#5558: Tafsiran Ayat 18 Surah al-Najm

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh jelaskan tafsiran Surah al-Najm ayat 18?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَقَدْ رَأَىٰ مِنْ آيَاتِ رَبِّهِ الْكُبْرَىٰ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya.

(Surah al-Najm: 18)

Al-Tabari berkata: Makna ayat ini adalah, di Sidratul Muntaha, Nabi SAW diperlihatkan tanda-tanda keagungan Tuhannya dan bukti daripada tanda-tanda itu. Nabi SAW juga diperlihatkan salah satu tanda keagungan Allah yang paling besar.

Para ahli tafsir berbeza pendapat mengenai maksud salah satu tanda keagungan Allah yang paling besar itu:

  • Sebahagian mereka menyatakan bahawa maksudnya adalah, Baginda melihat rafraf (الرَّفْرَفُ) (jubah atau permaidani atau sayap Malaikat Jibril AS) yang berwarna hijau. Rafraf (الرَّفْرَفُ) tersebut telah menutupi ufuk yang ada di langit.
  • Sebahagian ulama lain pula berpendapat bahawa yang dilihat oleh Nabi SAW adalah Malaikat Jibril dalam bentuknya yang asal. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 24/133).
  • Al-Syaukani berkata: Maknanya adalah, demi Allah, sungguh dia telah melihat pada malam itu sebahagian tanda kekuasaan Tuhannya yang paling besar, yang tidak dapat digambarkan.
  • Pendapat lain menyebut, “Maknanya adalah melihat sayap-sayap yang menutupi ufuk.”
  • Pendapat lain menyebut, “Maknanya adalah melihat Jibril dengan mengenakan pakaian hijau yang memenuhi apa yang ada di antara langit dan bumi. Dia memiliki enam ratus sayap.” Demikian yang disebutkan dalam Sahih Muslim dan lainnya.
  • Al-Dhahhak berkata, “(Maknanya adalah) melihat melihat Sidratul Muntaha.”
  • Pendapat lain juga menyebut, “Segala yang dilihatnya pada malam itu dalam perjalanan pergi dan pulangnya.”

Lafaz ‘مِنْ’ di sini untuk menunjukkan sebahagian, dan maf‘ul daripada ‘رَأَىٰ’ adalah ‘الْكُبْرَىٰ’. Boleh juga maf‘ulnya dibuang, yakni melihat sesuatu yang besar daripada tanda-tanda kekuasaan Tuhannya. Boleh juga ‘مِنْ’ sebagai tambahan. (Lihat Fath al-Qadir, 10/654).

Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Nabi Muhammad SAW sungguh benar telah melihat sebahagian daripada ayat-ayat Tuhannya yang terbesar. Baginda SAW telah melihat sebahagian daripada ayat-ayat Tuhan yang agung, yang tidak mampu digambarkan, iaitu bentuk kewujudan asal Malaikat Jibril AS dan pelbagai keajaiban ‘alam malakut. Ini seperti yang disebut dalam surah al-Isra’: ‘لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا’ (Supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami.) (Surah al-Isra’: 1).

Tanpa menentukan secara khusus sesuatu yang dilihat. Hal itu untuk memberikan pengertian bahawa apa yang dilihat adalah sesuatu yang agung, luar biasa dan memiliki keistimewaan. Imam al-Bukhari dan selainnya meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A berkaitan ayat ini: ‘رَأَى رَفْرَفًا أَخْضَرَ سَدَّ أُفُقَ السَّمَاءِ’ (Baginda melihat sayap-sayap hijau — kepunyaan Jibril — telah menutupi ufuk langit.). Diriwayatkan daripada Ibn Zaid, bahawasanya Rasulullah SAW melihat Malaikat Jibril AS dalam bentuk kewujudan asalnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 8/28).

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً وَهَيِّئْ لَنَا مِنْ أَمْرِنَا رَشَدًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu, dan berilah kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami.”

Surah al-Kahfi (10)