#5572: Benarkah Orang yang Berpuasa dalam Ibadat Walaupun Tidur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah orang yang berpuasa juga berada dalam ibadah walaupun dia tidur?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terdapat satu hadith yang masyhur dan ia sering ditimbulkan apabila tibanya bulan bulan Ramadhan sebagaimana yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Aufa RA, dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

نَوْمُ الصَّائِمِ عِبَادَةٌ، وَصَمْتُهُ تَسْبِيحٌ، وَدُعَاؤُهُ مُسْتَجَابٌ، وَعَمَلُهُ مُضَاعَفٌ

Maksudnya: “Tidur seorang yang berpuasa adalah ibadah, diamnya adalah tasbih, doanya mustajab dan amalannya berganda.”

Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (3654)

Imam al-Baihaqi menyatakan di dalam sanad hadith ini terdapat dua orang perawi yang dhaif iaitu Ma’ruf bin Hassan dan juga Sulaiman bin ‘Amr al-Nakha’ie tetapi Sulaiman lebih dhaif berbanding Ma’ruf. (Lihat Syu’ab al-Iman, 5/422)

Selain itu, Imam al-‘Iraqi menyatakan Sulaiman al-Nakha’ie merupakan salah seorang pendusta. (Lihat al-Mughni ‘An Haml al-Asfar, 1/182) Tambahan pula, Imam al-Suyuthi juga menilai hadith ini sebagai dhaif. (Lihat al-Jami’ al-Saghir, 2/363)

Melihat kepada beberapa pandangan ulama di atas dalam menilai hadith di atas, kami menyatakan bahawa hadith ini bertaraf dhaif kerana di dalam sanadnya terdapat lebih daripada seorang perawi yang dinilai dhaif oleh para ulama.

Walaupun begitu, tidur boleh menjadi ibadah apabila seseorang itu menetapkan di dalam hatinya bahawa dengan tidur tersebut untuk menjadikan dia kuat dalam beribadah kepada Allah SWT seperti membaca al-Qur’an, berzikir, menuntut ilmu dan lain-lain lagi. Justeru itu, tidur seseorang itu boleh menjadi ibadah bergantung kepada niatnya. Secara umumnya, tidur orang yang berpuasa adalah ibadah kerana dia tidur dalam keadaan dia sedang berpuasa. Selain itu juga, sememangnya Allah SWT menggandakan pahala amalan bagi orang yang berpuasa. Ini berdasarkan kepada sebuah hadith yang sahih yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ يُضَاعَفُ، الْحَسَنَةُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا إِلَى سَبْعمِائَة ضِعْفٍ

Maksudnya: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan, satu kebaikan digandakan dengan sepuluh kali sehingga tujuh ratus kali ganda.”

Riwayat Muslim (1151)

Oleh itu, walaupun hadith tersebut dhaif tetapi terdapat banyak lagi hadith lain yang menunjukkan orang yang berpuasa mempunyai banyak kelebihan yang diberikan oleh Allah SWT.

Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahua`lam.