#5576: Benarkah Puasa Menjadikan Sihat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah puasa menjadikan kita sihat?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Puasa di bulan Ramadhan merupakan salah satu rukun daripada rukun Islam. Ini berdasarkan nas-nas Ilahi yang banyak daripada al-Qur’an dan hadith yang menyatakan akan kewajipan berpuasa di bulan Ramadhan. Untuk itu, setiap perkara yang disyariatkan oleh Allah SWT pasti mempunyai banyak hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik pensyariatan tersebut.

Daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ أَوْحَى إِلَى نَبِيٍّ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ: أَنْ أَخْبِرْ قَوْمَكَ: أَنْ لَيْسَ عَبْدٌ يَصُومُ يَوْمًا ابْتِغَاءَ وَجْهِي إِلَّا أصْحَحْتُ جِسْمَهُ، وَأَعْظَمْتُ أَجْرَهُ

Maksudnya: “Bahawa Allah SWT mewahyukan kepada seorang Nabi dalam kalangan Bani Israel seraya berfirman: “Khabarkanlah kepada kaummu bahawa tiada seorang pun hamba yang berpuasa sehari semata-mata kerana-Ku kecuali Aku sihatkan tubuh badannya dan Aku besarkan ganjarannya.”

Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (3923). Dinilai sebagai dha’if dalam Dha’if al-Jami’ (1571) dan dha’if jiddan dalam Silsilah al-Ahadith al-Dha’ifah (7083). Hadis seumpama ini juga diriwayatkan oleh Abu Syaikh dalam kitabnya al-Thawab oleh al-Dailami dan al-Rafie daripada Abi Darda’. (Lihat Kanz al-Ummal, 23833)

Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadis yang lain, daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

صُومُوا تَصِحُّوا

Maksudnya: “Berpuasalah maka kamu akan sihat.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (8312)

Status Hadith

Hadith ini juga diriwayatkan oleh selain daripada Abu Hurairah RA seperti Ibn Abbas R.anhuma dan juga Ali bin Abi Thalib RA. Akan tetapi, kesemua riwayat tersebut bermasalah dari sudut sanadnya. Antara ulama’ yang memberi komentar terhadap hadith ini:

  • Imam al-Iraqi mengatakan sanad hadith ini dha’if (lemah). (Lihat al-Mughni fi Haml al-Asfar, 2/754)
  • Imam al-Saghani menilai hadith ini sebagai maudhu’. (Lihat al-Maudhu’at, 51)
  • Imam al-Fattani[1] juga mengatakan sebagaimana yang dikatakan oleh al-Saghani iaitu maudhu’. (Lihat Tazkirah al-Mawdhu’at, 70)
  • Imam al-Syaukani juga menukilkan pandangan al-Saghani iaitu maudhu’. (Lihat al-Fawaid al-Majmu’ah, 90)

Kesimpulannya, hadith ini diriwayatkan oleh sekumpulan para sahabat Nabi SAW dan kesemua riwayat tersebut adalah tidak sahih untuk disandarkan kepada Nabi SAW. Oleh itu, para ulama’ berselisih pendapat dalam menentukan hukum terhadap hadith ini. Sebahagiannya terlalu ringan dalam menerima hadith seperti ini dengan menyatakan hadith dhaif tetapi boleh diterima kerana tidak mempunyai hubungan dengan perkara yang halal dan haram. Tambahan pula, sebahagian lagi menyatakan sebaliknya kerana hadith tersebut merupakan hadith yang menceritakan berkaitan fadhail.

Walaubagaimanapun, ini tidak menunjukkan bahawa makna (matan atau teks) hadith itu juga tidak sahih. Ini kerana, ilmu kedoktoran telah membuktikan bahawa puasa mempunyai banyak faedah pada kesihatan. Bahkan, sebahagian doktor menjadikan puasa sebagai salah satu cara untuk merawat penyakit.

