#5567: Tafsir Ayat 185 Surah Baqarah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan ayat 185 dari Surah al-Baqarah?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalil difardhukan puasa pada bulan Ramadhan adalah berdasarkan firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ ۚ فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia
berpuasa bulan itu.”

(Surah al-Baqarah: 185)

 Penulis suka menegaskan di sini nas kewajipan berpuasa pada hujung ayat di atas, iaitu:

فَمَن شَهِدَ مِنكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ

Maksudnya: “Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.”

(Surah al-Baqarah: 185)

Ibn Kathir berkata: “Ayat ini adalah kewajipan yang pasti bagi seseorang yang menyaksikan hilal bulan Ramadan, iaitu mereka yang berada di wilayah tersebut ketika bulan Ramadan bermula dan dalam keadaan sihat untuk berpuasa tanpa sebarang keraguan. Ayat ini memansuhkan kebolehan sebelumnya bagi individu yang sihat dan berada di wilayah tersebut untuk berbuka puasa dan memberi fidyah dengan memberi makanan kepada orang miskin setiap hari, sebagaimana yang telah dijelaskan sebelum ini. Apabila berpuasa menjadi wajib, kebenaran kembali diberikan kepada orang sakit dan orang yang bermusafir untuk berbuka puasa, dengan syarat bahawa mereka akan menggantikannya pada masa yang akan datang. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/503)

Syeikh Abu Bakar al-Jaza’iri menyebut: ‘شَهْرُ رَمَضَانَ’, iaitu bulan kesembilan daripada turutan tahun Qamariyyah. Perkataan syahr (الشهر) diambil daripada perkataan syuhrah (الشهرة) (terkenal), dan perkataan Ramadhan diambil daripada perkataan ramadha al-sa’im (رمض الصائم), apabila orang yang berpuasa merasakan panas pada tengkuknya disebabkan haus.

Firman-Nya: ‘الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ’, ini menunjukkan keutamaan bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan yang lain, kerana Allah SWT menurunkan al-Quran pada bulan Ramadhan, iaitu pada malam Lailatul Qadar. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/162)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي عَبْدُكَ ، وَابْنُ عَبْدِكَ ، وَابْنُ أَمَتِكَ ، نَاصِيَتِي بِيَدِكَ ، مَاضٍ فِيَّ حُكْمُكَ ، عَدْلٌ فِيَّ قَضَاؤُكَ ، أَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قَلْبِي ، وَنُورَ صَدْرِي ، وَجِلَاءَ حُزْنِي ، وَذَهَابَ هَمِّي.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubunku di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas ku dalam keputusan-Mu. Aku memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hatiku, cahaya di dadaku, penghilang kesedihanku, penghapus kesusahanku.”