#5569: Balasan Pengkhutbah yang Memotong Bibir dan Lidah Mereka

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dalam peristiwa mikraj, Nabi melihat lelaki yang dipotong lidah dan bibir mereka dan apa status hadisnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat riwayat yang menceritakan bahawa Nabi SAW melihat sekumpulan lelaki diazab dengan dipotong lidah dan bibir mereka dengan menggunakan gunting daripada neraka. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, Rasulullah SAW bersabda:

أَتَيْتُ عَلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي، فَرَأَيْتُ فِيهَا رِجَالًا تُقْطَعُ أَلْسِنَتُهُمْ وِشِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ، مَا هَؤُلَاءِ؟، قَالَ: هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ

Maksudnya: Aku datang ke langit dunia pada malam aku diperjalankan (isra’), lalu aku melihat di dalamnya terdapat sekumpulan lelaki yang dipotong lidah-lidah mereka dan bibir-bibir mereka dengan gunting daripada neraka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah orang yang pandai bercakap dalam kalangan umatmu.’

Riwayat Abu Ya‘la dalam Musnadnya (4160); Husain Salim Asad (pentahqiq kitab ini) menilainya sebagai sahih.

Dalam riwayat Ahmad ada dinyatakan sebab mereka mendapat balasan sedemikian rupa. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik, R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

رَأَيْتُ لَيْلَةَ أُسْرِيَ بِي رِجَالًا تُقْرَضُ شِفَاهُهُمْ بِمَقَارِيضَ مِنْ نَارٍ، فَقُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلَاءِ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ خُطَبَاءُ مِنْ أُمَّتِكَ، يَأْمُرُونَ النَّاسَ بِالْبِرِّ، وَيَنْسَوْنَ أَنْفُسَهُمْ، وَهُمْ يَتْلُونَ الْكِتَابَ أَفَلَا يَعْقِلُونَ

Maksudnya:Aku melihat pada malam aku diperjalankan (isra’), sekumpulan lelaki yang dipotong bibir-bibir mereka dengan gunting daripada neraka. Maka aku bertanya: ‘Wahai Jibril, Siapakah mereka?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah orang yang pandai bercakap dalam kalangan umatmu. Mereka menyuruh orang ramai melakukan kebaikan, tetapi mereka melupakan diri mereka sendiri. Walhal mereka membaca al-Quran. Justeru, mengapa mereka tidak mahu memikirkannya?’

Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (13515 dan 13421); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (21/159 dan 21/104) menilai hadith ini adalah sahih, tetapi sanadnya adalah dha‘if disebabkan oleh Ali bin Zaid iaitu Ibn Jud‘an dinilai sebagai perawi yang lemah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”