#5552: Anugerah Lain yang Dikurniakan kepada Nabi SAW pada Malam Isra’ dan Mi‘raj

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa anugerah lain yang dikurniakan kepada Nabi SAW pada malam Isra’ Mi’raj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadith daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, katanya:

لَمَّا أُسْرِيَ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ … فَأُعْطِيَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثًا أُعْطِيَ الصَّلَوَاتِ الْخَمْسَ وَأُعْطِيَ خَوَاتِيمَ سُورَةِ الْبَقَرَةِ وَغُفِرَ لِمَنْ لَمْ يُشْرِكْ بِاللَّهِ مِنْ أُمَّتِهِ شَيْئًا الْمُقْحِمَاتُ

Maksudnya:Ketika mana Rasulullah SAW diisra’kan …, Baginda diberi tiga hal: solat lima waktu, ayat-ayat penutup surah al-Baqarah, dan diampunkan bagi mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun daripada kalangan umat Baginda sekalipun mereka melakukan dosa-dosa besar.

Riwayat Muslim (173), al-Tirmizi (3276), al-Nasa’i (451) dan Ahmad (4011)

Abu al-Abbas al-Qurtubi berkata: Lafaz ‘Diampuni dosa-dosa besar bagi mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun’ bermaksud dosa besar yang menjerumuskan mereka ke dalam api neraka; Iaitu, yang memasukkan mereka ke dalamnya (api neraka) dengan kesusahan, kebencian dan keterukan. Manakala ‘Diberikan ayat-ayat penutup surah al-Baqarah’ adalah keistimewaan baginya iaitu diberikan keringanan dan pujian kepada Rasulullah SAW serta orang-orang yang beriman, dimustajabkan doa-doa mereka serta diberikan pertolongan kepada mereka. (Lihat al-Mufhim lima Ashkala min Kitab Talkhis Muslim, 1/395).

Imam al-Nawawi berkata: Maksud daripada ‘Diampuni dosa-dosa besar bagi mereka yang tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu pun’ ialah sesiapa yang mati dalam kalangan umat ini serta tidak mensyirikkan Allah, diampunkan baginya dosa-dosa besar yang memasukkannya ke dalam neraka. Yang dimaksudkan di sini dengan pengampunan — wallahu a‘lam — ialah, dia tidak akan kekal dalam neraka berbeza dengan orang-orang yang menyekutukan Allah. Tidak dimaksudkan di sini bahawa dia tidak diazab secara asalnya. Terdapat banyak dalil-dalil syarak dan ijma’ Ahli Sunnah yang menetapkan bahawa terdapatnya azab bagi sebahagian maksiat bagi mereka yang mentauhidkan Allah. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/3).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ زِدْنَا وَلَا تَنْقُصْنَا، وَأَكْرِمْنَا وَلَا تُهِنَّا، وَأَعْطِنَا وَلَا تَحْرِمْنَا، وَآثِرْنَا وَلَا تُؤْثِرْ عَلَيْنَا، وَارْضِنَا وَارْضَ عَنَّا

Maksudnya: “Wahai Allah! Tambahkanlah buat kami dan jangan Engkau kurangkan. Muliakanlah kami, jangan hinakan kami. Berilah buat kami, jangan dicegahnya. Pilihlah kami, jangan Engkau biarkan dan redhailah kami dan redhailah pula semua usaha kami.”