Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hikmah diutuskan Musa AS untuk dirujuk dalam perkara solat?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Syeikh Ibn Hajar berkata: Hal ini kerana Nabi Musa AS[1] pernah merasai umatnya yang begitu lemah dalam melaksanakan solat dan kasih sayang kepada Baginda SAW dengan memberi nasihat.
Manakala al-Qurtubi pula berpendapat, hal itu kerana umat Musa AS tidak mampu melaksanakannya.
Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani menyebut: Musa diberi keistimewaan seperti itu daripada nabi-nabi yang lain, yang ditemui oleh Nabi SAW pada malam isra’, kerana dia adalah manusia pertama yang berjumpa ketika Nabi SAW hendak turun. Selain disebabkan umatnya lebih banyak daripada umat yang lain, ia juga kerana kitabnya merupakan kitab terbesar yang diturunkan sebelum al-Quran, sama ada dari segi pensyariatan mahupun hukum-hakamnya. Atau, kerana umat Musa juga dibebankan dengan solat di mana mereka merasa berat akan hal itu, sehingga Musa khuatir umat Muhammad SAW juga seperti itu. Demikianlah yang diisyaratkan oleh perkataannya, ‘فَإِنِّي بَلَوْتُ بَنِي إِسْرَائِيلَ’ (“Kerana sesungguhnya aku telah menguji Bani Isra’il.”) (Lihat Fath al-Bari, 21/101)
Syeikh al-Sya’rawi mengulas isu 50 menjadi 5 fardhu. Beliau berkata: Bagaimana Allah menasakhkannya sebelum melaksanakannya? Jawapannya, manusia memahami kehendak taklif daripada Allah SWT hanya perlaksanaan. Tetapi kehendak taklif mempunyai dua maksud:
- Beriman dengan taklif dan tanpa menolaknya.
- Perlaksanaan taklif.
Jika boleh diterima yang pertama, maka perlaksanaannya adalah benar kerana Baginda telah menerima perkara taklif tanpa bangkangan dan selepas itu memohon keringanan. Justeru, bagi Rasulullah SAW telah menerima kedua-duanya.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”
Surah Ibrahim (40-41)
Nota kaki:
[1] Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan bahawa al-Qurtubi berkata: “Perkataan orang yang menyatakan bahawa Musa merupakan orang pertama yang menjumpainya setelah Baginda turun adalah tidak benar. Ini kerana, hadith Malik bin Sa’sa’ah lebih kuat dari ini, dan di dalamnya disebutkan bahawa Musa berjumpa dengan Baginda di langit keenam.” Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian mengulas: “Jika kita himpunkan antara keduanya, maka kesimpulannya adalah Nabi SAW berjumpa dengan Musa di langit keenam ketika hendak naik, lalu Musa naik ke langit ketujuh lantas menjumpai Baginda di sana (di langit ketujuh) setelah Baginda turun.” (Lihat Fath al-Bari, 21/101)