Puasa dan Kesihatan

Ibadah puasa sering dikaitkan dengan aspek kesihatan. Ini kerana amalan berpuasa melibatkan perbuatan menahan makan dan minum bermula daripada fajar terbit sehingga matahari terbenam yang merupakan satu rutin yang berbeza bagi kebanyakan umat Islam di bulan-bulan lain selain bulan Ramadhan. Tambahan pula, ilmu perubatan dan sains juga telah membuktikan bahawa amalan berpuasa mempunyai banyak faedah kepada kesihatan.

Di sini kami nyatakan beberapa faedah kesihatan yang boleh diperolehi melalui amalan berpuasa yang telah dibuktikan dengan penemuan dan kajian sains:

Pertama: Menambah baik fungsi dan kesihatan otak. Autofagi di dalam otak ialah proses sel menghancurkan protein dan organel yang rosak di dalam neuron tertentu di dalam otak. Jika protein yang rosak atau tidak berfungsi berkumpul di dalam neuron tertentu, fungsi neuron akan terjejas seperti mana yang dapat dilihat di dalam penyakit neurodegenerative seperti penyakit Alzheimer’s, Parkinson’s, Huntington’s dan amyotrophic lateral sclerosis (ALS). Puasa adalah salah satu faktor utama dalam memulakan proses autofagi di dalam otak kemudian secara langsung menambah baik fungsi dan kesihatannya. Rujuk kajian yang bertajuk: “Short-term fasting induces profound neuronal autophagy”[2]

 

Kedua: Meningkatkan tahap kesihatan jantung dengan mengawal tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol.[3] Banyak kajian menunjukkan bahawa berpuasa dapat memberi kesan yang baik kepada jantung. Satu kajian telah dibuat ke atas orang dewasa yang mempunyai berat badan yang berlebihan (obes) yang telah berpuasa selama tiga minggu di bawah pengawasan pakar perubatan dan hasilnya telah menunjukkan bahawa tahap tekanan darah, triasilgliserol dan kolesterol mereka menurun secara mendadak. Rujuk kajian yang bertajuk: “The effects of three-week fasting diet on blood pressure, lipid profile and glucoregulation in extremely obese patients”[4], “Usefulness of Routine Periodic Fasting to Lower Risk of Coronary Artery Disease among Patients Undergoing Coronary Angiography”[5] dan “Regular Fasting May Improve CVD Risk”.[6]

 

Ketiga: Membantu mengawal kadar gula di dalam darah.[7] Banyak kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa mampu untuk membantu pengawalan gula di dalam darah terutamanya bagi mereka yang mempunyai risiko untuk menghidap penyakit kencing manis. Amalan berpuasa mampu mengurangkan halangan insulin (insulin resistance) yang mana boleh meningkatkan sensitiviti badan terhadap insulin, seterusnya membenarkannya mengangkut glukosa daripada salur darah kepada sel badan dengan lebih efisien. Kesannya, gula di dalam darah akan menjadi stabil dan risiko penyakit kencing manis dapat dikurangkan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Effects of intermittent fasting on health markers in those with type 2 diabetes: A pilot study”[8] dan “Intermittent fasting vs daily calorie restriction for type 2 diabetes prevention: a review of human findings”.[9]

Amalan berpuasa juga boleh mengurangkan risiko buat perempuan yang sedang mengandung daripada menghidap penyakit kencing manis ketika mengandung (gestational diabetes). Kajian telah menunjukkan bahawa amalan berpuasa bagi ibu yang mengandung pada peringkat trimester kedua mampu mengurangkan risiko untuk ibu tersebut menghidap penyakit kecing manis ketika mengandung. Rujuk kajian: “Perspectives and pregnancy outcomes of maternal Ramadan fasting in the second trimester of pregnancy.”[10]

 

Keempat: Mengurangkan tahap keradangan. Kajian telah menunjukkan keradangan boleh membawa kepada pembentukan penyakit kronik seperti kanser dan penyakit jantung. Rujuk kajian yang bertajuk: The inflammation theory of disease”.[11]

