#5566: Kubur Masyitah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah sahih Nabi melihat kubur Masyitah ketika malam israk mikraj? Bagaimana status hadith ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kisah Masyitah atau wanita tukang sikat ini sangat terkenal sebagaimana terdapat di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ ‏لَمَّا كَانَتْ اللَّيْلَةُ الَّتِي ‏‏أُسْرِيَ ‏‏بِي فِيهَا أَتَتْ عَلَيَّ رَائِحَةٌ طَيِّبَةٌ فَقُلْتُ: يَا ‏جِبْرِيلُ‏ مَا هَذِهِ الرَّائِحَةُ الطَّيِّبَةُ؟ فَقَالَ: هَذِهِ رَائِحَةُ ‏‏مَاشِطَةِ ابْنَةِ فِرْعَوْنَ ‏‏وَأَوْلادِهَا قَالَ: قُلْتُ: وَمَا شَأْنُهَا ؟ قَالَ: بَيْنَا هِيَ تُمَشِّطُ ابْنَةَ ‏‏فِرْعَوْنَ ‏‏ذَاتَ يَوْمٍ إِذْ سَقَطَتْ ‏‏الْمِدْرَى ‏‏مِنْ يَدَيْهَا فَقَالَتْ : بِسْمِ اللَّهِ فَقَالَتْ لَهَا ابْنَةُ ‏ ‏فِرْعَوْنَ‏ ‏أَبِي؟ قَالَتْ: لا وَلَكِنْ رَبِّي وَرَبُّ أَبِيكِ اللَّهُ قَالَتْ: أُخْبِرُهُ ‏‏بِذَلِكَ ! قَالَتْ : نَعَمْ فَأَخْبَرَتْهُ فَدَعَاهَا فَقَالَ: يَا فُلانَةُ ؛ وَإِنَّ لَكِ رَبًّا غَيْرِي ؟ قَالَتْ: نَعَمْ ؛ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ فَأَمَرَ بِبَقَرَةٍ مِنْ نُحَاسٍ فَأُحْمِيَتْ ثُمَّ أَمَرَ بِهَا أَنْ‏ ‏تُلْقَى هِيَ وَأَوْلادُهَا فِيهَا قَالَتْ لَهُ : إِنَّ لِي إِلَيْكَ حَاجَةً قَالَ: وَمَا حَاجَتُكِ؟ قَالَتْ: أُحِبُّ أَنْ تَجْمَعَ عِظَامِي وَعِظَامَ وَلَدِي فِي ثَوْبٍ وَاحِدٍ وَتَدْفِنَنَا قَالَ : ذَلِكَ لَكِ عَلَيْنَا مِنْ الْحَقِّ قَالَ: فَأَمَرَ بِأَوْلادِهَا فَأُلْقُوا بَيْنَ يَدَيْهَا وَاحِدًا وَاحِدًا إِلَى أَنْ انْتَهَى ذَلِكَ إِلَى صَبِيٍّ لَهَا مُرْضَعٍ وَكَأَنَّهَا تَقَاعَسَتْ مِنْ أَجْلِه قَالَ: يَا ‏‏أُمَّهْ؛‏ ‏اقْتَحِمِي فَإِنَّ عَذَابَ الدُّنْيَا أَهْوَنُ مِنْ عَذَابِ الْآخِرَةِ فَاقْتَحَمَتْ

