#5571: Wanita yang Digantung Payu Dara

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah dalam peristiwa Isra’, Nabi SAW melihat wanita yang digantung payu daranya? Apa status hadith tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dikatakan bahawa Abu Sa‘id al-Khudri R.A ada meriwayatkan, Rasulullah SAW menceritakan berkenaan malam Isra’ dan di dalamnya ada dinyatakan:

ثُمَّ مَضَيْتُ هُنَيَّةً، فَإِذَا أَنَا بِنِسَاءٍ يُعَلَّقْنَ بِثَدْيِهِنَّ فَسَمِعَتْهُنَّ يَصِحْنَ إِلَى اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ قُلْتُ: يَا جِبْرِيلُ مَنْ هَؤُلَاءِ النِّسَاءُ؟ قَالَ: هَؤُلَاءِ الزُّنَاةُ مِنْ أُمَّتِكَ

Maksudnya: “Kemudian setelah berlalu tempoh satu masa yang singkat, aku melihat sekumpulan wanita yang digantung payudara mereka, lalu aku mendengar mereka meraung kepada Allah azza wa jalla. Aku bertanya: ‘Wahai Jibril, siapakah wanita-wanita ini?’ Jibril menjawab: ‘Mereka ialah penzina dalam kalangan umatmu.’

Riwayat al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah (2/392-393); Riwayat al-Harith dalam al-Musnad (27) dengan lafaz seumpamanya; dan Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq (3/512)

Menurut Syeikh al-Albani, kisah wanita ini juga, seperti yang diisyaratkan oleh Ibn al-Qayyim dalam al-Tuhfah (hlm. 103) tanpa beliau mengingatkan (menjelaskan) berkenaan kedha‘ifan hadith ini. Bahkan beliau menggunakan lafaz siyaq yang selamat ketika meriwayatkan hadith ini. (Lihat Silsilah al-Ahadith al-Dha‘ifah wa al-Maudhu’ah, 11/810).

Begitu juga Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (5/20) menyatakan bahawa di dalamnya terdapat perawi yang bernama Abu Harun al- ‘Abdi, dan dia telah dinilai sebagai dha‘if di sisi para Imam.

Selain itu, Syeikh al-Albani juga ada menjelaskan dengan menyebutkan, Abu Harun ini, namanya ialah ‘Imarah bin Juwain dan dia adalah seorang matruk (yang ditinggalkan riwayatnya), dan ada juga yang menilainya sebagai pendusta. Namun, hadith ini juga turut disandarkan oleh al-Suyuti kepada Ibn Abi Hatim. Akan tetapi sanadnya daripada jalur ini juga adalah lemah sebagaimana yang dapat dilihat dalam Tafsir Ibn Kathir (1/456) dan ia merupakan potongan daripada hadith yang panjang berkenaan peristiwa Isra’ dan Mi‘raj; yang juga diriwayatkan oleh Ibn Jarir dalam tafsirnya (15/10-12) dan al-Baihaqi dalam al-Dala’il (2/136-142) daripada jalur Abu Harun sebagaimana yang telah disebutkan (berkenaan statusnya). Malah Ibn Kathir turut menyebut riwayat itu secara panjang dalam tafsirnya melalui jalur tersebut dan berkata, ia telah dinilai dha‘if oleh para Imam disebabkan keganjilan hadith ini dan nakarah (kemungkaran) yang terdapat di dalamnya. (Lihat Silsilah Ahadith al-Dha’ifah wa al-Maudhu‘ah, 11/810).

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”