#5560: Perkara yang Disunatkan untuk Orang Berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri.  Persoalan saya adalah perkara apakah yang disunatkan untuk orang yang berpuasa?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berpuasa pada bulan Ramadhan termasuk dalam rukun-rukun Islam yang wajib ditunaikan bagi mereka yang memenuhi syarat. Hal ini termasuk dalam maklum min al-Din bi al-Dharurah dan ia adalah ijma’ atau kesepakatan para ulama berkenaan dengan kefardhuan atau kewajipan berpuasa.

Adapun kefardhuannya, firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.”

Surah al-Baqarah (183)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat tiga perkara yang disunatkan untuk orang yang berpuasa, iaitu:

  1. Menyegerakan berbuka.

Daripada Sahl bin Sa’ad al-Sa’idi, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:

لاَ يَزَالُ النَّاسُ بِخَيْرٍ مَا عَجَّلُوا الفِطْرَ

Maksudnya: “Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama mana mereka menyegerakan berbuka puasa.”

Riwayat al-Bukhari (1957) dan Muslim (1098)

Berdasarkan kepada hadis ini, Syeikh Mustafa al-Bugha ada menyertakan komentarnya terhadap hadis ini, beliau menyatakan bahawa lafaz ‘لاَ يَزَالُ’ memberi makna bahawa mereka kekal dalam keluasan dan kerehatan sekiranya mereka berbuka setelah pasti terbenamnya matahari. Hal ini kerana, ia lebih memudahkan mereka dan menguatkan mereka untuk mengerjakan ibadah, begitu juga membolehkan mereka memperoleh ganjaran pahala tambahan oleh kerana pegangan mereka terhadap sunnah Rasulullah SAW. (Lihat Sahih al-Bukhari Tahqiq: Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir, 3/36)

  1. Melambatkan sahur.

Waktu sahur dilewatkan seperti yang diceritakan oleh Anas bin Malik RA daripada Zaid bin Tsabit:

تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً

Maksudnya: “Kami makan sahur bersama Nabi Muhammad SAW lalu kami solat (subuh) berjamaah”, Anas berkata kepada Zaid: “Berapa jarak waktu antara azan (subuh) dan sahur?” Zaid menjawab: “Sekitar bacaan al-Quran 50 ayat.”

Riwayat al-Bukhari (550)

Menurut Imam al-Nawawi, maknanya ialah jarak antara kedua waktu tersebut dalam anggaran bacaan 50 ayat al-Quran, dan hadith ini mengandungi galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, kadar bacaan 50 ayat tersebut adalah kadar bacaan sederhana. Tidak terlalu laju dan tidak pula terlalu lambat. Begitu juga dengan kadar panjang ayat yang sederhana yakni bukanlah ayat yang terlalu panjang, mahupun ayat yang terlalu pendek. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 7/208-209; Fath al-Bari, 4/138)

Justeru, berdasarkan hadis ini, jarak waktu selesai sahur Nabi SAW dengan waktu subuh sangat dekat, hanya sekitar jangkaan waktu bacaan 50 ayat al-Quran yang dibaca dengan kadar sederhana, tidak cepat dan tidak lambat (sekitar 10 hingga 15 minit sebelum subuh).

  1. Meninggalkan kata-kata yang kotor/ tidak baik. (Lihat Matan Abi Syuja’, hlm. 19)

Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW menyebut dalam sebuah hadith:

 وَإِذَا كَانَ يَوْمُ صَوْمِ أَحَدِكُمْ فَلَا يَرْفُثْ وَلَا يَصْخَبْ، فَإِنْ سَابَّهُ أَحَدٌ أَوْ قَاتَلَهُ فَلْيَقُلْ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ.

Maksudnya: Maka jika seorang daripada kalian sedang berpuasa, janganlah ia berkata-kata kotor dan berkelakuan yang tidak terpuji. Jika ada seorang yang mencela atau mengajaknya bertengkar, maka hendaklah ia berkata kepada orang itu, ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’.

Riwayat al-Bukhari (1904)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Perkataan ‘وَلَا يَصْخَبْ’ memberi maksud pergaduhan dan bertempik dengan meninggikan suara. Larangan di sini sebagai penguat, lebih-lebih lagi ketika berpuasa. Sedangkan orang bukan puasa juga dilarang dari melakukan aksi seperti marah yang melampau dengan mengangkat suara dan bertempik. (Lihat Fath al-Bari, 4/118)

Begitu juga, dalam nas ini, disebut dengan terang supaya jangan membalas makian seseorang sekalipun orang itu memakinya. Ini bermakna, jika ia memulakan memaki hamun, maka sudah tentu ia dilarang, tetapi sebaliknya, mengendurkan diri dengan menyebut ‘ إِنِّي امْرُؤٌ صَائِمٌ’ yang membawa maksud ‘Sesungguhnya saya sedang berpuasa’.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. “Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan”