#5586: Puasa Musim Sejuk Satu Anugerah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar, hadith tentang puasa musim sejuk adalah seperti anugerah harta rampasan. Boleh jelaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada ‘Amir bin Mas’ud, bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:

الْغَنِيمَةُ الْبَارِدَةُ الصَّوْمُ فِي الشِّتَاءِ ‏

Maksudnya: “Ghanimah baridah (harta rampasan yang menyejukkan) adalah berpuasa di musim sejuk.”

Riwayat al-Tirmizi (797), Ahmad (18979), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4/297) dan Ibn Khuzaimah (2145). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi (797), manakalah dalam Hidayah al-Ruwat (2008), dinyatakan sebagai hasan li ghairihi.

Ini kerana pada musim sejuk waktu siang hari pendek, sedangkan pada musim panas, waktu siang harinya panjang. Justeru, ini menyebabkan orang yang berpuasa tidak merasa keletihan dan kelaparan yang amat.

Begitu juga, yang dimaksudkan dengan ghanimah baridah adalah bahawa keuntungan tersebut diperoleh tanpa melalui peperangan, tanpa merasa letih dan tanpa menghadapi sebarang kesulitan. Ini bermakna, orang yang mendapat keuntungan ini tidak mengalami sebarang kesukaran sama sekali.

Abu Hurairah R.A pernah bertanya: “Tahukah kamu semua ghanimah baridah (yang menyejukkan, terasa dingin)?” Mereka menjawab: “Tidak.” Abu Hurairah R.A berkata: “Berpuasa ketika musim sejuk.” (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 564)

Qatadah berkata: “Sesungguhnya Malaikat bergembira pada musim sejuk bagi seseorang mukmin yang mana siangnya pendek untuk berpuasa dan malamnya panjang untuk bangun malam.”

Al-Munawi menyebut: Puasa (ketika musim sejuk) itu diserupakan dengan al-Ghanimah al-Baridah, kerana di dalam puasa ketika sejuk itu terkumpul banyak manfaat (pahala) tanpa perlu bersusah-payah.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami’ al-Saghir, 2/165)

Al-Mubarakfuri berkata: Sabda Baginda, ‘الْغَنِيمَةُ الْبَارِدَةُ الصَّوْمُ فِي الشِّتَاءِ ‏’, merujuk kepada pahala yang diperoleh tanpa banyak usaha. Ghanimah yang diperoleh dengan mudah itu adalah datang secara tidak sengaja, tanpa perlu menghadapi api peperangan dan tanpa terlibat langsung dalam getirnya pertempuran dan kesukaran.

Ada yang menyatakan ia adalah keadaan yang menyenangkan, yang diambil dari kehidupan yang selesa. Asal usul perkataan sejuk (البرد) adalah untuk menggambarkan keadaan yang menyenangkan dan kebahagiaan, kerana air dan udara menjadi lebih menyegarkan apabila sejuk, khususnya di negara-negara panas. Maka dikatakan ‘air sejuk’ dan ‘udara sejuk’ sebagai cara menikmati kesegaran. Kemudian, penggunaannya menjadi lebih meluas. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/427)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya:Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”