#557: Menelan Air Mani

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah seorang isteri itu menelan air mani suaminya? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

خُلِقَ مِنْ مَاءٍ دَافِقٍ (6) يَخْرُجُ مِن بَيْنِ الصُّلْبِ وَالتَّرَائِبِ

Maksudnya:Dia diciptakan daripada air yang memancut ke dalam rahim. (6) Air yang keluar daripada bahagian tulang sulbi belakang lelaki dan tulang dada perempuan.

(Surah al-Tariq: 6-7)

Bukti kekuasaan Allah SWT amat jelas, di mana manusia dicipta daripada air yang terpancut dan terpancar ke dalam rahim, iaitu yang terdiri daripada air mani lelaki dan perempuan, kemudian berlaku persenyawaan antara keduanya. Kedua air tersebut ialah air yang keluar daripada tulang belakang lelaki melalui saluran saraf tertentu yang berhubungan dengan otak dan air yang keluar daripada antara tulang dada wanita (al-Tara’ib). Oleh itu, seorang bayi terbentuk daripada percampuran dua jenis air ini, yang seterusnya bertempat di dalam rahim dan akhirnya membentuk janin dengan kehendak Allah SWT. ( Lihat al-Tafsir al-Munir, 15/476)

Apabila Dia berkuasa mencipta manusia daripada benda-benda yang tidak hidup, maka pasti Dia akan lebih berkuasa untuk menghidupkan mereka semula selepas mati. Hal ini adalah sepertimana firman-Nya dalam Surah al-Rum:

وَهُوَ الَّذِي يَبْدَأُ الْخَلْقَ ثُمَّ يُعِيدُهُ وَهُوَ أَهْوَنُ عَلَيْهِ

Maksudnya:Dan Dialah Allah yang menghidupkan makhluk daripada tiada. Kemudian Dia juga yang menghidupkannya semula selepas kematiannya dan ini lebih mudah bagi-Nya.

(Surah al-Rum: 27)

Oleh itu, hendaklah manusia mengerjakan amalan yang akan menggembirakan mereka ketika dibangkitkan semula nanti. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 30/112; 30/115.)

 

Air mani manusia

Secara umumnya para ulama telah berselisih mengenai kesuciannya; adakah dihukumkan sebagai suci atau najis. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya bahawa air mani manusia adalah suci di sisi ulama mazhab Syafi‘i. Inilah pendapat yang tepat yang dinaskan oleh Imam al-Syafi‘i dalam kitab-kitabnya dan pendapat yang telah diputuskan oleh majoriti ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i. Justeru, air mani anak Adam menurut mazhab Syafi‘i adalah suci, tidak kira lelaki atau perempuan, Muslim atau kafir. Selain itu, pendapat ini juga — yakni air mani manusia adalah suci — merupakan pendapat Sa‘id al-Musayyid, ‘Ata’, Ishaq bin Rahawaih, Abu Thaur, Daud, Ibn al-Munzir dan riwayat yang sahih (paling kuat) daripada Ahmad — yakni dalam mazhab Hanbali. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/553-554)

Penjelasan lanjut mengenai perkara ini bolehlah merujuk artikel kami yang bertajuk: #552 Kesucian Air Mani Manusia.

Menelan air mani dari kaca mata perubatan

Secara umumnya, tiada masalah untuk seorang isteri itu menelan air mani suaminya dan ia adalah normal untuk dilakukan oleh pasangan suami isteri. Sekalipun begitu, mereka diingatkan untuk melakukan ujian air mani terlebih dahulu bagi memastikan benar-benar bebas daripada sebarang kondisi kesihatan berkaitan sistem reproduktif. Jika belum melakukan ujian air mani, si suami disarankan untuk menggunakan kondom saat melakukan seks oral bagi mengelakkan si isteri menelan air mani. Jadi, perbuatan menelan air mani semasa seks oral ini boleh dan selamat dilakukan sekiranya pakar sudah mengesahkan suami tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan.

