#5591: Puasa dan al-Quran Dapat Beri Syafaat

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Benarkah puasa dan al-Quran dapat beri syafaat? Apa status hadisnya? Mohon penjelasan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ

Maksudnya: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada hamba pada hari Kiamat. Puasa berkata: “Wahai Rab! Aku telah menahannya daripada makan dan syahwat pada siang hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya.” Al-Quran pula berkata: “Aku telah menahannya daripada tidur pada malam hari, maka izinkan aku memberi syafaat kepadanya.” Kemudian keduanya memberi syafaat (kepada orang yang melakukannya.”

Riwayat Ahmad (6626), al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1994), al-Tabarani (14672), al-Hakim dalam al-Mustadrak (2036), al-Dailami dalam al-Firdaus, Ibn al-Mubarak dalam al-Zuhd (2/114). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij al-Musnad. Syeikh Syu’aib al-Arna’ut pula menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad. Manakala dalam takhrij Siyar A’lam al-Nubala’ (14/435), beliau menyatakan sanadnya kuat.

Status Hadith

Antara penilaian ulama’ terhadap hadith ini ialah:

  • Imam al-Haithami menyatakan perawi-perawi Imam al-Tabarani adalah perawi yang sahih. (Lihat Majma’ al-Zawa’id, 3/181)
  • Imam al-Suyuti menilai hadith ini sebagai sahih. (Lihat al-Jami’ al-Saghir, 2/66)
  • Imam Ibn Hajar al-Haitami al-Makki berpendapat bahawa hadith ini statusnya sama ada sahih atau hasan. (Lihat al-Zawajir, 1/326)
  • Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menilai sanad hadith ini dha’if disebabkan dua perawi di dalam sanad hadith ini merupakan perawi yang dha’if iaitu Ibn Lahi’ah dan Huyayyi bin Abdillah. (Lihat Musnad Ahmad, 11/199)
  • Syeikh Ahmad Syakir pula berpendapat bahawa hadith ini sanadnya adalah sahih. (Lihat Musnad Ahmad, 6/188)
  • Syeikh Muqbil al-Wadi’i menghukum hadith ini sebagai dha’if. (Lihat al-Syafa’ah, 183)

Melihat kepada beberapa pandangan atau penilaian para ulama di atas, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith di atas adalah sanadnya adalah dhaif. Walaubagaimanapun, maknanya adalah sahih kerana di sana terdapat hadith sahih yang lain menyokong makna hadith ini iaitu ibadah puasa dan membaca al-Quran mampu memberi syafaat atau menyelamatkan orang yang melakukannya daripada api neraka seperti:

  • Daripada Abu Umamah RA, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اقْرَءُوا الْقُرْآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيعًا لِأَصْحَابِهِ

Maksudnya: “Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.”

Riwayat Muslim (804)

 

  • Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ: فَرْحَةٌ عِنْدَ فِطْرِهِ، وَفَرْحَةٌ عِنْدَ لِقَاءِ رَبِّهِ

Maksudnya: “Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan: Kegembiraan ketika berbuka dan kegembiraan ketika bertemu Tuhannya.”

Riwayat Muslim (1151)

Penjelasan Hadith

Dalam menjelaskan hadith di atas, al-San’ani berkata: Sabda Baginda, ‘الصِّيَامُ وَالْقُرْآنُ يَشْفَعَانِ لِلْعَبْدِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ’ yakni syafaat yang hakiki. Sabda Baginda ‘يَقُولُ الصِّيَامُ: أَيْ رَبِّ، مَنَعْتُهُ الطَّعَامَ وَالشَّهَوَاتِ’. Dalam satu naskhah yang lain, digantikan dengan minuman dan itu adalah tahrif. Sabda Baginda, ‘بِالنَّهَارِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ’, yakni siang hari Ramadhan kerana lafaz puasa apabila diitlaqkan, maka yang dimaksudkan adalah yang fardhu. Sabda Baginda, ‘وَيَقُولُ الْقُرْآنُ: مَنَعْتُهُ النَّوْمَ بِاللَّيْلِ، فَشَفِّعْنِي فِيهِ، قَالَ: فَيُشَفَّعَانِ’, dan dikaitkan di antara keduanya, kerana puasa biasanya disertai dengan qiyam (mendirikan malam dengan melakukan solat.). (Lihat al-Tanwir, 7/95)

Al-’Azizi berkata: Iaitu Allah pun memberi syafaat kepada keduanya, dengan maksud Allah akan menerima syafaat mereka dan memasukkan hamba itu ke dalam syurga. Dan ungkapan ini boleh boleh diambil secara harfiah, iaitu dengan menggambarkan ganjaran pahala mereka dalam bentuk yang boleh dilihat dan diberikan kemampuan untuk berbicara, atau boleh juga diambil diambil secara majaz (kiasan) dan tamthil (permisalan). (Lihat al-Siraj al-Munir, 3/284)

Sesungguhnya, sudah menjadi kelaziman Rasulullah SAW banyak membaca al-Quran pada bulan Ramadhan dan bertadarus bersama Jibril. Para sahabat dan salafussoleh berlumba-lumba untuk khatam al-Quran, sementelahan lagi mengambil semangat kelebihan Ramadhan al-Mubarak yang digelar sebagai bulan al-Quran. Justeru, tidak hairanlah ramai yang bersungguh-sungguh membaca dan mengkhatamkan al-Quran pada bulan Ramadhan.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”