Beberapa kajian terkini telah membuktikan bahawa puasa dapat membantu mengurangkan tahap keradangan, seterusnya membantu meningkatkan tahap kesihatan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Intermittent fasting during Ramadan attenuates proinflammatory cytokines and immune cells in healthy subjects”[12] dan “Interleukin-6, C-reactive protein and biochemical parameters during prolonged intermittent fasting”.[13]

 

Kelima: Mempercepatkan tempoh pemulihan. Puasa juga mampu menpengaruhi proses pemulihan di dalam badan. Ketika mana makanan tiada di dalam perut, anggota badan akan menfokuskan aktivitinya untuk fungsi-fungsi yang lain seperti aktiviti metabolik dan sistem ketahanan badan, berbanding dengan kerja-kerja penghadaman yang mana tidak diperlukan ketika seseorang itu sedang berpuasa.

Kajian telah menunjukkan bahawa sistem ketahanan badan di dalam usus pesakit yang berpuasa bertambah baik berbanding pesakit yang tidak berpuasa. Rujuk kajian yang bertajuk: “Progression of intestinal secretory immunoglobulin A and the condition of the patients during naturopathic therapy and fasting therapy”[14]

Keenam: Membantu mengurangkan berat badan dengan mengurangkan pengambilan kalori dan meningkatkan metabolisme badan.[15] Secara teorinya, menahan diri dari makan dan minum ketika berpuasa akan mengurangkan jumlah pengambilan kalori makanan dengan syarat tidak mengambil makanan secara berlebihan ketika bersahur dan berbuka, serta tidak mengambil makanan yang mempunyai nilai kalori yang tinggi secara berlebihan. Pengurangan jumlah kalori yang diambil pada kebiasaanya akan membawa kepada pengurangan berat badan.

Ada kajian menunjukkan bahawa berpuasa dalam tempoh seharian boleh mengurangkan berat badan sehingga 9% dan mengurangkan lemak badan dalam tempoh 12 hingga 24 minggu. Kajian lain pula menunjukkan berpuasa dalam tempoh 3 hingga 12 minggu adalah tempoh yang efektif untuk mengurangkan berat badan dan jisim lemak (fat mass) sehingga 8% dan 16%. Rujuk kajian yang bertajuk: “Effects of intermittent fasting on body composition and clinical health markers in humans”[16] dan “Intermittent versus daily calorie restriction: which diet regimen is more effective for weight loss?”[17]

Ketujuh: Penghasilan hormon anti penuaan. Ketika berpuasa, hormon pertumbuhan (growth hormone) akan dihasilkan lebih banyak berbanding dalam keadaan tidak berpuasa. Ini akan menyebabkan hormon anti penuaan dan hormon pertumbuhan yang lebih baik dihasilkan di dalam badan. Rujuk kajian yang bertajuk: “Fasting enhances growth hormone secretion and amplifies the complex rhythms of growth hormone secretion in man”[18]

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

 

 

Nota hujung:

[1] Nama beliau ialah Muhammad Tahir bin Ali al-Fattani al-Siddiqi yang mana nasab beliau bersambung kepada Abu Bakar al-Siddiq. Beliau dilahrikan pada 910 Hijrah dan wafat pada 986 Hijrah. Selain itu, beliau merupakan salah seorang ulama besar dalam bidang hadith di India.

[2] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/20534972

[3] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[4] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17929537

[5] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC2572991/

[6] https://www.medscape.org/viewarticle/565877

[7]  http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[8] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC5394735/

[9] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/24993615

[10] https://bmcpregnancychildbirth.biomedcentral.com/articles/10.1186/s12884-019-2275-x

[11] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3492709/

[12] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/23244540

[13] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/17374948

[14] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/11799302

[15] http://www.moh.gov.my/index.php/pages/view/365

[16] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/26374764

[17] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/21410865

[18] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC329619/