Hal ini kerana terdapat beberapa mudarat yang berkemungkinan boleh didapati melalui air mani — yakni dengan menelannya. Di antaranya ialah:

  1. Menyebarkan penyakit kelamin. Jika diteliti, kandungan komponen yang terdapat dalam sperma kelihatan seperti boleh ditelan dan dihadam dalam perut sama seperti makanan yang lain. Sekalipun begitu, sperma yang berasal daripada individu yang telah dijangkiti penyakit kelamin seperti HIV, hepatitis B dan C, herpes, syphilis dan chlamydia berisiko terjangkiti dengan virus yang sedia ada. Risiko penyakit tersebut dijangkiti individu yang menelan air mani ketika melakukan seks oral juga akan meningkat jika terdapat luka pada mulut, lidah, atau gusi.
  2. Membangkitkan rasa loya dan muntah. Air mani yang mempunyai kandungan protein yang tinggi sebenarnya mempunyai bau yang agak busuk dan memualkan. Oleh itu, cuba anda bayangkan bagaimana pasangan anda mahu menelan sesuatu yang mempunyai bau yang teruk? Ia cuma akan membangkitkan rasa loya dan kemudian muntah lalu merosakkan mood seks anda dan pasangan.
  3. Mendatangkan sakit kepala dan selesema. Selain daripada loya dan muntah, perbuatan menelan air mani juga akan menyebabkan individu itu mengalami sakit kepala. Ini berlaku akibat gejala psikosomatis buat mereka yang sebenarnya jijik terhadap sperma. Bukan itu sahaja, menelan air mani pasangan juga sebenarnya akan mendatangkan jangkitan selesema akibat reaksi alahan mereka terhadap protein yang terkandung dalam sperma.
  4. Mengakibatkan trauma. Bagi pasangan yang sudah cuba menelan air mani atau tertelannya secara tidak sengaja, ia akan mengakibatkan trauma kepada mereka. Ini berlaku ekoran daripada bau dan rasa air mani yang tidak sama dengan jangkaannya. Jika perbuatan ini dilakukan berulang-ulang kali, ia akan mengakibatkan trauma.[1]

Menelan air mani dari sudut agama

Pada asasnya, sekalipun air mani itu dianggap suci, namun para ulama berbeza mengenai hukum menelan atau memakannya. Imam al-Nawawi menyebutkan dalam kitabnya, terdapat dua pendapat mengenai hal ini. Pendapat yang sahih lagi masyhur ialah air mani tidak halal untuk dimakan atau ditelan kerana ia dianggap sebagai suatu yang menjijikan dan kotor. Firman Allah SWT:

وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya:Dan ia mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Manakala pendapat kedua pula — iaitu pendapat yang dhaif dalam mazhab Syafi‘i — sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Haramain dan selainnya menyatakan bahawa air mani harus untuk dimakan kerana ia adalah suci dan tiada kemudaratan padanya. Ini merupakan pendapat al-Syeikh Abu Zaid al-Marwazi. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/556; 9/37)

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami cenderung kepada pendapat yang menyatakan bahawa menelan air mani adalah haram dan tidak dibolehkan kerana ia menjijikan sebagaimana pendapat yang kuat dalam mazhab Syafi‘i. Lebih-lebih lagi, terdapat sebahagian ulama seperti Imam Malik, Abu Hanifah, al-Auza‘i dan al-Thauri yang berpendapat bahawa air mani itu adalah najis. Justeru, pendapat ini adalah lebih selamat (ahwat).

Selain itu, air mani yang keluar ketika melakukan hubungan kelamin antara suami isteri kebiasaannya sukar untuk dielakkan daripada bercampur dengan air-air lain yang dianggap najis seperti air mazi dan wadi. Oleh itu, meninggalkan perbuatan ini adalah lebih utama agar seseorang itu tidak tertelan najis bersama air mani tersebut. Tambahan lagi, hal ini juga kerana semua benda yang dianggap kotor pada tabiat manusia dan dirasakan jijik pada jiwa adalah diharamkan kerana ia menjadi sebab kepada sakit. Lalu apa sahaja yang memudaratkan hukum asalnya adalah haram. Justeru setiap yang jijik pada tabiat manusia pada asalnya adalah haram, melainkan terdapat dalil yang menyatakan hukum sebaliknya. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/381)

Selain daripada itu, perbuatan menelan air mani ini juga dilihat jauh sama sekali daripada adab dan budaya seorang Islam serta fitrah akal yang sihat untuk menjauhi segala perkara yang menjijikan. Malah, sebenarnya ia lebih menyerupai perbuatan orang kafir yang mana kita dilarang daripada mengikutinya. Terdapat sebuah riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dalam kalangan mereka.”

 Riwayat Abu Daud (4031); Ahmad (5114) (5115) (5667); Ibn Abi Syaibah di dalam Musannafnya (19401); al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (8327); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (1154); dan al-Bazzar (2966)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Lihat artikel yang ditulis oleh Ahmad Farid dan telah disemak secara perubatan oleh Dr. Gabriel Tang Pei Yung. https://hellodoktor.com/seks-hubungan/seks-selamat/menelan-air-mani/. Diakses pada 21 Februari 2022.