Maksudnya: “Ketika malam aku diisra’kan, aku terhidu bau yang wangi.” Lalu aku bertanya, “Wahai Jibril, bau wangi apakah ini?” Jibril pun menjawab, “Ini adalah wangian wanita tukang sikat anak perempuan Fir’aun dan anak-anaknya (anak-anak Masyitah). “Aku bertanya.” “Apakah yang berlaku padanya?” Jibril menjawab, “Pada suatu hari, Masyitah sedang menyikat rambut anak perempuan Fir’aun, tiba-tiba sikatnya terjatuh daripada tangannya. Lalu beliau berkata, “Bismillah (dengan nama Allah).” Lalu anak perempuan Fir’aun berkata kepadanya, “Adakah Allah itu ayahku?” “Tidak, tetapi Tuhanku dan Tuhan ayahmu adalah Allah.” Anak perempuan Fir’aun pun berkata, “Aku akan memberitahu kepada ayahku.” “Silakan”. Jawabnya tenang. Setelah diberitahu kepada Fir’aun, maka Masyitah dipanggil. “Wahai fulanah, apakah engkau memiliki Tuhan selain Aku?” Masyitah menjawab: “Ya, Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah.” Lalu Firaun memerintahkan supaya dibawakan sebuah patung lembu yang dibuat daripada tembaga, lalu dipanaskan. Lalu Fir’aun memerintahkan Masyitah dan anak-anaknya agar melompat ke dalamnya.” Wanita tukang sisir itu pun berkata, “Aku ada satu hajat kepadamu.” Fir’aun berkata, “Apa keperluanmu?” “Aku ingin agar engkau mengumpulkan tulang-tulangku dan tulang anakku ke dalam satu kain, lalu engkau menguburkan kami.” Firaun berkata: “Itu hakmu yang mesti ditunaikan daripada kami.” Lalu Fir’aun memerintahkan untuk melemparkan anak-anaknya di hadapan wanita tukang sikat itu satu persatu sehingga tinggal anaknya yang masih menyusu. Masyitah amat berat dengan keadaan anaknya tersebut. Kemudian anak kecil itu berkata, “Wahai ibuku, tabahlah, sesungguhnya azab dunia lebih ringan daripada azab akhirat.” Maka Masyitah pun menjadi tabah.

Riwayat Imam Ahmad di dalam al-Musnad (1/309), al-Tabrani (12280), Ibn Hibban (2903) dan al-Hakim (2/496)

Penilaian Ulama Mengenai Hadith ini

  • Imam al-Zahabi menyebutkan: “Hadith ini mempunyai sanad hasan”. (Lihat al-‘Uluw li al-‘Aliy al-Ghaffar, 84)
  • Ibn Kathir berkata: “Tidak ada yang salah dengan sanadnya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 3/15)
  • Sanadnya dinilai sahih oleh Syeikh Ahmad Syakir berdasarkan ulasannya di dalam al-Musnad (4/295).
  • Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut berkata: Sanadnya hasan. (Lihat Takhrij al-Musnad, 5/30-31, hadith no. 2821).

Maka jelaslah bahawa kisah ini sahih dan dibuktikan bahawa ia diambil daripada Nabi SAW, dan bukannya daripada sumber Yahudi atau Nasrani. Berkenaan dengan frasa

Ibn al-Athir menukilakan pendapat al-Hafiz Abu Musa dalam al-Nihayah, katanya: “Firaun memerintahkan supaya dibawakan sebuah patung lembu yang dibuat daripada tembaga, lalu dipanaskan,” Yang dimaksudkan dalam hal ini bahawa ia tidak merujuk kepada sesuatu yang dibuat dalam bentuk lembu, malah mungkin periuk atau cerek yang luas, yang mereka namakan baqarah, diambil daripada perkataan tabaqqur (التَّبقُّر) yang bermaksud keluasan kawah, atau mungkin juga sesuatu yang boleh memuatkan seekor lembu keseluruhan kerana saiznya yang besar, jadi ia disebut sedemikian. (Lihat al-Nihayah, 1/145).

Demikianlah kisah Masyitah, tukang sikat anak perempuan Firaun. Beliau rela direbus hidup-hidup bersama anak-anaknya demi mempertahankan keimanannya. Sehingga aroma yang wangi daripada kuburnya disaksikan oleh Nabi SAW, dan malaikat Jibril ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Berkenaan di manakah kubur Masyitah, lokasinya tidak diketahui. Namun begitu, sebelum beliau dilemparkan ke dalam api, beliau meminta kepada Firaun, untuk mengumpulkan tulang-tulangnya serta anak-anaknya dan menguburkan mereka bersama-sama dalam satu kubur yang tidak diketahui lokasinya.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”