#5554: Sebelum Ciptaan Arasy

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ramai di kalangan kita bertanya, selama mana Arasy adalah ciptaan Allah, bermakna Arasy adalah bersifat makhluk dan baru, sedangkan nas menyebut, “Allah yang bersifat al-Rahman beristiwa’ di atas Arasy.” Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Untuk menjawab persoalan ini, terdapat hadith daripada Abu Razin al-’Uqaili, bahawa beliau bertanya Rasulullah SAW: “Di mana Tuhan kita sebelum ciptaan seluruh langit dan bumi?” Lalu Baginda SAW menjawab:

 كَانَ فِي عَمَاءٍ مَا فَوْقَهُ هَوَاءٌ، وَمَا تَحْتَهُ هَوَاءٌ، ثُمَّ خَلَقَ الْعَرْشَ، ثُمَّ اسْتَوَى عَلَيْهِ

Maksudnya: Adalah Allah pada ‘Ama’ iaitu di atasnya udara dan di bawahnya udara. Kemudian Allah ciptakan Arasy. Kemudian Allah beristiwa di atasnya (mengikut yang layak bagi-Nya, yang tidak serupa dengan makhluk).

Riwayat al-Tirmizi (3109), Ibn Majah (182) dan al-Baihaqi dalam al-Asma wa al-Sifat (864). Al-Tirmizi menyatakan hadith ini hasan.

‘Ama’ (عماء) ditafsirkan dengan maksud ‘سحاب’ atau awan dan ada riwayat menafsirkan dengan bacaan pendek iaitu ‘عمى’ yang memberi maksud kegelapan.

Ibn Qutaibah berkata: Maksud ‘عمى’ iaitu buta daripada pengetahuan dan makrifah manusia. (Lihat Ta’wil Mukhtalaf al-Hadith, hlm. 363)

Kami akhiri dengan doa:

أَصْبَحْنَا عَلَى فِطْرَةِ الْإِسْلَامِ وَعَلَى كَلِمَةِ الْإِخْلَاصِ ، وَعَلَى دِينِ نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِينَا إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا مُسْلِمًا وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: “Kami hayati pagi ini di atas landasan fitrah dan perwatakan Islam, berpegang kepada kalimah ikhlas (kalimah syahadah), dan berpegang kepada agama Nabi kami Muhammad SAW yang juga agama ayah kami Ibrahim, yang berada di atas jalan yang lurus, muslim dan tidak tergolong dari kalangan orang-orang musyrik.”