#5553: Tafsiran Ayat 17 Surah al-Najm

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Surah al-Najm ayat 17?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

مَا زَاغَ الْبَصَرُ وَمَا طَغَىٰ

Maksudnya: “Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan dengan tepat (akan pemandangan yang indah di situ yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.

(Surah al-Najm: 17)

Ibn Kathir menukilkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa (maksudnya adalah), pandangan Rasulullah SAW tidak menoleh ke kanan atau ke kiri, tidak pula melewati apa yang diperintahkan oleh Allah. Ini adalah sifat agung Rasulullah SAW dalam keteguhan dan ketaatan. Baginda tidak melakukan apa yang tidak diperintahkan oleh Allah, tidak pula meminta lebih daripada apa yang dikurniakan oleh Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/421).

Ibn ‘Asyur pula berkata: Ayat ‘مَا زاغَ الْبَصَرُ وَما طَغى’ merupakan sejenis jumlah mu‘taridhah, dan ia menjelaskan lagi ayat ‘وَلَقَدْ رَآهُ نَزْلَةً أُخْرى’ dalam erti kata Nabi Muhammad SAW telah melihat Jibril AS dalam rupanya yang sebenar-benarnya, tidak kurang dan tidak juga lebih daripada hakikat asal. (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 27/101).

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Penglihatan Nabi SAW tidak berpaling daripada apa yang dilihatnya dan tidak pula melampauinya. Penglihatan Rasulullah SAW terhadap Malaikat Jibril AS dalam bentuk kewujudan asalnya dan penglihatan Baginda terhadap pelbagai fenomena kerajaan Allah SWT adalah penglihatan dengan mata kepala, bukan tipuan pandangan atau ilusi. Ini memperkuat bahawa peristiwa Mi‘raj adalah dengan ruh dan jasad sekaligus. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/125).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”