#5594: Kelebihan Menjamu Berbuka untuk Orang Berpuasa

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa kelebihan menjamu orang untuk berbuka puasa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam bulan Ramadhan, kita sebagai umat Islam digalakkan untuk mengikuti satu sunnah Baginda SAW iaitu memberi makan orang yang berpuasa. Galakan untuk memberi makan orang yang berpuasa ini adalah perkara yang thabit daripada hadith Nabi Muhammad SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا

Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.”

Riwayat al-Tirmizi (807). Imam al-Tirmizi menyatakan bahawa ini hadis hasan sahih.

Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam dalam menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa menyebut: “Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun.” (Lihat Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam, hlm. 18)

Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا

Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.”

Surah al-An’am (160)

Imam al-Nawawi berkata:

يُسْتَحَبُّ أَنْ يَدْعُوَ الصَّائِمَ وَيُفَطِّرَهُ فِي وَقْتِ الْفِطْرِ وَهَذَا لَا خِلَافَ فِي اسْتِحْبَابِهِ لِلْحَدِيثِ

Maksudnya: “Disunatkan untuk menjemput dan memberi makan kepada orang yang berpuasa untuk berbuka puasa ketika masuknya waktu berbuka. Tiada khilaf dalam hukum sunat ini berdasarkan hadith yang telah disebut.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/362)

Al-Sindi pula menyebut:

(مِثْلُ أَجْرِهِمْ) أَيْ أَجْرِ الصَّائِمِينَ الَّذِينَ فَطَّرَهُمْ وَجُمِعَ لِعُمُومِ النَّكِرَةِ فِي حَيِّزِ الشَّرْطِ

Sabda Nabi SAW, ‘مِثْلُ أَجْرِهِمْ’ (sama seperti pahala mereka (orang yang berpuasa)), bermaksud pahala orang-orang berpuasa yang diberikan makanan untuk berbuka puasa. Disebutkan dengan lafaz jama’ di sini (أَجْرِهِمْ) kerana termasuk dalam makna keumuman lafaz nakirah bagi syarat tersebut. (Lihat Kifayat al-Hajah, 1/531)

Al-Munawi menyebut: ‘مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا’, yakni memberikan apa sahaja yang dapat digunakan untuk berbuka puasa, walaupun hanya seteguk air. ‘كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ’ yakni dia akan mendapat seperti pahala orang yang berpuasa. ‘غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ’, yakni daripada apa yang diberikan oleh orang yang berbuka puasa. ‘مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا’, dan sepatutnya bagi orang yang berpuasa untuk menerima apa sahaja yang diberikan kepadanya sebagai juadah berbuka puasa. Ini adalah bagi membantu saudaranya dalam urusan akhirat, serta memenuhi undangan makan apabila dijemput. (Lihat al-Tanwir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 10/329)

Berdasarkan nas hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang memberi makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat.

Dinyatakan di sini sikap dan sifat tokoh ulama dalam memberi makan orang yang berpuasa:

  • Hasan al-Basri memberi makan saudaranya sedangkan dia berpuasa sunat dan duduk melayan mereka ketika mereka makan.
  • Abdullah bin al-Mubarak memberi makan kepada saudaranya ketika bermusafir dengan makanan yang lazat, sedangkan dia berpuasa.
  • Hammad menjamu setiap malam kepada orang ramai pada bulan puasa seramai 500 orang.
  • Abdullah bin Umar R.Anhuma berpuasa dan tidak berbuka kecuali bersama dengan fakir miskin.

Semoga kita sentiasa menjadi hamba Allah yang suka menjamu mereka yang berpuasa.

Kami akhiri dengan doa:

 رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا إِنَّكَ أَنتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Terimalah daripada kami (amal kami); sesungguhnya Engkaulah yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui; dan terimalah taubat kami; sesungguhnya Engkaulah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”