#5559: Waktu-Waktu yang Tidak Dibenarkan Solat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah Dato jelaskan waktu-waktu yang tidak dibenarkan untuk solat? Terima Kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith Ibn Abbas R.Anhuma, yang berkata:

 شَهِدَ عِنْدِي رِجَالٌ مَرْضِيُّونَ وَأَرْضَاهُمْ عِنْدِي عُمَرُ: أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنِ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصُّبْحِ حَتَّى تَشْرُقَ الشَّمْسُ، وَبَعْدَ العَصْرِ حَتَّى تَغْرُبَ.

Maksudnya: Orang-orang yang aku redhai telah memberitahuku, dan yang paling aku redhai dalam kalangan mereka adalah Umar: “Bahawasanya Nabi SAW melarang daripada menunaikan solat selepas Subuh sehingga naik matahari, dan selepas Asar sehingga matahari terbenam.”

 Riwayat al-Bukhari (581)

Hikmah larangan solat pada waktu tersebut kerana sebagai sadd al-zari’ah dengan kesyirikan dan juga menyekat tasyabbuh atau penyerupaan dengan orang-orang musyrikin. Ini kerana mereka menyembah matahari ketika terbit dan tenggelamnya, kerana itu ia dianggap sebagai dua tanduk syaitan.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat lima waktu yang dimakruhkan untuk solat kecuali dengan adanya sebab, iaitu:

  1. Selepas solat Subuh sehingga terbit matahari.
  2. Ketika matahari terbit sehingga sempurna dan naik setinggi batang tombak.
  3. Ketika istiwa’, iaitu matahari berada tegak di pertengahan langit sehingga condong kearah barat.
  4. Selepas solat asar sehingga matahari tenggelam.
  5. Ketika matahari tenggelam sehingga sempurna tenggelamnya. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 11)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”

(Surah Ibrahim:40-41)