#5556: Qalam: Sifatnya, dan Adakah Ia Merupakan Ciptaan Allah SWT yang Pertama

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bagaimana sifat Qalam dan adakah ia yang pertama dicipta oleh Allah SWT?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hadith daripada ‘Ubadah bin al-Samit R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمُ، فَقَالَ: اكْتُبْ. فَقَالَ: مَا أَكْتُبُ؟ قَالَ: اكْتُبِ الْقَدَرَ مَا كَانَ وَمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى الْأَبَدِ

Maksudnya: “Sesungguhnya pertama kali yang diciptakan Allah adalah al-Qalam (pena). Kemudian Allah berfirman: “Tulislah!” Pena tersebut bertanya, “Apa yang perlu saya tulis?” Allah menjawab: “Tulislah takdir (semua makhluk); Apa yang telah terjadi dan akan terjadi sehingga akhir zaman (hari Kiamat).”

Riwayat Abu Daud (4700) al-Tirmizi (2144, 3319) dan Ahmad (5/317).

Al-Qalam adalah daripada nur (cahaya), seperti dalam riwayat daripada Ibn Abbas R.A, katanya:

لَوَدِدْتُ أَنَّ عِنْدِي رَجُلًا مِنْ أَهْلِ الْقَدَرِ فَوَجَأْتُ رَأْسَهُ، قَالُوا: وَلِمَ ذَاكَ؟ قَالَ: لِأَنَّ اللهَ خَلَقَ لَوْحًا مَحْفُوظًا مِنْ دُرَّةٍ بَيْضَاءَ، دَفَّتَاهُ يَاقُوتَةٌ حَمْرَاءُ، قَلَمُهُ نُورٌ، وَكِتَابُهُ نُورٌ.

Maksudnya:Aku berkehendak dan bercita-cita bahawa di sisiku terdapat seorang lelaki dari puak ahli qadar[1] lantas aku pukul kepalanya. Mereka bertanya: “Kenapa berbuat demikian?” Jawabnya: “Kerana Allah telah menciptakan Lauh Mahfuz dari permata putih, kedua-dua tepinya daripada yaqut merah, sedangkan qalam-Nya adalah cahaya, dan kitab-Nya adalah cahaya…”

Riwayat al-Tabarani (10605). Al-Haithami menyebut dalam Majma‘ al-Zawa’id (7/393): Al-Tabarani meriwayatkannya daripada dua jalur, dan para perawi ini adalah thiqah.

Allah SWT telah menciptakan al-Qalam dengan tangan-Nya, seperti yang riwayat Ibn Umar R.Anhuma, katanya:

خَلَقَ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ أَرْبَعَةَ أَشْيَاءَ بِيَدِهِ: آدَمَ عَلَيْهِ السَّلَامُ , وَالْعَرْشَ , وَالْقَلَمَ , وَجَنَّاتِ عَدْنٍ , ثُمَّ قَالَ لِسَائِرِ الْخَلْقِ: كُنْ فَكَانَ

Maksudnya:Allah Azza wa Jalla telah ciptakan empat perkara dengan tangan-Nya; Adam AS, Arasy, Qalam dan Syurga ‘Adn. Kemudian Firman Allah kepada sekalian makhluk: “Jadilah.” Maka, terjadilah semua makhluk mengikut kehendak dan ilmu-Nya.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (3244) dan al-Ajuri dalam al-Syari’ah (750). Dan telah disahihkan oleh al-Albani dalam Mukhtasar al-‘Uluw (75)

Syeikh Yusuf al-Ghafis berkata: Adapun secara tafsir dan perinci berkenaan zat Lauh dan Qalam, maka ini tidak diterangkan oleh mana-mana nas. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tahawiyyah, hlm. 136)

Berkenaan dengan apakah ia adalah makhluk pertama ciptaan Allah, maka persoalan ini telah menjadi khilaf dalam kalangan ulama seperti berikut:

Pendapat Pertama: Ciptaan pertama adalah air. Ini kerana, dikatakan Arasy berada di atas air.  Pendapat ini diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dan sebahagian salaf, serta ditarjihkan oleh Badr al-Din al-‘Aini.

