar keupayaan kita untuk mengetahui keadaannya yang sebenar. Manusia tidak dapat memahaminya melainkan dengan kehendak iradat Allah selaku Penciptanya dan Pencipta para malaikat Yang Maha Mengetahui dengan ciri-ciri manusia dan ciri-ciri malaikat. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 4/510).

Perbahasan berkenaan Sidratul Muntaha ialah satu perbahasan yang sangat panjang, dan terdapat banyak pandangan ulama berkenaan hakikat sebenarnya menurut al-Quran dan al-Hadith. Perbahasan berkenaan hakikat Sidratul Muntaha boleh dilihat dalam perbincangan terdahulu yang telah kami kemukakan sebelum ini dengan tajuk Sidratul Muntaha dan Kedudukannya.

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”