#5544: Ramadhan Penghulu Bulan

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah Ramadhan ialah penghulu bulan berbanding bulan-bulan yang lain? Dan apa statusnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diriwayatkan dalam Musnad al-Bazzar, daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

سَيِّدُ الشُّهُورِ رَمَضَانُ، وَأَعْظَمُهَا حُرْمَةً ذُو الْحِجَّةِ

Maksudnya: “Penghulu bagi semua bulan ialah Ramadhan dan bulan yang paling tinggi kehormatannya ialah Zulhijjah.”

Riwayat al-Bazzar (960). Di dalam sanad hadis ini terdapat al-Naufali. Kata al-Bazzar: “Dia ada melakukan kesalahan di dalam riwayat.” Dalam sanadnya terdapat kelemahan.

Penilaian Ulama’ Hadith

Antaranya:

  • Al-Baihaqi berkata: “Padanya terdapat kedha’ifan.” (Lihat Syu’ab al-Iman, 5/242)
  • Ibn Rajab al-Hanbali berkata: “Pada sanadnya terdapat perbincangan.” (Lihat Fath al-Bari, 6/122)
  • Al-Albani berkata: “Dan ini sanad yang dha’if, Yazid bin ‘Abd al-Malik iaitu al-Naufali, kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam kitabnya al-Taqrib, dia adalah dha’if.” (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah, 8/205)

Al-Munawi berkata: Sabda Baginda, ‘سَيِّدُ الشُّهُورِ رَمَضَانُ’ yakni yang paling terbaik dan afdhal. (Lihat Faidh al-Qadir, 4/122)

Abu Muhammad Abdillah bin Mani’ al-Ruqi berkata: Memang benar bahawa bulan Ramadhan adalah yang terbaik dan pemimpin di antara semua bulan, dan telah disebutkan dalam sebuah hadis yang tidak sahih bahawa ia adalah yang terbaik dan afdhal di antara bulan-bulan. Oleh itu, sewajarnya bagi seseorang untuk mengambil kesempatan ini bagi memperbanyakkan bacaan al-Quran dan mengisi malam dan siangnya dengan membacanya, serta memperbanyakkan amalan tersebut, sebagaimana dia juga menghabiskan siang harinya dengan berpuasa.

Selain itu, telah menjadi kebiasaan para salaf di mana mereka akan berdoa kepada Allah SWT agar dipanjangkan umur untuk menyambut Ramadhan, sehingga mereka dapat mengumpulkan ‘khazanah harta’ dari banyaknya bacaan al-Quran dan sedekah. Bahkan, ada di antara mereka yang akan menangguhkan sedekahnya sehinggalah tiba bulan Ramadhan untuk dibelanjakan di dalamnya. (Lihat Syarh Kitab al-Saum min Sahih al-Bukhari, hlm. 32)

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”