Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana bentuk bunyi goresan qalam seperti dalam peristiwa Isra’ Mi’raj?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Hadith daripada Ibn Abbas dan Abu Habbah al-Ansari, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثُمَّ عُرِجَ بِي حَتَّى ظَهَرْتُ لِمُسْتَوَى أَسْمَعُ فِيهِ صَرِيفَ الأَقْلاَمِ
Maksudnya: “Setelah itu, Jibril A.S membawa aku naik ke suatu kawasan yang tinggi dan rata. Di situ aku dapat mendengar bunyi goresan pena.”
Riwayat al-Bukhari (349) dan Muslim (163)
Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menukilkan daripada al-Khattabi, bahawa “صريف الْأَقْلَامِ ” ialah bunyi goresan ketika menulis. Menurut beliau, ia adalah bunyi goresan (yang dapat didengari) daripada apa yang ditulis oleh para malaikat mengenai ketetapan Allah SWT, wahyu-Nya, dan juga apa-apa yang mereka salin daripada al-Lauh al-Mahfuz atau apa sahaja yang dikehendaki oleh Allah SWT daripada hal tersebut untuk ditulis dan diangkat (dipadamkan) berdasarkan kehendak-Nya berhubung perintah dan pengaturan-Nya. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/221).
Menurut Abu al-Abbas al-Qurtubi, “صريف الأقلام” ialah bunyi goresan pena yang dapat didengari ketika ditulis dengannya pada sesuatu, begitu juga seperti bunyi unta jantan yang melagakan gigi taringnya dan ia seolah-olah suara mengutis sebahagiannya dengan sebahagian dan apa yang tertulis padanya itu pula ialah al-Lauh al-Mahfuz. Wallahu a‘lam.
Boleh jadi qalam (pena) yang mengeluarkan bunyi itu adalah qalam yang dinyatakan bahawasanya Allah SWT bersumpah dengannya sebagaimana firman-Nya:
ن ۚ وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ
Maksudnya: “Nuun. Demi Pena dan apa yang mereka tulis.”
(Surah al-Qalam: 1)
Dan al-Qalam yang dimaksudnya di sini adalah bagi menunjukkan jenis (للجنس). Seterusnya kaifiat qalam dan lauh tidak ada seorangpun mengetahuinya melainkan hanya Allah atau sesiapa yang diberitahu oleh Allah berkenaannya. (Lihat al-Mufhim lima Asykala min Talkhis Kitab Muslim, 1/392).
Berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Nabi SAW mendengar goresan pena (qalam) di suatu tempat yang tinggi dan rata. Tempat tersebut pula berada selepas langit ketujuh dan sebelum bertemunya Baginda SAW dengan Allah SWT bagi menerima perintah berkenaan solat.
Hal ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Ibn al-Munir yang dinukilkan oleh al-Suyuti dalam kitabnya berkenaan Mi’raj. Dia berpendapat bahawa al-Mi’raj (anak tangga) terbahagi kepada sepuluh anak tangga. Jumlah tersebut sesuai dengan tahun Hijrah. Dia menyebutkan bahawa tujuh anak tangga berada pada tujuh langit. Kemudian dia telah menyebutkan munasabah (perkaitan atau hubungkait) tujuh anak tangga tersebut dengan tujuh tahun hijrah yang pertama.
Kemudian, anak tangga yang kelapan adalah anak tangga Sidratul Muntaha, ia merupakan destinasi terakhir bagi yang naik dari bumi dan (sebagai permulaan) bagi yang turun dari langit. Kemudian, anak tangga kesembilan adalah anak tangga untuk naik ke mustawa, tempat di mana Baginda SAW mendengar bunyi goresan pena. Kemudian, anak tangga kesepuluh pula adalah anak tangga naik ke al-Rafraf (الرفرف).[1] Di sanalah Baginda SAW bertemu Allah SWT dan mendengar perintah (wahyu). (Lihat al-Ayat al-Kubra fi Syarh Qissah al-Isra’, hlm. 64-65).
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”
Surah al-Baqarah (201)
Nota hujung:
[1] Menurut Ibn al-Athir, al-Rafraf dalam hadith Mi’raj adalah merujuk kepada permaidani. Diriwayatkan daripada Ibn Mas‘ud ketika menafsirkan ayat, “لَقَدْ رَأَى مِنْ آَيَاتِ رَبِّهِ الكُبْرَى”; katanya: Dia melihat permaidani berwarna hijau yang menutupi ufuk. (Lihat Taj al-‘Arus, 23/360).