#5563: Golongan Wanita yang Digantung Rambutnya

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah benar Nabi melihat wanita yang digantung rambutnya dalam peristiwa isra mikraj dan apa status hadis tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Diceritakan bahawa Nabi SAW melihat wanita yang digantung rambutnya. Jibril A.S berkata bahawa dia adalah wanita yang tidak menutup rambutnya daripada pandangan lelaki-lelaki yang ajnabi. Antara yang disebutkan bahawa Ali R.A dan Fatimah R.A masuk menemui Rasulullah SAW dalam keadaan baginda menangis, lalu Baginda SAW bersabda:

يَا عَلِيُّ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي إلَى السَّمَاءِ رَأَيْتُ نِسَاءً مِنْ أُمَّتِي يُعَذَّبْنَ بِأَنْوَاعِ الْعَذَابِ فَبَكَيْت لِمَا رَأَيْت مِنْ شِدَّةِ عَذَابِهِنَّ، رَأَيْت امْرَأَةً مُعَلَّقَةً بِشَعْرِهَا يَغْلِي دِمَاغُهَا، وَرَأَيْت امْرَأَةً مُعَلَّقَةً بِلِسَانِهَا وَالْحَمِيمُ يُصَبُّ فِي حَلْقِهَا، وَرَأَيْت امْرَأَةً قَدْ شُدَّ رِجْلَاهَا إلَى ثَدْيَيْهَا وَيَدَاهَا إلَى نَاصِيَتِهَا وَقَدْ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهَا الْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبَ، وَرَأَيْت امْرَأَةً مُعَلَّقَةً بِثَدْيَيْهَا، وَرَأَيْت امْرَأَةً رَأْسُهَا بِرَأْسِ خِنْزِيرٍ وَبَدَنُهَا بَدَنَ حِمَارٍ وَعَلَيْهَا أَلْفُ أَلْفُ لَوْنٍ مِنْ الْعَذَابِ، وَرَأَيْت امْرَأَةً عَلَى صُورَةِ الْكَلْبِ وَالنَّارُ تَدْخُلُ مِنْ فِيهَا وَتَخْرُجُ مِنْ دُبُرِهَا وَالْمَلَائِكَةُ يَضْرِبُونَ رَأْسَهَا بِمَقَامِعَ مِنْ نَارٍ، فَقَامَتْ فَاطِمَةُ الزَّهْرَاءُ – رَضِيَ اللَّهُ تَعَالَى عَنْهَا – وَقَالَتْ: يَا حَبِيبِي وَقُرَّةَ عَيْنِي مَا كَانَ أَعْمَالُ هَؤُلَاءِ حَتَّى وَقَعَ عَلَيْهِنَّ هَذَا الْعَذَابُ؟ فَقَالَ النَّبِيُّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: يَا بُنَيَّةُ أَمَّا الْمُعَلَّقَةُ بِشَعْرِهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ لَا تُغَطِّي شَعْرَهَا مِنْ الرِّجَالِ، وَأَمَّا الْمُعَلَّقَةُ بِلِسَانِهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ تُؤْذِي زَوْجَهَا، وَأَمَّا الْمُعَلَّقَةُ بِثَدْيَيْهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ تُؤْذِي فِرَاشَ زَوْجِهَا، وَأَمَّا الَّتِي شُدَّ رِجْلَاهَا إلَى ثَدْيَيْهَا وَيَدَاهَا إلَى نَاصِيَتِهَا وَقَدْ سَلَّطَ اللَّهُ عَلَيْهَا الْحَيَّاتِ وَالْعَقَارِبَ فَإِنَّهَا كَانَتْ لَا تَغْتَسِلُ مِنْ الْجَنَابَةِ وَالْحَيْضِ وَتَسْتَهْزِئُ بِالصَّلَاةِ، وَأَمَّا الَّتِي رَأْسُهَا رَأْسُ خِنْزِيرٍ وَبَدَنُهَا بَدَنُ حِمَارٍ فَإِنَّهَا كَانَتْ نَمَّامَةً كَذَّابَةً، وَأَمَّا الَّتِي عَلَى صُورَةِ الْكَلْبِ وَالنَّارُ تَدْخُلُ مِنْ فِيهَا وَتَخْرُجُ مِنْ دُبُرِهَا فَإِنَّهَا كَانَتْ مَنَّانَةً حَسَّادَةً. يَا بُنَيَّةُ الْوَيْلُ لِامْرَأَةٍ تَعْصِي زَوْجَهَا»

Maksudnya: “Wahai Ali, Pada malam aku diperjalankan ke langit, aku melihat sekumpulan perempuan dalam kalangan umatku sedang diseksa dengan berbagai seksaan. Aku menangis kerana melihat dahsyatnya seksaan mereka. Aku melihat ada seorang perempuan yang digantung rambutnya, otaknya mendidih. Aku juga lihat seorang perempuan yang digantung lidahnya, dan timah cair dituangkan ke dalam tenggorokannya. Aku juga lihat seorang perempuan yang diikat kedua-dua kakinya ke kedua-dua payudaranya dan diikat tangannya ke ubun-ubunnya. Ali R.A menjadikan banyak ular dan kala-jengking mendominasi dirinya. Bukan itu sahaja, aku juga lihat seorang perempuan yang digantung kedua-dua payudaranya dan aku lihat seorang perempuan yang berkepala babi namun bertubuh keldai, dan di atasnya berjuta jenis seksaan. Aku turut lihat seorang perempuan yang berupa anjing. dan api neraka masuk melalui mulutnya dan keluar dari duburnya sementara para malaikat memukul kepalanya dengan gada dari api neraka”. Lalu Fatimah al-Zahra R.Anha bangun dan berkata: “Wahai cinta hatiku dan penyejuk mataku, apakah amalan mereka sehingga mereka diseksa sebegitu”? Nabi SAW menjawab: “Wahai puteriku, perempuan yang tergantung rambutnya itu adalah kerana dia tidak menutup rambutnya daripada pandangan para lelaki. Perempuan yang digantung lidahnya itu pula adalah kerana sering menyakiti hati suaminya. Perempuan yang digantung kedua-dua payudaranya adalah kerana dia sering menodai ranjang suaminya. Perempuan yang dikat kedua dua kakinya ke kedua-dua payudaranya serta kedua-dua tangannya ke ubun-ubunnya dan banyak ular dan kala jengking mendominasi dirinya adalah kerana dia tidak mandi wajib akibat berjunub dan haid serta memperolok-olok solat. Perempuan yang berkepala babi namun bertubuh keldai, dia itu pengadu domba lagi pendusta. Perempuan yang berupa anjing dan api masuk melalui mulutnya dan keluar dari duburnya pula, dia itu suka mengungkit kebaikan lagi suka berdengki. Wahai puteriku, celakalah bagi isteri yang menderhakai suaminya”.

Hadith ini juga diriwayatkan oleh al-Zahabi dalam al-Kabair (hlm. 177-178) tanpa dinyatakan sanadnya. Begitu juga dengan Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir (2/79) tanpa dinyatakan sanadnya.

Al-Lajnah al-Daimah ketika ditanya berkenaan status hadith ini, mereka menjawab: “Setelah kami meneliti hadith yang telah tersebar ini dengan tajuk “Peringatan untuk Wanita” yang disandarkan kepada Ali R.A dan Fatimah R.Anha, kami mendapati bahawa hadith yang telah tersebar ini merupakan penipuan terhadap Rasulullah SAW. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Daimah – Majmu’ah al-Ula, 17/165-167)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”