Pendapat Kedua. Ciptaan pertama adalah Arasy. Inilah pendapat jumhur. Pendapat ini juga telah ditarjihkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn al-Qayyim. Adapun hujah bahawa Arasy makhluk yang pertama berdasarkan hadith Abdullah bin ‘Amr bin al-‘As R.Anhuma, katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:

كَتَبَ اللَّهُ مَقَادِيرَ الْخَلَائِقِ قَبْلَ أَنْ يَخْلُقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ بِخَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ ، قَالَ: وَعَرْشُهُ عَلَى الْمَاءِ

Maksudnya:Allah telah menulis segala takdir makhluk-Nya sebelum penciptaan langit dan bumi sejak lima puluh ribu tahun. Baginda bersabda: ‘Sedangkan Arasy-Nya di atas air.’”

Riwayat Muslim (2653)

Pendapat Ketiga: Sebahagian ulama berpendapat Qalam. Pendapat yang menyatakan Qalam telah ditarjihkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Jauzi. Pendapat Qalam ini didalilkan oleh hadith riwayat ‘Ubadah bin al-Samit katanya: Aku dengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ أَوَّلَ مَا خَلَقَ اللَّهُ الْقَلَمَ فَقَالَ لَهُ : اكْتُبْ ، قَالَ : رَبِّ وَمَاذَا أَكْتُبُ ؟ قَالَ : اكْتُبْ مَقَادِيرَ كُلِّ شَيْءٍ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ

Maksudnya:Sesungguhnya awal ciptaan Allah adalah Qalam. Lantas firman Allah kepadanya: ‘Tulislah.’ Qalam menjawab: ‘Wahai Tuhanku, apa yang perlu aku tulis.’ Allah berfirman: ‘Tulislah segala taqdir setiap sesuatu sehingga berlaku kiamat.’”

Riwayat al-Tirmizi (255) Abu Dawud (4700) dan ia disahihkan oleh al-Albani dalam Sahih al-Tirmizi.

Walaubagaimanapun, banyak hadith yang menunjukkan bahawa disebut tentang Arasy (sebagai ciptaan pertama) seperti pendapat jumhur ulama.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Nota kaki:

[1] Al-Qadariyyah merupakan salah sebuah aliran pemikiran yang terawal dalam sejarah perkembangan pemikiran Islam. Aliran al-Qadariyyah atau juga dikenali sebagai mazhab al-Ikhtiyariyyah. (Lihat Tarikh al-Firaq al-Islamiyyah wa Nasy’ah ‘Ilm al-Kalam ‘Ind al-Muslimin oleh al-Ghurabi, hlm. 32)

Ia dipelopori oleh Ma’bad al-Juhani dan Ghaylan al-Dimasyqi dikatakan menjadi lawan kepada aliran al-Jabariyyah atau al-Mujbirah yang dipelopori oleh Jahm bin Safwan. Al-Qadariyyah juga merupakan aliran falsafah dalam Islam yang pertama dan ia menjadi laqab kepada aliran yang kemudiannya dikenali sebagai al-Mu’tazilah. (Lihat al-Munyah wa al-Amal oleh Ibn al-Murtada, hlm.149 dan al-Mu‘tazilah oleh Zuhdi Hasan Jar Allah, hlm.6)

Qadariah berasal daripada perkataan qadara yang bermaksud kekuatan. Golongan Qadariah percaya bahawa tidak ada campur tangan Tuhan dalam segala perkara yang dilakukan manusia. Mereka berpandangan bahawa tidak ada sebab untuk mengaitkan perbuatan manusia dengan Tuhan. Ada tiga kepercayaan golongan Qadariah, iaitu:

  • Manusia mempunyai kemampuan untuk bertindak
  • Manusia mempunyai kemampuan untuk membuat pilihan
  • Manusia yang membuat keputusan untuk berbuat baik atau buruk, tanpa melibatkan Allah