Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apabila bilal telah iqamat, adakah boleh untuk saya solat tahiyatul masjid lagi atau terus solat jemaah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Daripada Abu Qatadah RA, katanya Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ الْمَسْجِدَ فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya: “Apabila seorang kamu masuk ke dalam masjid, maka janganlah ia duduk hingga dia melakukan solat dua rakaat.”
Riwayat al-Bukhari (1110) dan Muslim (714)
Walaupun begitu, apabila diiqamatkan solat, maka tidak perlu lagi untuk solat sunat tahiyyatul masjid. Malah, hendaklah terus masuk bersolat bersama imam. Ini berdasarkan hadis:
إِذَا أَقِيمَتْ الصَّلَاةُ فَلَا صَلَاةَ إِلَّا الْمَكْتُوبَةِ
Maksudnya: “Apabila didirikan (diiqamatkan) solat, maka tiada lagi solat (sunat) kecuali solat fardhu.”
Riwayat Muslim (710)
Kesimpulan
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila bilal telah mengiqamatkan solat, maka tidak perlulah untuk melakukan solat tahiyatul masjid dan hendaklah terus solat jemaah bersama imam.
Bahkan sesetengah ulama’ berkata, jika seseorang sedang solat sunat dan diiqamatkan, maka hendaklah ia menyegerakan solat sunatnya atau memutuskannya dengan memberi salam. Seterusnya hendaklah dia solat bersama dengan imam. Suka ditegaskan di sini bahawa solat bersama imam adalah lebih diutamakan daripada solat-solat lain.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”
Wallahu a‘lam